Sunday, 28 May 2017

MAYAT: SIMBOLIK SANG KAPITALIS DAN ZOMBI


Oleh IMAN ANNURAH ABDULLAH

Pada 25 Mei 2017, bertempat di BlackBox ASWARA, sebuah karya Hatta Azad Khan berjudul Mayat telah dipentaskan. Teater berdurasi lebih kurang 45 minit itu merupakan arahan Akid Jabran, seorang mahasiswa Fakulti Teater ASWARA yang juga merupakan sebuah projek penilaian tahun akhir untuk memperoleh Diploma Teater.

Mayat mengisahkan 4 Sahabat yang sedang mencari cara untuk mengebumikan mayat sahabat mereka sedangkan tanah perkuburan di sekitarnya sudah penuh. Kisah berlanjutan dengan kemunculan watak Orang Luar yang ingin membeli mayat sahabat mereka untuk dijadikan barang ganti. 

Dialog dalam naskah ini memang mudah mencuit hati penonton. Skripnya dipenuhi kelucuan membuatkan penonton tidak kering gusi, jadi tidak hairanlah jika naskah ini sering menjadi naskah pilihan untuk dipentaskan. Namun demikian, ia juga merupakan satu cabaran kepada pengarah untuk menyampaikan naskah dengan cara yang berbeza di samping membuka perspektif lain kepada penonton. Ketika memutuskan untuk datang menonton, saya ingin mencari apakah kelainan yang akan dibawa oleh pengarah kali ini. 

Tulisan ini cuba melihat pementasan ini menerusi perspektif simbolisme.

1. Mengapa dimulakan begitu?
Persembahan dimulai dengan tayangan video menggunakan LCD projector yang memaparkan imej bangunan-bangunan tinggi dan pemandangan jalan raya di waktu malam. Apakah motif utama tayangan video tersebut? Saya melihatnya sebagai simbol pembangunan negara yang begitu pesat pada era ini di samping membuka ruang kepada penonton untuk melihat lebih jauh akan kemajuan yang melatari zaman cerita. Usai tayangan video, lampu di ruang pentas dihidupkan. Ternyata latar di atas pentas menampakkan kontradiksi yang sangat jelas daripada tayangan video sebelumnya. Set yang tersusun di pentas memperlihatkan bahagian tepi jalan raya yang ditutupi dengan zink dan kayu terpakai yang mana ianya memaparkan  simbol kedaifan dan kemiskinan. Di sebalik bangunan tinggi, masih banyak kawasan setinggan yang daif dihuni oleh golongan bawahan yang malang dan tidak dipedulikan. Saya memahami bahawa inilah realiti sebenar masyarakat yang cuba diketengahkan oleh pengarah.

2. Dialog yang berpusing-pusing
Dialog yang dilontarkan oleh pelakon sengaja diulang-ulang tanpa kata putus, dalam masa yang sama menimbulkan kelucuan kepada penonton. Ini dapat dilihat ketika perbincangan 4 Sahabat mencari tempat bagi mengebumikan mayat sahabat mereka, kecekapan pelakon bermain dengan watak menjadikan  dialog-dialog yang berulang ini tidak meleret dan hambar. Jauh melihat di sebalik dialog-dialog yang berulang-ulang ini, ianya merupakan simbol penekanan terhadap isu yang ingin disampaikan dalam cerita yakni protes terhadap pembangunan negara yang menindas golongan bawahan. Ianya disampaikan dalam cara absurd di sebalik kelucuan yang dibina.

3. Watak Satu Malaysia?
Watak-watak yang diwujudkan jelas mewakili kaum-kaum utama di Malaysia. Walaupun tidak dinyatakan dengan jelas, namun karakteristik ini dapat dikenal pasti melalui gaya pengucapan dialog watak. Sahabat I dan II berbangsa India, Sahabat III dan IV berbangsa Melayu, manakala watak Orang Luar yang hendak membeli mayat ditampilkan berbangsa Cina. Adakah pengarah mengambil konsep ‘Satu Malaysia’? Tidak, saya tidak melihatnya sedemikian. Watak perwatakan yang dihidupkan di dalam pementasan ini menunjukkan simbol ensembel kepada realiti sosial dan ekonomi kaum di Malaysia hasil kesan pembangunan. Hidup sesetengah masyarakat India dan Melayu kian mundur manakala kaum Cina digambarkan bijak memanfaatkan peluang kesan kerumitan yang berlaku. Watak Orang Luar diperlihatkan begitu licik dalam melakukan perniagaan jual beli organ mayat di tengah-tengah kerumitan empat orang sahabat ini.

4. Ada Zombi?
Penampilan zombi di penghujung cerita amat menarik. Ini satu kelainan berbanding pementasan Mayat yang pernah saya tonton sebelum ini. Mayat sahabat mereka yang hilang dibangkitkan semula menyerupai zombi, manakala seorang daripada empat orang sahabat juga ikut bertukar menjadi zombi. Kedua-dua zombi ini menyerang dua lagi sahabat mereka yang tinggal termasuklah watak Orang Luar. Namun demikian, mengapa zombi? Melalui pemahaman saya daripada penontonan beberapa filem bertemakan serangan zombi sebelum ini, antaranya Night of a Living Dead (1968) dan Zombi Kampung Pisang (2007), saya memahami bahawa zombi merupakan makhluk ganas yang memakan daging dan otak manusia. Zombi terhasil daripada penyelewengan dan sifat tamak kapitalis. Berkait dengan itu, zombi yang diwujudkan di hujung pementasan ini merupakan protes kepada kepincangan kapitalis atasan dalam merancang pembangunan negara sehingga menyusahkan masyarakat golongan bawahan. Akibat pembangunan yang begitu pesat, masyarakat sukar untuk mendapatkan sekeping tanah walaupun untuk tujuan tanah perkuburan. Selain itu, ianya juga merupakan simbol kepada kekacauan hidup golongan miskin yang berperang dalam krisis ekonomi negara untuk terus hidup.

Mayat  sedia dikenali sebagai sebuah naskah yang sarat dengan kritikan-kritikan sosial yang berlaku dalam era penulisannya. Naskah ini juga boleh dibaca sebagai reaksi protes dalam melihat kepincangan sistem kapitalis yang menindas masyarakat bawahan. Ternyata naskah Mayat yang disajikan kali ini tampak berbeza. Lebih menarik lagi apabila pengarah bermain dengan simbol-simbol (sama ada sedar atau tidak) bagi menyampaikan pemikirannya. Menontonnya daripada perspektif simbolisme, ternyata pemikiran di dalam naskah ini telah diadun dalam kerangka yang kemas dan disampaikan dengan berkesan. Bravo buat semua ahli produksi! 

No comments:

Post a Comment