Oleh NUR AFIQAH HARUN
Pada 14 Mei 2017 bertempat di Auditorium
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah berlangsungnya pementasan Bangsawan
Cincin Naga Api. Bangsawan ini merupakan adaptasi dan olahan semula daripada filem Lord
Of The Ring (Fellowship Of The Ring) oleh Roydy
Rokidy dan diarahkan bersama oleh Khusiary Mahayuddin dan Roydy sendiri.
Bangsawan Cincin Naga Api mengisahkan
tentang usaha sekumpulan manusia dari pelbagai puak di Middle Earth untuk
memusnahkan sebentuk cincin yang mempunyai kuasa jahat Sauron, yang bakal
menakluki dunia. Dalam perjalanan mereka menuju ke pergunungan Doom, pelbagai
halangan dan dugaan dihadapi, terutamanya ke atas Frodo iaitu pembawa
amanat memusnahkan cincin itu. Tanpa disangka, Raja Saruman yang dianggap
sebagai penyelamat mereka telah berpaling tadah dan tunduk pada kuasa jahat
Sauron. Gandalf yang mengetuai perjalanan itu akhirnya
terbunuh, mengakibatkan yang lain-lainnya hampir putus harapan untuk menyelamatkan
dunia. Sewaktu di dalam perjalanan, mereka bertemu dengan Smeagol (Gollum) yang
boleh membantu mereka menuju ke pergunungan Doom melalui jalan pintas.
Penulisan ini memberi perhatian terhadap
lontaran vokal para pelakon dalam pementasan ini, yang merupakan instrumen terpenting untuk menghubungkan para pelakon dengan khalayaknya.
Agak mengecewakan kerana lontaran vokal para pelakon kurang memuaskan. Ada pelakon
yang bercakap terlalu laju sehingga menelan dialognya sendiri. Ada juga pelakon yang melontarkan dialog seperti menjerit dan tidak melakukan projeksi dengan betul. Akibatnya, penonton tidak dapat menerima dengan jelas apa yang disampaikan. Begitupun pujian harus diberikan kepada
watak Galadriel kerana projeksi vokal watak ini amat baik dan setiap patah dialog yang disebut
dapat didengar dengan jelas, disertai penyampaian yang bertenaga.
Secara keseluruhan, pementasan ini berjalan
dengan lancar, hanya lontaran vokal yang kurang memuaskan membuatkan saya tidak dapat mengikuti perjalanan persembahan dengan jelas. Tenaga yang terhasil daripada projeksi vokal yang baik berperanan penting dalam mempengaruhi penerimaan khalayak.
No comments:
Post a Comment