Friday, 26 May 2017

SATIRA SEBUAH BANGSA KOYAK


Oleh MUHANIZA MUHAMMAD

Beberapa hari lalu saya hadir ke Revolution Stage untuk menyaksikan pementasan teater Bangsa Koyak karya Nurul Nasuha Nabila, arahan Zayrul Iqwan Rosli. Ceritanya mengisahkan tentang lima sekawan yang ditampilkan kemas dan segak berpakaian tentera, berlatarbelakangkan sebuah kawasan yang luas. Mereka melakukan perbincangan dan luahan ketidakpuasan hati sesama mereka sendiri tentang perilaku manusia dan dunia sekeliling. Di awal pementasan, saya menanggap bahawa Bangsa Koyak merupakan sebuah pementasan yang berunsur patriotik. Namun saya silap, kerana kemudiannya saya menyedari bahawa kostum yang dikenakan oleh watak-watak ini hanyalah untuk mengaburi mata penonton semata-mata. Saya memberikan kredit kepada pemilihan pengarah dalam soal kostum.
Bangsa Koyak secara sedar menggunakan elemen satira bagi menyampaikan sebuah kritikan terhadap dunia politik. Sayangnya cara kritikan yang dilakukan terlalu bersifat langsung (direct) sehingga menjadi terlalu mudah untuk para penonton menangkap tentang 'siapa' dan 'kepada siapa' kritikan Bangsa Koyak ini ditujukan. Permainan pentas menjadi terlalu mudah untuk difahami manakala unsur lawak jenaka yang ditambah-tambah dan dibuat-buat menjadikan perjalanan cerita agak hambar. Tiada salahnya menyelitkan unsur sebegini tetapi tujuan dan kawalan harus ditegaskan supaya jalan cerita tidak meleret. Penggunaan ad-lib juga terlalu banyak membuatkan saya tertanya-tanya, apa yang sebenarnya pengarah mahu sampaikan?
Disiplin para pelakon juga dipersoalkan kerana kebanyakan mereka kelihatan terlalu selesa membawa 'diri-sendiri' sewaktu berlakon. Manakala beberapa orang pelakon kelihatan bermasalah dengan sebutan diksi mengakibatkan lontaran dialog menjadi kurang jelas. Ini pasti merupakan kelemahan besar untuk seorang pelakon teater. Namun, pujian harus diberikan kepada Watak 1, lakonan Zayrul Iqwan sendiri kerana menampilkan mutu lakonan yang lebih baik berbanding yang lain.
Secara keseluruhannya, saya terhibur dengan pementasan ini. Tahniah kepada Dramatis Studio, khususnya penulis dan pengarah kerana 'berani' mementaskan karya sebegini. Sekiranya Bangsa Koyak dipentaskan sekali lagi, diharapkan ia dapat ditangani dalam cara yang lebih matang.
Tahniah sekali lagi buat seluruh produksi Dramatis Studio. Teruskan berkarya. 

No comments:

Post a Comment