Pementasan “Huminodun: Muzikal Puteri Nabalu” yang berlangsung di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena sambutan Pesta Kaamatan tahun ini merupakan sebuah karya seni pentas yang bukan sahaja sarat dengan elemen budaya, tetapi turut menyentuh nilai kemanusiaan sejagat. Diadaptasi daripada mitos legenda masyarakat Kadazan-Dusun, pementasan ini menggambarkan kisah Huminodun puteri kepada Kinoingan dan Suminundu yang sanggup mengorbankan dirinya demi menyelamatkan rakyat daripada kelaparan dan kemusnahan alam.
Secara visual dan teknikal, persembahan ini cukup memukau. Persembahan dimulakan dengan gambaran alam semula jadi yang tenang, diiringi dengan bunyian gong yang perlahan dan sorotan cahaya jingga yang menggambarkan suasana senja sebagai perlambangan pengakhiran dan pengorbanan. Pengarah teater, Nawfal Zamri, berjaya mengadun unsur tradisional Sabah dengan pendekatan visual moden yang menghasilkan suasana mistik dan sarat spiritual. Reka bentuk pentas yang sederhana tetapi simbolik memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kekuatan lakonan dan irama muzik yang menyokong naratif. Queenenra Francine yang memegang watak Huminodun menyerlahkan watak tersebut dengan penuh perasaan dan kekuatan emosi. Ekspresi wajah dan nada suaranya menyalurkan kerelaan serta kesedihan watak dengan jujur, sekali gus memperlihatkan konflik dalaman yang meruntun jiwa.
Penggunaan bahasa Kadazan-Dusun dan Melayu dalam dialog turut memberikan nilai autentik, walaupun terdapat beberapa kekurangan dari segi kelancaran sebutan satu cabaran yang wajar diberi perhatian tetapi tidak menjejaskan keseluruhan mutu persembahan. Keunggulan teater ini turut disokong oleh muzik latar ciptaan Shakkir Latiff yang menggabungkan alat muzik tradisional seperti kulintangan, gong dan seruling bambu dengan elemen moden. Gabungan ini bukan sahaja memperkuatkan suasana persembahan, tetapi turut memainkan peranan sebagai pemangkin emosi yang mengiringi perjalanan cerita.
Koreografi arahan Hamid Chan pula ditampilkan secara minimalis dan penuh makna memperkukuh suasana ritual dalam upacara Magavau yang menjadi klimaks penting dalam persembahan. Dari sudut tema, Huminodun memperlihatkan nilai pengorbanan, kasih sayang, dan hubungan spiritual antara manusia dan alam. Pengorbanan Huminodun sebagai lambang kesucian dan harapan rakyat menjadi pemangkin utama kepada mesej yang disampaikan. Dalam konteks moden, cerita ini membawa makna yang sangat relevan tentang bagaimana manusia harus sentiasa mengingati asal-usul dan menghargai keharmonian dengan alam sekitar. Simbolisme tubuh yang menjadi sumber tanaman melambangkan penghormatan masyarakat terhadap wanita dan kesuburan bumi.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa aspek teknikal yang boleh ditambah baik. Beberapa transisi babak kelihatan terlalu cepat dan kurang beralun, yang sedikit sebanyak menjejaskan kesinambungan emosi. Dalam beberapa babak dramatik, ada pelakon yang kurang konsisten dalam penyampaian perasaan, menjadikan detik-detik penting terasa kurang mendalam. Dengan latihan yang lebih rapi dan pengembangan pengarahan, elemen ini pasti dapat diperkukuhkan.
Daripada perspektif kritikan seni, teater ini berjaya dari pelbagai sudut emosi, teknikal dan mesej. Dari sudut pandang seorang emotionalist, pementasan ini menyentuh perasaan penonton melalui pengolahan tema yang menyayat hati. Jika dilihat dari lensa formalist, semua unsur teknikal seperti pencahayaan, pergerakan pelakon, dan bunyian disusun secara seimbang dan harmoni. Ini menjadikan persembahan bukan sahaja indah dari segi estetika, malah sarat makna. Sebagai kesimpulan, “Huminodun: Muzikal Puteri Nabalu” adalah satu persembahan yang berjaya mengangkat warisan budaya Sabah ke pentas nasional. Ia menjadi jambatan budaya antara masyarakat Sabah dan Semenanjung, sekaligus memperkukuh kefahaman dan penghargaan terhadap tradisi yang unik. Kritikan ini membuktikan bahawa teater bukan hanya sebuah hiburan, tetapi ruang refleksi yang mendalam terhadap nilai budaya, spiritual dan jati diri bangsa.
No comments:
Post a Comment