Pada malam 28
Jun 2025, saya berkesempatan menonton sebuah pementasan teater yang bertajuk Ribut
di Panggung Eksperimen, ASWARA. Ia merupakan hasil kerja pelajar Diploma
Teater sebagai projek akhir mereka (PeTA) dan dipersembahkan oleh Kumpulan
1. Teater ini merupakan produksi daripada Bantera
Production. Harga tiket hanyalah RM10 bagi saya sangat berbaloi
dengan kualiti dengan persembahan yang dipersembahkan.
Teater
Ribut ini merupakan sebuah adaptasi daripada naskhah klasik Thunderstorm
karya Cao Yu, namun di bawah pengarahan Aish Mirza dan Gloria Mujan, ia diberi
wajah baru yang lebih dekat dengan masyarakat kita zaman ini. Persembahan ini
menumpukan kepada ketegangan emosi, konflik antara watak dan runtuhnya nilai
moral dalam sesebuah keluarga tradisionalis. Latar masa dan tempat dipindahkan
ke Ipoh pada tahun 1998 sejurus selepas krisis ekonomi Asia, dalam sebuah keluarga
Tionghoa-Malaysia yang kelihatan gah dari luar tetapi rapuh di dalam. Tema
"Kerapuhan Kuasa" sangat terasa
kerana dibawa melalui kisah keluarga Chou yang penuh tekanan, rahsia dan luka
lama yang disimpan.
Set pementasan
kelihatan seperti sebuah rumah dengan warna-warna pudar, dinding yang tampak
usang dan ruang yang dibahagi kepada lima tempat iaitu dapur, bilik, pejabat,
ruang makan dan ruang tamu rumah. Di tengah pula, terdapat langsir putih yang merupakan tempat makan keluarga tetapi malangnya menghalang sedikit
pandangan saya terhadap beberapa babak penting. Tapi ia tidak menjejaskan
keseluruhan pengalaman kerana cerita dan emosi yang dipaparkan cukup kuat.
Apa yang
menarik perhatian saya ialah cara pengarahan dia telah menggabungkan realisme,
naturalisme dan sedikit sentuhan surealisme. Makanan sebenar digunakan di atas
pentas, dan rekaan aras pentas yang bertingkat menjadi simbol kedudukan kuasa
dalam keluarga tersebut. Pencahayaan yang digunakan sepanjang pementasan sangat
bagus. Lampu-lampu yang berwarna biru, jingga, merah dan putih silih berganti
bagi menggambarkan perasaan watak dan suasana emosi yang mendalam. Pertukaran
pencahayaan sangat membantu dalam persembahan dimainkan supaya penonton dapat
menjiwai setiap perubahan babak dimainkan. Penonton pula diletakkan secara
mengelilingi ruang pentas, menjadikan kita seolah-olah sedang memerhati
disebalik dinding dengan mendengar bisik-bisik, melihat pertengkaran, dan
menyaksikan rahsia yang disimpan telah terbongkar satu demi satu.
Lakonan para
pelakon sangat bagus dalam menunjukkan emosi yang sebenar dalam pementasan.
Watak Fan Yi iaitu isteri kedua kepada Pu Yuan dilakonkan dengan baik dan dapat
memainkan watak dengan sesuai . Gerak tubuh dan ekspresi wajahnya memaparkan
rasa kecewa, cemburu dan keletihan emosi akibat banyak memendam perasaan.
Walaupun dia sangat menyayangi Ping tapi dia tahu cinta itu tidak lagi berpihak
kepadanya. Kata-katanya terhadap Ssu Feng penuh dengan sindiran dan kesedihan
yang terselindung. Bagi dia sebagai seorang isteri dan ibu, Fan Yi terasa tidak
diingini dalam keluarga ini . Dalam satu babak, dia memberitahu bahawa dia
sebenarnya tidak sakit tetapi masih dipaksa Pu Yuan untuk mengambil ubat
pahit hal ini menunjukkan simbol kepada
ketidakperihatinan dalam rumah tangga.
Ping pula
tampil sebagai lelaki yang terbeban dengan rasa bersalah. Walaupun dia banyak
merahsiakan hubungannya dengan Fan Yi dan Ssu Feng tetapi dia tetap memilih Ssu
Feng. Tujuannya hanyalah untuk melarikan diri bersama Ssu Feng, tetapi apabila
semuanya telah terbongkar dia memilih untuk membunuh dirinya , babak
terakhirnya bersama pistol menjadi saat yang paling menyentuh hati. Walaupun
tanpa dialog yang jelas sekalipun pada babak itu, kita dapat merasai
kesedihannya.
Watak Ssu Feng pula
hanyalah seorang pembantu rumah, tetapi menjadi kekasih Chung, anak kepada Lu
Ma. Ssu Feng ini adalah gadis yang diminati Chung dan Ping. Dia membawa watak
yang lembut dan kebudakkan dalam lakonan . Oleh itu, pengarahan memainkan
peranan penting dalam mencorak emosi persembahan. Dalam babak konflik, para
pelakon diletakkan berjauhan sebagai simbol perpecahan. Babak awal bergerak
perlahan, membina tekanan, manakala babak akhir memecut ke arah tragedi yang
menghancurkan dan agak cepat.
Antara babak
paling menyentuh bagi saya adalah apabila watak Lu Ma mengenali kembali masa
silamnya dalam rumah tersebut. Dia tergamam apabila pengakhiran pementasan ini menjadi
tragedi kepadanya dengan kematian Ssu Feng, Chong dan Ping. Lagu “Yue Liang Dai
Biao Wo De Xin” dimainkan di babak terakhir menambahkan lagi rasa pilu kerana mengingatkan
bahawa cinta Ping dan Ssu Feng benar-benar wujud, tetapi mustahil untuk
diteruskan.
Walaupun terdapat kelemahan kecil dari segi teknikal seperti pertindihan babak dari dua sisi yang mengelirukan dan bunyi guruh yang terlalu dominan, pementasan Ribut ini tetap berjaya memberi kesan mendalam. Dengan RM10 sebagai harga tiket, pengalaman yang diberikan sangat berbaloi dan boleh diambil pengajaran dalam cerita ini .
No comments:
Post a Comment