Oleh INKKA NOOR HAZZLYNNDA KAMAL
Bertempat di Revolution Stage Studio Damansara pada
31 Mac 2017, teater berjudul Mesin dan Kopi dipentaskan di bawah Projek Bilik Sempit. Karya ini yang juga sebuah pementasan semula, telah ditulis dan diarahkan oleh Harith Amirul dengan penampilan para pelakon Shamein Azalan, Nina
Zainuddin, dan Aiman Afendy. Dalam penulisan ini, saya memberikan tumpuan kepada pemerhatian ke atas beberapa elemen drama yang dipaparkan di dalam pementasan ini.
Plot teater
ini disampaikan dengan tersusun, kemas, dan tidak mengelirukan. Watak-watak
dicabar dengan tekanan di tempat kerja idaman. Karya ini menggambarkan situasi
yang benar terjadi di dunia realiti. Cabaran di mana impian yang ada tidak
dipenuhi dengan baik apabila berlaku tekanan akibat dibuli. Ketiga-tiga pelakon bukan sahaja membawa watak utama yang
mengalami tekanan di tempat kerja, tetapi turut memainkan watak lain yang memberi tekanan kepada watak utama. Justeru, peralihan watak harus dilakukan dengan pantas dan teliti. Begitupun, peralihan watak tidak berlaku dengan begitu lancar dan meyakinkan. Para pelakon kelihatan selesa dengan watak utama masing-masing namun agak lemah apabila memainkan watak berbeza.
Penggunaan kesan bunyi
agak menarik, ia tidak keterlaluan malah bersesuaian dengan situasi yang dipaparkan. Efek muzik yang dipilih untuk bahagian permulaan dan
peleraian cerita berhasil menimbulkan rasa yang berlainan. Harith mengemukakan set dan prop yang ringkas, kostum yang sederhana, dan
tatacahaya yang paling asas. Namun, penggunaan yang minimal ini mampu
menghantar cerita dengan lebih baik. Set yang
berlatarkan tiga dinding, dihiasi pelbagai lukisan, yang mana semua lukisan itu melambangkan kehidupan setiap watak utama iaitu Hakim, Iqbal, dan Hana. Idea ini telah diaplikasi dalam cara yang menarik.
Persembahan ini memperbesarkan idea saya mengenai kreativiti bermain teater dalam sebuah ruang
yang sempit. Mungkin kerana pendedahan saya sebelum ini banyak berlaku di ruang-ruang besar dengan penghasilan pelbagai idea yang besar. Namun projek bilik sempit
ini memperluaskan pengetahuan saya untuk berkreatif dalam cara sederhana dan ringkas.
No comments:
Post a Comment