Friday, 23 June 2017

MESIN DAN KOPI: TEKNIK PERALIHAN WATAK YANG KURANG JIWA

Oleh MOHD ARIF SHAPIEE

Mesin dan Kopi karya dan arahan Harith Amirul telah dipentaskan di Revolution Stage pada 29 Mac sehingga 2 April 2017. Sebuah teater yang mengadunkan mesin dan kopi sebagai simbol kepada alam pekerjaan di syarikat-syarikat korporat. Karya ini mengisahkan tentang tiga individu yang bekerja di Terbit Barat Corporation. Kisah ini berkembang melalui kebahagiaan dan kesengsaraan yang dialami oleh Iqbal, Hanna, dan Hakim ketika bekerja di syarikat tersebut. Watak Iqbal dilakonkan oleh Aiman Afendy, watak Hanna dilakonkan oleh Nina Zainuddin, dan watak Hakim dilakonkan oleh Shamein Azlan.

Penulis naskah ini bijak apabila menjadikan mesin sebagai simbol kepada masalah dan tekanan yang dialami oleh pekerja dan kopi sebagai simbol kepada keadaan pekerja melepaskan tekanan kerja. Mesin fotokopi menjadi masalah kepada pekerja-pekerja di Terbit Barat Corporation kerana hanya terdapat sebuah sahaja mesin fotokopi yang disediakan dan para pekerja terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan mesin tersebut. Ketika cerita dimulakan, ketiga-tiga watak sedang beratur untuk menggunakan mesin tersebut. Ketika itulah penulis telah memberikan petanda kepada masalah-masalah yang dialami oleh watak-watak tersebut. Sebagai contoh, watak Hanna diraba, Iqbal dibuli, dan Hakim menjadi seorang yang baran dan sering marah-marah.

Manakala, pemilihan penulis untuk menjadikan kopi sebagai simbol kepada ketenangan juga amat sesuai, kerana kebiasaannya para pekerja akan melepak di kawasan pantri untuk merehatkan diri dengan meneguk kopi atau apa-apa sahaja jenis minuman yang mereka gemari. Dalam teater ini, penulis ada menunjukkan dalam satu babak pelakon sedang mengacau kopi di dalam gelas dan mereka melafazkan dialog dengan tenang. Ketiga-tiga watak ini amat tertekan dan apabila mereka melafazkan dialog secara tenang sewaktu mengacau kopi itu cukup jelas untuk menonjolkan hasrat penulis untuk menjadikan kopi sebagai simbol kepada ketenangan.

Tiga pelakon diketengahkan untuk melakonkan beberapa watak. Selain menjadi watak utama, setiap pelakon juga memegang watak-watak sampingan. Melihat peralihan watak yang ditunjukkan, ada yang berjaya dan ada juga yang kurang berjaya. Apabila Nina dan Shamein beralih daripada watak Hanna dan Hakim kepada watak pembuli yang membuli watak Iqbal, saya boleh katakan peralihan watak tersebut berjaya kerana gaya lakonan mereka tampak berbeza. Nina sebagai Hanna dan sebagai pembuli itu kelihatan seperti dua watak yang berbeza. Hanna dilakonkan sebagai seorang wanita yang lemah-lembut dan bagi watak pembuli pula Nina melakonkan watak pembuli itu sebagai seorang wanita yang bermulut lancang dan gedik. Namun, apabila Nina beralih kepada watak isteri Hakim, saya merasakan peralihan tersebut kurang berjaya kerana saya masih melihat perwatakan Hanna pada watak isteri Hakim. Seolah-olah Hanna ialah isteri Hakim, sedangkan isteri Hakim adalah individu yang lain. 

Begitupun saya berpendapat bahawa Nina telah berjaya melakonkan watak Hanna dengan baik pada pementasan kali ini berbanding pementasan teater Mesin dan Kopi yang pertama. Lakonan Nina pada kali ini lebih matang dan lebih menjiwai watak Hanna. Mungkin, penjiwaan watak Hanna itu terlalu kuat sehingga peralihan ke watak isteri Hakim itu menjadi goyah.

Shamein pula berjaya menunjukkan peralihan yang berkesan kepada watak pembuli iaitu seorang lelaki lembut yang bermulut lancang dan berhati busuk. Namun, ketika Shamein menjadi Hakim, saya kurang merasakan penjiwaan watak. Saya merasakan Shamein hanya melontarkan dialog, sedangkan watak Hakim merupakan watak yang sangat berat. Watak Hakim merupakan seorang suami yang bekerja di Terbit Barat Corporation untuk jangka masa yang lama tetapi tidak mendapat kenaikan pangkat mahupun gaji yang setimpal dengan hasil penat lelahnya. Beliau sering bekerja hingga lewat malam sehingga tidak mempunyai tidur yang cukup dan akhirnya beliau mengalami delusi yang teruk sehingga beliau percaya bahawa isterinya curang. Walhal, itu hanyalah delusi yang bermain di kepalanya. Kelihatan pada mata Shamein seperti beliau sedang menyusun bait-bait dialog. Beliau tidak bersatu dengan given circumstances yang telah diberikan oleh pengarah. Given cicumstances merupakan elemen aksi yang diketengahkan dalam Sistem Stanislavski yang bermaksud pelakon perlu melibatkan perkara-perkara yang dilalui oleh pelakon sewaktu mencipta watak seperti plot, zaman, waktu, dan tempat. Stanislavski percaya bahawa psikologi dan perangai fizikal individu dipengaruhi oleh pengaruh keadaan sekeliling. Maka, apabila pelakon sudah mengkaji dan membiasakan diri dengan given circumstances pelakon akan mampu melakukan aksi yang mempunyai sebab yang bersesuaian dengan keadaan sekeliling. Pada pendapat saya, sekiranya Shamein lebih membiasakan diri dengan given circumstances yang telah diberikan, beliau tidak akan kelihatan seperti sedang menghafal dialog dan terikat pada blocking yang telah diberikan atau kelihatan canggung di atas pentas.

Seterusnya, Iqbal merupakan seorang graduan sebuah universiti dan sewaktu beliau menuntut di universiti, beliau merupakan pengerusi kepada kelab anti buli. Hal ini telah diketahui oleh rakan sekerjanya di Syarikat Terbit Barat Corporation. Apabila rakan sekerjanya mengetahui akan perkara ini, mereka mula mengejek dan memperlekehkan Iqbal. Antara dialog yang dilafazkan oleh rakan sekerjanya adalah “Kau ni tak ada telur kah?” Sewaktu babak ini, Aiman berjaya memberikan reaksi yang tepat. Namun, saya merasakan Aiman hanya berjaya menguasai luaran watak Iqbal ini sahaja. Beliau kurang menjiwai jiwa watak ini yang membentuk perwatakan Iqbal. Beliau boleh menggunakan “Magic If” iaitu salah satu elemen aksi di dalam Sistem Stanislavksi. “Magic If” merupakan salah satu cara untuk pelakon mempercayai kemungkinan sesuatu kejadian. Hal ini demikian kerana, Stanislavski percaya bahawa seorang pelakon tidak mungkin mudah untuk mempercayai kebenaran dan realiti di atas pentas. Justeru, melalui “Magic If” ini pelakon boleh menukarkan tujuan watak kepada tujuan pelakon bagi meningkatkan kepercayaan pelakon terhadap kebenaran dan realiti di atas pentas. 

Tujuan saya mengetengahkan elemen aksi ini kerana saya melihat watak Iqbal ini dilakonkan seperti seorang lelaki yang tidak pernah dibuli. Sedangkan, watak Iqbal merupakan watak yang mempunyai sejarah silam yang teruk dalam kes buli dan kes tersebut sekali lagi menghantui dirinya. Aiman kelihatan melakonkan watak ini sedikit kuat seperti seorang leaki yang berani melawan pembuli. Walhal, itu bukanlah Iqbal. Peralihan Aiman daripada watak Iqbal kepada watak Dato yang mencabul Hanna pula, saya boleh katakana berjaya kerana terdapat perubahan perwatakan. Hal ini amat penting kerana perwatakan akan membezakan watak.

Kesimpulannya, teater Mesin dan Kopi pada kali ini masih mengetengahkan mesej yang sama tetapi diadun sedikit berbeza. Saya mungkin bersifat sedikit berat sebelah kerana saya lebih menggemari penyusunan pengarah pada pementasan Mesin dan Kopi yang pertama kerana saya merasakan pementasan pada kali ini agak terganggu tempo persembahannya kerana beberapa perubahan yang dilakukan. Namun, hal ini tidak menghakis kekaguman saya kepada naskahnya yang berjaya merakam zaman. Tahniah saya ucapkan kepada pengarah, para pelakon, dan ahli produksi lain atas hasil pementasan yang baik. Sebuah teater yang memberikan kesedaran yang diperlukan pada zaman kini. Tahniah, teruskan berkarya!

No comments:

Post a Comment