Sunday, 13 July 2025

Ribut – Bila Kuasa Runtuh dan Rahsia Terbongkar

 



Oleh: Adriana Batrisyia

Dipentaskan di ASWARA pada 29 Jun 2025 
Olah Semula oleh: Aish Mirza & Gloria Mujan 
Lokasi: Panggung Eksperimen, ASWARA Festival PETA (Penilaian Tahun Akhir ASWARA 2025) 
Tiket: RM10 (Pelajar & Umum) 
Waktu Persembahan: 3:00 petang & 8:30 malam 

Ribut merupakan sebuah adaptasi moden daripada naskhah klasik Thunderstorm karya Cao Yu, yang diberikan nafas baharu dalam konteks masyarakat Tionghoa-Malaysia sekitar tahun 1998. Pementasan ini dipersembahkan dalam rangka Festival PETA (Penilaian Tahun Akhir) oleh pelajar ASWARA dan telah berlangsung pada 29 Jun 2025 di Panggung Eksperimen ASWARA, menampilkan dua sesi iaitu jam 3:00 petang dan 8:30 malam. 

Saya telah hadir dan menonton pada sesi pertama iaitu pada pukul 3 petang. Persembahan ini telahpun diolah oleh Aish Mirza dan Gloria Mujan. Mereka merupakan dua pengarah muda yang membawa pendekatan kreatif serta penuh sensitiviti terhadap isu keluarga, kuasa, dan juga rahsia yang diwarisi. Dari awal lagi, penonton telahpun diheret ke dalam rumah agam keluarga Chou yang kelihatan megah dari luar, tetapi sarat dengan konflik dan kesakitan yang tersembunyi. 

Pementasan ini telah menggabungkan beberapa genre iaitu realisme, naturalisme dan elemen surealisme visual. Penonton diletakkan mengelilingi ruang pentas, menjadikan mereka seolah-olah pemerhati sahaja yang menyaksikan perlahan-lahan kehancuran yang tidak dapat dielakkan. Prop sebenar seperti makanan dan penggunaan ruang yang mencerminkan suasana rumah era 90-an menjadikan persembahan ini seolah-olah hidup dan penuh perincian yang realistik. 

Melalui pendekatan psikologi Freud, Ribut menyentuh tentang konflik dalaman watak-watak yang bertembung antara keinginan dan batas moral yang ditetapkan oleh sistem kekeluargaan patriarki. Watak utama lelaki (ayah) memaparkan unsur superego iaitu kuasa dan kawalan mutlak .Manakala, anak-anaknya bergelut dengan idea merekaberkaitan dengan naluri cinta, kebebasan dan juga keinginan untuk melawan autoriti yang menindas. Dalam rumah agam itu, segala yang kelihatan indah hanyalah topeng kepada trauma dan kesedihan yang diwarisi turun-temurun. Simbol rumah dengan aras tinggi dan rendah digunakan untuk menunjukkan hierarki kuasa dan tekanan emosi yang semakin mendalam. 

Seperti yang dinyatakan oleh pengarah, tema “Kerapuhan Kuasa” menjadi dasar pengarahan, menggambarkan bagaimana kekuasaan yang dibina atas ketakutan dan kebohongan akhirnya akan runtuh. Setiap lapisan dalam cerita ini memberikan ruang kepada penonton untuk menilai sejauh mana sistem keluarga yang tampak “suci” boleh menyembunyikan pelbagai bentuk penderitaan dalaman. Lakonan para pelakon yang terlibat dalam produksi ini sangat memberi kesan kepada penonton yang hadir melihatnya. Mereka menampilkan penghayatan watak yang mendalam dan tidak berlebihan. Ekspresi wajah yang terkawal, gerak tubuh yang tepat, serta kawalan suara yang berkesan menjadikan setiap babak sarat dengan ketegangan emosi. 

Penonton dapat merasakan tekanan jiwa yang dialami oleh watak-watak tersebut, terutamanya dalam adegan yang seolah-olah sunyi tetapi bergetar dengan makna. Bunyi guruh yang digunakan untuk kesan bunyi secara konsisten dan pencahayaan suram yang simbolik menjadikan suasana lebih tegang dan dramatik. Semua elemen ini bersatu dalam satu pengalaman pementasan yang menyentuh dan mendalam. Walaupun terdapat sedikit kelonggaran dari segi tempo yang agak lari di bahagian pertengahann , tetapi secara keseluruhannya pementasan yang dipersembahkan tetap kukuh dan berjaya memberikan impak kepada penonton. 

Secara keseluruhannya,teater Ribut ini berjaya membongkar sisi gelap institusi keluarga melalui simbolisme yang kuat dan penceritaan yang menyentuh. Ia bukan sekadar pementasan teater biasa, tetapi satu cerminan terhadap masyarakat kita yang masih terikat dengan struktur kekuasaan yang menekan dan membungkam kebenaran. Walaupun teater ini dipentaskan dalam konteks pendidikan dan penilaian akhir pelajar ASWARA, karya ini membuktikan kebolehan pelajar tahun akhir bukan sahaja dari segi teknik, tetapi juga sensitiviti sosial dan kedalaman analisis psikologi. Ribut adalah pengalaman teater yang layak untuk pentas profesional .Teater ini membawa penonton ke dalam rumah yang tampak sempurna namun penuh seribu satu rahsia. Ribut memberi mesej yang jelas iaitu jika kebenaran terus disembunyikan, lambat-laun akan datang ribut yang memusnahkan segalanya.

No comments:

Post a Comment