Pada
25 Mei yang lepas, saya berkesempatan menonton dua persembahan berlainan sempena Penilaian Tahun Akhir (PETA) bertempat di BlackBox ASWARA. Dua naskhah dipentaskan iaitu Bilik karya Noor Effendy Ibrahim, dan sebuah karya Hatta Azad Khan berjudul Mayat.
Penulisan ini memberikan fokus kepada persembahan
Bilik arahan saudara Zul Rango.
Bilik
berkisar tentang Hasni, Fared,
Faridah, Hamed, dan Helmy yang bekerja sebagai pembunuh. Mereka berkumpul di sebuah bilik dan membincangkan kerja pembunuhan masing-masing. Hamed mengejutkan semua orang apabila memberitahu bahawa dia ada membawa pulang seorang wanita bernama Aisah tanpa dibunuh. Pelbagai
konflik berlaku selepas itu yang membawa kepada kematian Hasni,
Fared, Faridah, dan Helmy. Tinggallah Hamed dan Aisah yang sudah berasakan mereka
berjaya menyelamatkan diri, namun sesuatu terjadi kepada Hamed pada
penghujung cerita ini.
Penulisan ini memberikan perhatian terhadap aspek sinografi yang merupakan satu terminologi bagi mewakili keseluruhan bentuk visual dalam sebuah
pementasan teater, merangkumi elemen-elemen set dan prop, tatacahaya,
tatarias, busana, dan kesan-kesan khas.
Pementasan yang berdurasi lebih kurang 45 minit ini, tersedia dengan
kepelbagaian elemen spektakular visual yang digarap dengan kemas untuk
dinikmati oleh penonton. Penggunaaan tatacahaya dan audio pada permulaan babak
diadun dengan kemas dan seimbang dengan penampilan pelakon. Tanpa membunuh satu sama lain, sebaliknya pelakon dan elemen sinografi ini saling membantu dalam
mencapai matlamat cerita. Paparan visual pada permulaan babak mengingatkan saya
kepada filem Hollywood The Purge yang memaparkan
watak bertopeng menakutkan, yang saling berbunuhan antara satu sama lain.
Perkara ini menimbulkan keterujaan untuk mengetahui perjalanan cerita ini
sehingga tamat.
Saya tertarik dengan penggunaan kesan khas darah - ketika adegan memenggal kepala. Ia dirancang dengan kemas menjadikan adegan itu begitu meyakinkan. Penataan set dan prop dalam persembahan ini memperlihatkan bentuk-bentuk yang asing dan abstrak, misalnya
set sinki yang digunakan langsung tidak menyerupai sinki dunia realiti. Begitu juga dengan kerusi, almari, dan pintu keluar masuk.
Walaupun pelakon bijak berimprovisasi dalam ruang
lakon yang minimal dan padat dengan binaan set, namun dalam masa sama pelakon juga kelihatan kurang keserasian
apabila bermain dengan set. Kekurangan latihan menggunakan set
dan prop mungkin juga menjadi faktor di sebalik kelemahan ini.
Adegan yang berlangsung di belakang layar putih contohnya ketika adegan Hasni dibunuh, adakalanya mengganggu fokus penonton, apatah lagi perlakuan-perlakuannya agak kurang jelas, malah terlalu cepat sehingga tidak memberi peluang kepada penonton untuk mewujudkan interpretasi.
No comments:
Post a Comment