Oleh DANNY ALAMSYAH
Baru-baru ini giat di media sosial saya melihat gelagat
manusia yang tidak dapat menerima pembaharuan dalam koleksi cerita-cerita
teater bangsawan yang dipentaskan oleh penggiat-penggiat teater muda. Namun begitu,
ini bukanlah perkara baru. Ada yang menyokong kepada penghasilan karya-karya
baru tanpa mengira latar belakang ceritanya, sama ada berasal dari benua
Nusantara ini atau merentas jauh lautan di seberang sana. Ada juga yang
menentang dengan pandangan hilang identiti keMelayuan teater bangsawan kita.
Pokoknya, sudah tanduskah kisah-kisah Melayu kita untuk dipersembahkan di
pentas bangsawan?
Tidak kurang tempiasnya terkena pada pementasan teater
Bangsawan Cincin Naga Api ini. Secara ringkas, Bangsawan Cincin Naga Api
mengisahkan pengembaraan sekumpulan manusia dari pelbagai puak yang mendiami
sebuah dunia fantasi dikenali sebagai Middle Earth yang cuba untuk memusnahkan
cincin sakti milik Sauron yang punya ambisi menakluki dunia. Ceritanya mudah,
tidak terlalu kompleks dan nyata saya kira karya yang berasal dari buah fikiran
J.R.R Tolkien ini berupaya menarik minat penonton di luar sana.
Dari konteks penceritaan, naskhah yang diadaptasi
daripada filem The Lord of the Rings ini saya kira masih lagi berpegang kepada konvensi bangsawan sedia ada. Jika
dilihat pada pola cerita yang didirikan, wujud situasi pengembaraan, seterusnya
ditunjukkan pengalaman diperolehi watak, unsur-unsur romantisme sewaktu
perjalanan mencapai motif sehingga sedemikian juga wujud pula watak-watak stock-type wira dan wirawati, puteri,
pahlawan-pahlawan dan watak jahat yang menjadi tunjang kepada unsur ketegangan
penceritaan diakhiri dengan elemen kesaksamaan. Struktur plot bersifat episodik
yang tetap sebegini pula seringkali ditonjolkan dalam mana-mana persembahan
bangsawan menjadikannya sebuah bentuk teater yang unik dan istimewa berbanding
teater-teater moden yang lain. Nah, maka di sini sudah saya bahaskan sedikit
dari satu sudut, bahawasanya tidak menjadi masalah dari alam mana sekalipun
cerita bangsawan itu dicedok, yang menjadi keutamaan, ciri-cirinya masih
dikekalkan.
Tutur kata dan aksi lakonan dalam teater bangsawan sudah
diketahui umum sememangnya bersifat stylized.
Adalah menjadi suatu keistimewaan bagi persembahan bangsawan dalam menggunakan
seolah-olah seni kata yang dicampur aduk dengan lagu dan tarian selain seni
kata daripada campuran kata bual dan kata lagu. Dari sini, pertembungan antara
kesemua elemen berikut mencambahkan unsur-unsur romantisme dalam percakapan
antara watak. Saya yakin, pada yang menonton pementasan bangsawan ini, pasti
jelas terlihat antara watak Frodo dan kekasihnya, Ella di permulaan awal cerita
berkasih dengan menggunakan teknik seolah berbalas pantun dalam mengemukakan
hasrat hati, atau berdialog dengan menggunakan rangkap yang mempunyai elemen
puitis melalui ungkapan bunyi irama yang sama sekaligus menimbulkan efek bahasa
berlagu ini.
Kontra dengan gaya moden, bangsawan sebagai sebuah
persembahan teater cenderung ke arah menggunakan kesan pandangan spektakular
daripada menimbulkan kesan, reaksi atau emosi yang mendalam kepada penonton.
Rasional kepada pengaplikasian elemen spektakular ini mudah sahaja sebenarnya.
Satu faktor nyata adalah kerana penonton sudah sedia maklum akan jalan ceritanya,
bahkan lagi dengan kisah ini yang diadaptasi daripada trilogi filem epik
Hollywood yang terkenal. Maka, penggunaan elemen ini lantas berupaya menarik
minat penonton sekaligus mewujudkan satu pemandangan pentas yang magis dan
menarik yang turut disokong oleh efek tatarias dan busananya.
Dalam hal ini,
saya kira muslihat pentas yang dilakukan oleh pengarah bangsawan ini bersifat
sederhana, namun cukup sempurna dan menjadi di mata penonton. Tidak perlu
diwujudkan set yang gah di atas pentas yang boleh bergerak bertukar menjadi
raksasa atau efek letupan dan sebagainya yang seringkali gagal di atas pentas
kerana kesalahan teknikal sekaligus menimbulkan satu pandangan menjengkelkan di
mata penonton. Cukup sekadar menggunakan pelakon sedia ada, seolah-olah “diklonkan”
di atas pentas tetapi kemudiannya muncul pula di belakang penonton. Cukup
sekadar ton suara memainkan peranan bagi menyedarkan penonton di mana pelakon
yang sebenar sedang berada dan cahaya pentas dalam mengaburi mata penonton bagi
menjayakan elemen spektakular di mata mereka. Mudah tetapi menjadi. Dan satu
lagi, itulah antara ciri bangsawan yang seringkali ditonjolkan.
Unsur lawak yang dipamerkan melalui pementasan bangsawan
Cincin Naga Api ini saya kira tidak melebih-lebih dan tidak kurang juga
penggunaannya sungguhpun tidak diwujudkan satu watak stock-type khusus bagi menyampaikan elemen lawak itu. Saya
melihat dalam kalangan susunan watak-watak dalam bangsawan ini elemen lawak
disampaikan secara sama rata bergantung kepada situasi dan keadaan di mana
cerita itu berada dan apa motif yang mahu disampaikan. Ini boleh dilihat ketika
berlakunya perbualan antara Frodo dan kekasihnya, Ella dan begitu juga gelagat
Gimly yang mencelah disaat babak romantis antara Aragorn dan Puteri Arwen serta
ketika perbualan melibatkan Gandalf dan Frodo di peringkat awal cerita.
Saya kira pembahagian sebegini merupakan satu langkah
yang bijak memandangkan dominasi menggunakan sebuah watak yang sering digunakan
dalam bangsawan-bangsawan lain cenderung memperlihatkan elemen slapstick yang melampau dan
menjengkelkan. Sememangnya benar bahawa ahli lawak merupakan salah satu watak stock-type yang wujud dalam bangsawan.
Namun perlu diingatkan di sini bahawa hanya apabila sesebuah bangsawan itu
terlalu dilebih-lebihkan dengan elemen slapstick
walaupun pada hakikatnya golongan penonton pada masa kini sudah maju
pemikirannya menunjukkan petanda bahawa bangsawan sudah semakin hilang
peminatnya dan pengkarya melakukan tugasnya sekadar melepaskan batuk di tangga
dengan harapan tiket habis dipotong dan penonton hadir memenuhi kerusi bergelak
ketawa dengan lawak yang kurang bijak. Kita sendiri sudah pasti tidak
mahu bangsawan hilang dari muka bumi ini.
Secara keseluruhannya, saya terhibur sepanjang pementasan
ini berlangsung. Tahniah kepada penulis dan juga pengarah teater ini kerana
berjaya mementaskan sebuah pementasan yang menarik pada pandangan saya. Dan di
peringkat akhirnya, pengambilan kisah-kisah luar diadaptasikan ke pentas
bangsawan bukanlah sesuatu yang baru. Malah, dari awal bangsawan bertapak di
negara ini lagi, kisah-kisah luar yang diinspirasikan daripada karya Natyaveda, Naytasastra, kisah-kisah epik
Cina dan Eropah sudah lama digunapakai oleh golongan pengkarya bangsawan. Tidak
timbul sebenarnya isu hilang identiti keMelayuan. Apa yang penting bangsawan
itu konvensinya masih kita pelihara dan masih terus wujud sehingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment