Oleh NUR NABILAH BANYUK
Kisah lagenda Santubong dan Sejinjang
begitu popular sekali dalam kalangan masyarakat negeri Sarawak. Lagenda ini
mengisahkan mengenai dua orang puteri iaitu Puteri Santubong dan Sejinjang yang
dikenali sebagai penjaga gunung negeri Sarawak. Terdapat banyak versi yang mengisahkan mengenai lagenda ini dan salah satunya menyatakan
bahawa pergaduhan antara Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang ini terjadi
adalah disebabkan oleh ketidakpuasan hati mereka kerana kedua-duanya ingin
mendapatkan Putera Serapi yang menjadi pujaan hati mereka. Akhirnya, pergaduhan
tersebut menjadi tauladan dan kedua-duanya disumpah menjadi Gunung Santubong
dan Gunung Sejinjang oleh Raja Kayangan.
Kisah lagenda ini begitu mirip sekali dengan
sebuah pementasan teater iaitu teater kontemporari Iban berjudul Benua Igau yang telah
dihasilkan dan diarahkan oleh Asfaridah Umar. Adakah pementasan ini mempunyai
kaitan dengan lagenda Puteri Santubong dan Sejinjang ataupun ceritanya
mengambil inspirasi berdasarkan cerita tersebut? Daripada pengamatan saya, terdapat
unsur-unsur yang sama digunakan dalam lagenda tersebut dengan pementasan teater
Benua Igau ini. Hal ini kerana, perjalanan ceritanya turut mengisahkan mengenai
dua beradik iaitu Laura dan Maya yang merupakan watak utama dalam cerita
tersebut yang menimbulkan konflik pergaduhan antara mereka gara-gara disebabkan
oleh seorang lelaki iaitu Andry. Pementasan teater ini telah dipentaskan pada
21 dan 22 April 2017 di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam. Pementasan ini
secara langsungnya banyak mengetengahkan budaya Iban yang merupakan salah satu
kaum di Sarawak. Satu pujian untuk pengarah dan ahli produksinya kerana
mempunyai keberanian untuk mementaskan teater kontemporari Iban yang pertama di
Malaysia.
Naskah ini mengisahkan
mengenai kekuasaan yang ada di dalam kitab Benua Igau yang disimpan oleh Inik.
Sekiranya kitab tersebut dibacakan manteranya, cerita yang mengisahkan mengenai
dua beradik iaitu Maya dan Laura akan menjadi realiti. Ini juga berkaitan dengan
Inik yang merupakan salah satu watak di dalam kitab tersebut iaitu Maya. Maya
dan Laura telah diperintahkan untuk turun ke bumi bagi memberi kedamaian kepada
penduduknya. Mereka telah membuat perjanjian dengan Raja Sempulang bahawa
sekiranya mereka berdua bermusuhan antara satu sama lain, mereka akan dimakan sumpah. Namun, malang sekali kerana Laura dan Maya telah
melanggar perjanjian tersebut. Mereka bermusuhan antara satu sama lain
disebabkan Laura cemburu dengan kecantikan dan kelebihan yang ada pada Maya.
Selain itu, Laura juga ingin merampas cinta sejati Maya iaitu Andry.
Disebabkan
cemburu yang melampau, Laura telah menculik dan mengurung Maya di suatu
tempat dan akan melepaskannya setelah Laura bernikah dengan Andry. Maya berasa
amat marah apabila dia mengetahui Andry telah mengingkari percintaan mereka dan
membalas dendam dengan membunuh Andry. Maya juga cuba untuk membunuh Laura
namun apabila mereka bertelingkah, sumpahan terus terkena pada mereka dan
akhirnya Laura dan Maya juga mati di tempat kejadian. Akhirnya, kitab Benua
Igau tersebut diwarisi oleh cucu kepada Inik iaitu Gelau.
Bahasa yang digunakan di dalam
pementasan ini adalah Bahasa Melayu baku, Bahasa Melayu Sarawak, dan juga Bahasa
Iban. Walaupun banyak dialog-dialog yang diucapkan adalah jelas, namun terdapat
beberapa dialog yang masih sukar untuk difahami kerana mungkin menggunakan
Bahasa Iban secara menyeluruh di dalam beberapa dialog. Seperti yang kita tahu,
kaum Iban turut memiliki khazanahnya yang unik terutamanya dari segi pemakaian,
alat muzik, tarian, dan juga cara pengucapan kaum tersebut. Jika ditinjau
secara terperinci, pengarah telah berjaya mengangkat keseluruhan budaya kaum
iban di atas pentas teater ini. Elemen tarian diselitkan dengan rapi dibantu dengan
alunan alat muzik dari Borneo menjadikan persembahan ini tambah mengasyikkan. Set pentas
yang tidak terlampau berat mata memandang, membantu perpecahan cerita antara
dunia nyata dengan dunia kayangan.
Namun, berlaku beberapa kekeliruan apabila
lakonan di antara dunia nyata dan dunia kisah kitab Benua Igau tampak tidak
berapa kemas dan jelas. Satu persoalan yang timbul iaitu adakah watak yang
turun dari kayangan iaitu Laura dan Maya ini tidak meningkat usianya di dalam
dunia kitab Benua Igau tersebut? Ini adalah kerana perubahan usia pada watak
Inik ataupun Maya nampak mengelirukan terutama pada penampilannya. Perubahan
watak ini digarap melalui perubahan fizikalnya di mana apabila watak Maya yang
dilakonkan, pelakon akan melakonkan dengan fizikal yang tampak anggun manakala
ketika melakonkan watak Inik pula, pelakon akan membongkokkan badannya untuk
menjelaskan bahawa itu adalah watak Inik iaitu seorang wanita tua. Perubahan
ini hanya ditunjukkan melalui pergerakan fizikal pelakon tetapi tidak pada
penataan tatariasnya. Ini juga berlaku pada watak Laura kerana fizikal dan
kesan tua pada wajahnya tidak ditonjolkan sama sekali sedangkan perubahan usia
Andry diserlahkan melalui warna rambutnya yang sedikit beruban dan fizikal
badannya yang membongkok. Walaupun begitu, lakonan yang cukup mantap daripada
pelakon-pelakonnya membantu menutupi isu dan permasalahan yang timbul ini. Pemilihan
dan pembawaan watak yang digalas oleh para pelakon, dilakonkan dengan sehabis
baik dan berjaya menarik perhatian semua penonton yang hadir.
Secara keseluruhannya, jalan cerita di
dalam pementasan ini mudah diikuti dan unsur-unsur tarian dan nyanyian
menyerlahkan lagi daya kreativiti pengarah dan ahli produksinya. Taniah dan
syabas kepada semua yang terlibat kerana telah berjaya mementaskan karya ini. Semoga pementasan seperti ini dapat digiatkan terutamanya dalam kalangan belia bagi menggalakkan masyarakat untuk
mengapresiasi seni budaya dan warisan yang semakin lama semakin terhakis
ditelan zaman.
Agik idup agik ngelaban. Oo…haaa!
No comments:
Post a Comment