Thursday, 8 June 2017

MENTAFSIR TANDA DAN MAKNA DALAM "KERIKIL"


Oleh VANIDAH IMRAN

KERIKIL membicarakan perjuangan dua puluh lima anak muda dalam menggapai impian mereka untuk bergelar graduan universiti. Kisah ini juga memaparkan perihal alam universiti yang bukan sahaja menjadi medan menimba ilmu tetapi juga mengajar tentang kehidupan yang penuh dengan pelbagai dugaan. Kebebasan dilihat daripada pelbagai makna yang berbeza. Bebas tanpa kongkongan dan leteran ibubapa, bebas untuk menentukan hala-tuju dan membuat keputusan sendiri. Namun, kebebasan yang dinikmati datang dengan tanggungjawab, sama ada kepada diri sendiri, rakan-rakan, para pensyarah, institusi pengajian dan yang paling utama, tanggungjawab kepada ayah dan ibu yang sentiasa berdoa tiada henti demi kejayaan si anak, di dunia dan akhirat. Pastinya onak duri dan suka duka, akan dilalui dalam menggapai impian mereka. Berjayakah kesemua anak muda ini bergelar graduan universiti? 

Semiotik di sebalik Kerikil

Persembahan ini mempunyai nilai yang menarik untuk dikaji daripada aspek visual, dengan menggunakan pendekatan semiotik. Penulisan ini akan menumpukan kepada pencarian makna menerusi babak-babak yang memaparkan pergerakan fizikal pelakon, beserta paparan imej pada skrin LED, khususnya pada babak 1,2,3,4,8,17 dan 19.

Saussure (1974) dan Mana Sikana (1998) mendefinisikan semiotik sebagai the science of life of sign in society, yang mana kesemua yang ada di dalam budaya boleh dilihat sebagai suatu bentuk komunikasi. Semiotik berasal dari perkataan Greek, semeion yang bermakna mengkaji sains umum dalam sistem perlambangan dan tanda (sign) di dalam kehidupan manusia. 

Tajuknya sendiri, Kerikil boleh dilihat sebagai simbolik kepada para pelajar yang memasuki alam universiti. Mereka datang dari pelbagai latar belakang dan pengalaman hidup yang berbeza. Atau ‘Kerikil’ juga boleh ditafsirkan daripada aspek lambang ikonik, sebagai jalan yang penuh dengan cabaran dan perjuangan yang bakal ditempuhi oleh para pelajar, demi bergelar graduan universiti. Ibarat berjalan di atas landasan batu-batu kerikil, yang tajam dan tidak rata, pasti akan ada yang jatuh dan terluka. 

Mana Sikana (1998) menyatakan bahawa lambang ikonik boleh membawa makna yang ambiguity kerana ianya boleh ditafsir dengan beberapa makna atau satu makna daripada beberapa lambang yang digunakan. Norzizi Zulkifli selaku pengarah dan penulis naskah ini, yang juga merupakan antara pensyarah bagi pelajar-pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Fakulti Filem, Teater and Animasi, Universiti Institut Teknologi Mara (Uitm) ini, telah menggunakan teknik improvisasi untuk menghasilkan skrip tersebut.  Ini bermakna naskah Kerikil dihasilkan berlandaskan idea dan prinsip-prinsip di dalam pementasan teater melalui proses improvisasi dan perancangan yang terperinci. 

Semiotik percaya bahawa setiap karya yang dihasilkan oleh seseorang pengarang itu dikesani oleh persekitaran yang mengelilinginya dan makna-makna pula ditentukan oleh tanda-tanda yang dibuat secara jelas atau tidak oleh sejarah dan persekitaran budaya pengarang (Mana Sikana, 1998: 175).  

Babak 1 dan 2

Pementasan dimulakan dengan para pelakon berjalan masuk dari ruang penonton, menuju ke pentas, sambil menyanyikan lagu Wawasan Setia UiTM. Permulaan ini  mempamerkan kebanggaan dan semangat para pelakon (mewakili pelajar) bergelar mahasiswa universiti tatkala menyanyikan lagu rasmi UiTM. Mana Sikana (1998) menegaskan bahawa dalam kajian semiotik, setiap karya itu harus dilihat dalam konteks dirinya sendiri yang mana ia bukan sahaja menilai aspek dalaman karya itu sahaja, tetapi juga hubung-kaitnya dengan sistem luaran yang berkaitan dengan budaya dan masyarakat. 

Lagu tema yang dinyanyikan melambangkan semangat, budaya, dan tanggungjawab yang perlu ada pada setiap pelajar sebagai mahasiswa universiti (sistem dalaman) dan juga tanggungjawab kepada negara sebagai bangsa Malaysia (sistem luaran). Skrin LED di pentas pada pembukaan cerita menunjukkan bendera Malaysia yang bertukar kepada imej Bangunan Canselori UiTM pada akhir lagu Wawasan Setia Uitm. Penggunaan kedua-dua imej ikonik ini adalah sebagai tanda, yang mana bendera Malaysia melambangkan negara kita dan perlembagaan yang harus ditaati. Manakala bangunan Canselori sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. 

Lambang semiotik diterima pakai oleh pemikiran manusia secara kelompok tertentu mahupun universal apabila manusia dengan mudah dapat memahami dan mengaitkan lambang dengan objek yang dilihat (Mana Sikana, 1998: 177). Warna yang digunakan dalam pementasan ini juga boleh diambil kira sebagai simbol yang mewakili elemen-elemen keperibadian, ‘mood’ atau kuasa (energy) tertentu. Kesemua pelakon berpakaian kasual, warna putih dan kelabu bergalaskan beg kain yang berwarna biru, hijau, merah, kuning dan ungu yang diletakkan di bahu, di selempang atau di belakang. Mereka juga membawa beg pakaian beroda (luggage bag) yang lutsinar. 

Keseragaman warna pakaian menunjukkan bahawa sebagai pelajar universiti, tiada jurang perbezaan status atau darjat yang wujud di antara satu sama lain. Manakala warna berlainan pada beg kain boleh diterima sebagai warna-warna identiti individu para pelajar atau tahap bebanan yang dipikul oleh setiap pelajar. Beg pakaian lutsinar kosong yang dibawa boleh memberi tanggapan bahawa pelajar-pelajar ini masih mentah dan ‘kosong’ dengan pengalaman hidup di alam universiti. 

Babak 3 dan 4

Babak ini menampilkan rutin pelajar setiap pagi sebelum ke kelas seperti pergerakan menggosok gigi, membasuh basuh muka, dan memakai baju.  Pergerakan diatur dalam kelajuan yang berubah-ubah mengikut mood dan masa. Imej di skrin LED memaparkan jam besar yang mana anak panah jam bergerak dengan pantas tetapi bunyi detikan waktu yang digunakan adalah bunyi anak panah jam yang bergerak mengikut detikan saat, sekaligus melahirkan kesan audio-visual yang cukup menarik. 

Dari kekecohan di pagi hari, ia bertukar ke babak di kuliah. Kerusi dan meja di tolak masuk ke pentas, dan para pelajar terus mengambil tempat masing-masing. Kali ini skrin bersilih-ganti antara nama kuliah dengan nota kuliah. Para pelakon bergerak pantas bertukar dari satu aksi ke aksi yang lain seperti membaca, menulis, membuka laptop, dan lain-lain pergerakan semasa di dalam kuliah. Penukaran di antara dua babak ini dilakukan berterusan tanpa henti dan dengan mengunakan bunyi detikan waktu yang berterusan. 

Imej jam di skrin LED adalah tanda kepada waktu/masa (penanda). Simbol/tanda boleh juga mewalili perkara yang batiniah seperti perasaan, fikiran dan idea mahupun yang lahiriah seperti objek, benda dan tindakan (Mana Sikana, 1998.178). Pergerakan yang pantas oleh para pelakon serta simbol waktu dan bunyi detikan yang dipaparkan mengikut detikan saat, menimbulkan impak kelam-kabut, kekecohan, dan tekanan kepada para pelajar. Ini menunjukkan betapa berharganya setiap saat itu, dan dengan nada detikan setiap saat yang mengiringi babak tersebut, ianya memberi impak ‘masa itu emas’ kepada para penonton.

Babak 8 

Di dalam babak ini, bunyi ketukan papan kekunci (keyboard) dimulai dari perlahan kemudian lebih jelas apabila lampu pentas terang sepenuhnya, dan menunjukkan aksi para pelajar dalam kesibukan membuat tugasan di komputer. Skrin LED memaparkan aksi jari-jemari menaip laju sambil menyelak helaian buku dan kembali menaip. Bunyi efek menaip diselitkan dengan muzik yang bernada laju. Para pelakon membuat pergerakan di keliling meja dan kerusi, dan kembali menaip, memberi makna mereka sedang bertarung dengan masa dan menghadapi tekanan dalam menyelesaikan tugasan universiti yang banyak. 



Apabila muzik menjadi semakin laju, imej di skrin LED bertukar kepada imej buku-buku yang jatuh satu-persatu. Semakin lama semakin banyak buku berjatuhan dan akhirnya ia menghempap pelajar, diakhiri dengan imej batu-batu kerikil di skrin pentas dan monolog dari salah seorang pelakon yang mewakili suara para pelajar. Monolog itu meluahkan keperitan yang mereka hadapi. Namun ibarat kerikil, walaupun kecil tetapi kuat, mereka tidak akan putus asa, tetap akan teguh berjuang demi untuk bergelar graduan universiti dan sekaligus menjadi kebanggaan ibu bapa, para pensyarah, serta pihak institusi. 

Pergerakan pelakon yang agresif dan tidak statik dibantu dengan imej paparan di skrin memberi makna yang jelas tentang babak tersebut. Imej jari-jemari mengetuk papan kekunci di skrin adalah simbol universal yang jelas bagi perbuatan membuat kerja atau tugasan dengan menggunakan teknologi. Kemudian imej itu berganti pula dengan buku-buku yang jatuh satu-persatu, yang mana buku-buku juga adalah merupakan simbol universal bagi ilmu pengetahuan, diakhiri dengan paparan batu-batu kerikil di skrin. 

Ketiga-tiga imej (simbol) yang dipaparkan silih-berganti ini, memberi penerangan visual secara langsung kepada para penonton. Dengan mengenal pasti simbolnya, khalayak akan segera menangkap maknanya. Peranannya adalah untuk memudahkan narasi atau deskripsi teks (Mana Sikana, 1998: 178).

Babak 17 

Ibarat berjalan di atas kerikil-kerikil yang tajam, walau terjatuh dan luka tetapi tetap akan cuba bangun dan terus berjalan. Babak ini dimulai dengan pergerakan fizikal berbentuk tarian oleh seorang pelakon. Skrin pentas memaparkan imej grafik yang abstrak dengan bantuan penataan cahaya bagi melahirkan imej yang mewakili emosi dan perasaan, dan dengan berlatarkan muzik yang intense untuk memberikan impak kekecewaan dan kemarahan yang sedang dihadapi. 



Pelakon melahirkan rasa kekesalan dan kemarahan kepada diri, namun cuba memotivasikan diri untuk bangun dan meneruskan perjuangan. Walaupun tubuhnya semakin berputus asa, namun dia tetap menggagahkan diri untuk bangun semula dan berjalan di atas kerikil-kerikil yang tajam. Dengan bantuan dan sokongan teman-teman lain, segala cabaran dan rintangan yang dihadapi itu dapat diharungi bersama. 



Menurut Mana Sikana (1998), semiotik menjurus kepada kajian di dalam bahasa teks yang mempunyai hubungan kukuh kepada sesuatu idea, fikiran, perasaan, keserupaan, dan perbandingan. Ini diperjelaskan lagi melalui kaedah tanda yang telah didasarkan secara sistematik oleh ahli falsafah Amerika, Charles Sanders Pierce, iaitu ikonik, indeks, dan juga simbol. Lambang ikonik merujuk kepada sesuatu idea, benda atau gerakan yang boleh dikenal maksudnya. Di dalam babak 17 ini, penggunaan warna hitam dan tona variasi kemerahan dan jingga serta imej abstrak dengan bantuan teknik lampu dan muzik latar yang sesuai, boleh dianggap sebagai antara elemen-elemen ikonik yang merujuk kepada idea-idea, benda dan gerakan bagi mewakili pergerakan emosi dan perasaan seperti marah, keliru, kekecewaan, semangat yang membara dan lain-lain. 

Babak 19 

Penutup persembahan mengulangi lagu Wawasan Setia Uitm seperti pada pembukaan pementasan, menampilkan pelakon berpakaian baju Melayu lengkap dan bersongkok bagi pelajar lelaki dan baju kurung bagi pelajar perempuan, dalam warna putih dan kelabu cair. Cuma kali ini, luggage bag yang dibawa bukan lagi lutsinar tetapi nyata dan berwarna-warni. Di pertengahan nyanyian, lagu berhenti seketika dan para pelakon membuka beg masing-masing, kemudian memakai topi graduasi - mortar board -  dan meneruskan nyanyian. Ketika ini imej di pentas dilatari gambar pelajar-pelajar dengan ibu bapa mereka semasa kecil dalam warna sephia. Akhirnya mereka berjaya bergelar GRADUAN UNIVERSITI! 



Pementasan teater Kerikil boleh diangkat sebagai sebuah mekanisme bagi mempengaruhi anak-anak muda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, sekaligus membakar semangat mereka untuk teruskan perjuangan walaupun jalan yang dilalui itu penuh dengan cabaran. Pada babak terakhir, penampilan para pelajar yang berbeza daripada ketika awal persembahan melambangkan transisi yang telah berlaku dalam diri mereka. Topi graduasi yang dipakai adalah lambang ikonik universal, digunakan oleh mahasiswa universiti di seluruh dunia yang menandakan mereka telah berjaya bergelar graduan universiti. Jika pada awal pementasan beg yang dibawa adalah lutsinar, namun pada babak akhir beg tersebut adalah lebih solid atau nyata,  melambangkan ilmu serta pengalaman yang dipelajari dan dimiliki oleh para pelajar sepanjang pengalaman mereka di universiti. 



Menurut Mana Sikana, sesebuah karya yang mempunyai sistem tersendiri melalui pengunaan sistem tanda atau kod, dapat menghubungkan sistem karya itu dengan sistem yang berada di luar karya. Dengan mengunakan pendekatan strukturalisme dibantu bahasa yang digunakan di dalam teater atau drama, mesej-mesej sosial, imej idea, dan falsafah tertentu dapat disampaikan dengan lebih mudah terutama jika ianya dekat dengan jiwa dan budaya para penonton. 

RUJUKAN 

Mana Sikana. 1998. Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 

No comments:

Post a Comment