Oleh M. KHAIRUDDIN SABRI
PADA 20 Mei yang
lalu, saya meluangkan masa menonton teater berjudul Bangsa
Koyak di Studio Revolution Stage. Pementasan ini diterbitkan oleh Dramatis Studio, sebuah kumpulan anak-anak muda di bawah bimbingan pelakon teater terkemuka tanahair, Rosli Rahman
Adam. Ia diarahkan oleh Zayrul Iqwan Rosli dan ini merupakan sebuah naskhah baru tulisan Nurul Nasuha
Nabila.
Bangsa Koyak mengisahkan kehidupan lima watak yang hanya dikenali sebagai Orang 1, 2, 3, 4,
dan 5, yang menceritakan keperitan hidup masing-masing akibat penindasan oleh kuasa manusia lain. Penindasan dikemukakan sebagai perkara
yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat global apabila manusia memiliki kuasa dan wang ringgit. Pementasan ini sarat dengan sindiran dan kritikan
secara halus dan terbuka seiring mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang.
Kelima-lima
watak yang mengenakan pakaian seperti tentera dan juga orang biasa pada mulanya hanya bercerita sesama mereka, bagaimanapun kemudian berubah menjadi perbualan yang serius. Saya agak terganggu
dengan aksi dan pergerakan berulang-ulang oleh para pelakon. Adakah ini disebabkan ruang lakon yang sempit atau tiada kawalan oleh pengarah? Begitupun para pelakon ini berani menyahut cabaran melontarkan dialog yang membawa mesej berat dan dapat pula difahami dengan jelas, meskipun rata-rata mereka adalah pelakon baru yang masih belajar bersama Dramatis Studio.
Melihat
pementasan ini dari awal sehingga akhir, ketara sekali ianya bersifat kritikan dan mudah difahami. Sebagai penonton, saya sentiasa cuba mencari maksud-maksud lain yang tersembunyi di dalam setiap babak
yang dimainkan. Contohnya mengenai dialog dan pengucapan, tiba-tiba di pertengahan persembahan secara tiba-tiba ia bertukar
daripada stail pengucapan dialog biasa kepada gaya bangsawan. Ini agak menarik perhatian saya terutamanya apabila menyentuh semangat setiakawan dan juga perihal orang yang sanggup membunuh rakannya sendiri apabila beroleh kuasa. Walaupun dialog-dialog yang terkandung di dalam pementasan ini sangat jelas menunjukkan kepada siapa ia ditujukan,
tetapi setiap aksi mereka menampilkan metafora kepada perkara yang memang terjadi di sekeliling kita.
Kemudian kisah
ini berlanjutan lagi sehingga mereka melakukan undian sesama sendiri bagi melantik seorang ketua dalam kalangan mereka dengan menggunakan cara demokrasi, yang mendapat tentangan daripada orang lain. Mereka terus mengadakan kempen
termasuk mengajak para penonton untuk mengundi. Penulis mengemukakan kritikan melalui babak ini, bahawa janganlah hanya bercerita di tepi jalan
sahaja tentang masalah pemimpin jika kita sendiri pun tidak mendaftar untuk
mengundi. Ironinya, ternyata penonton yang datang boleh dikatakan memang tidak
mengundi. Hal ini seolah-olah menjadi refleksi kepada laporan dalam akhbar
Sinar Harian bertarikh 3 Mac 2017, berjudul “4.1 juta rakyat Malaysia layak undi belum daftar:
SPR”.
Satu perkara
yang saya suka apabila menonton teater-teater alternatif seperti ini ialah
pementasan sebegini tidak memerlukan peruntukan kewangan yang besar. Ia hanya memerlukan pemikiran kreatif pengarah dalam menghidupkan jiwa pementasannya. Teater alternatif
sebegini aktif di kawasan Kuala Lumpur dan rata-ratanya dijayakan oleh kumpulan teater
anak-anak muda sekaligus menyumbang kepada kegiatan progresif kancah teater di Malaysia sejak akhir-akhir ini. Persembahan seperti ini juga memberikan alternatif kepada cara bermain teater, yang mana sesebuah pementasan tidak semestinya memerlukan elemen-elemen pentas yang hebat, cukuplah dengan
kebijaksanaan pemikiran yang ingin disampaikan.
Saya melihat persembahan ini
sebagai sebuah persembahan yang tidak terlalu baik dan sempurna kerana ahli
produksi Dramatis Studio ini kebanyakannya dianggotai oleh para pelajar yang masih
belajar dan sering bertukar ganti. Namun mereka sangat gigih berusaha untuk memeriahkan arena teater di Malaysia dengan menghasilkan banyak pementasan. Mungkin jika dapat dikumpulkan para pelajar terbaik yang dihasilkan oleh kumpulan ini, suatu hari nanti mereka akan dapat menghasilkan sesuatu yang menarik, siapa
tahu.
No comments:
Post a Comment