Pada 28 Jun 2025, kumpulan pelajar Diploma Teater dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah membawakan sebuah persembahan akhir tahun yang cukup bermakna, iaitu teater “Ribut”. Teater ini merupakan adaptasi daripada karya klasik Cina, Lei Yu (雷雨) hasil karya dramatik Cao Yu, di bawah pengarahan dua pengarah muda yang berbakat, Aish Mirza dan Gloria Mujan. Persembahan ini bukan sahaja sebahagian daripada Penilaian Tahun Akhir (PeTA) pelajar-pelajar tahun akhir, malah juga sebuah usaha yang menggabungkan kreativiti dan bakat anak seni muda.
‘Ribut’ membawa penonton menyelami kisah penuh ketegangan emosi dan konflik keluarga tradisional yang sarat dengan pertembungan nilai antara generasi serta keruntuhan moral.
Melalui gabungan pelbagai elemen seperti lakonan, sinografi, pencahayaan, dan suara, pementasan ini cuba menyampaikan cerita yang mendalam dan berkesan. Namun, kebanyakan produksi pelajar bagi teater “Ribut” juga mempunyai beberapa ruang untuk penambahbaikan. Kritikan utama terarah kepada beberapa aspek yang menjadi kekuatan kepada kejayaan sesebuah pementasan.
Bagi para pelakon, terdapat beberapa kelemahan dalam lakonan tersebut iaitu lontaran suara yang kurang jelas dan perlahan oleh sesetengah pelakon. Hal ini kerana mengganggu pendengaran penonton, terutamanya yang duduk di belakang pentas untuk menangkap dialog dan emosi yang ingin disampaikan. Dalam persembahan teater, lontaran suara yang jelas sangat penting untuk memastikan mesej sampai dan penonton kekal fokus. Oleh itu, latihan vokal dan teknik pernafasan yang lebih intensif perlu ditingkatkan agar para pelakon mampu membawa dialog dengan lebih bertenaga dan penuh keyakinan.
Konsistensi watak juga menjadi cabaran. Ada kalanya watak yang dibawa terasa kurang stabil apabila emosi memuncak, menandakan pelakon kurang mendalami latar belakang watak mereka. Ini membuatkan emosi yang disampaikan kurang meyakinkan.
Walaubagaimanapun, permulaan persembahan bermula dengan cukup bertenaga. Pergerakan tubuh dan ekspresi yang kuat menunjukkan komitmen yang tinggi. Tenaga tersebut mula menurun apabila cerita memasuki pertengahan, menyebabkan perjalanan cerita kehilangan momentum. Faktor keletihan dan pengurusan masa oleh pengarah mungkin antara penyebabnya. Latihan berfasa dan strategi pementasan yang menjaga stamina pelakon amat diperlukan untuk mengatasi masalah ini.
Hubungan antara pelakon yang sangat serasi dan meyakinkan. Interaksi mereka kelihatan semula jadi dan mendalam, menyokong emosi pementasan dan menjadikan babak-babak dramatik lebih menyentuh hati penonton. Dari segi ekspresi emosi, pelakon berjaya menyampaikan perasaan marah, sedih dan kecewa dengan baik, walaupun ada juga adegan yang kurang mantap. Pelakon perlu lebih berani dan ekspresif untuk memberi kesan yang lebih mendalam.
Sinografi dalam pementasan ini kreatif dan menarik dengan rekaan pentas yang menempatkan penonton mengelilingi pentas 360 darjah dalam persembahan teater ini.
Hal ini dapat memberikan pengalaman lebih dekat dan immersive yang membuatkan penonton dapat memahami, memasuki dan menjiwai cerita keluarga tersebut. Namun, penggunaan ruang sebegini juga menimbulkan cabaran seperti sudut pandangan penonton yang terhalang oleh kedudukan perabot, tirai dan kedudukan pelakon menyebabkan sesetengah penonton kurang dapat menikmati jalan cerita dengan sepenuhnya.
Penggunaan tirai berwarna putih yang tergantung secara menegak membawa nilai simbolik yang mendalam mewakili batasan emosi, jurang hubungan antara watak dan pembahagian ruang pentas. Tirai ini juga membantu permainan cahaya dan bayang-bayang yang menambah kedalaman visual. Namun, ia perlu diimbangi dengan pencahayaan supaya tidak menghalang pandangan atau mengurangkan kejelasan adegan penting.
Pencahayaan yang digunakan adalah warna yang sangat berkesan dapat mewujudkan suasana seperti waktu hujan dan pergaduhan manakala perasaan seperti sedih dan marah. Ia membantu menumpukan perhatian kepada watak dan babak tertentu. Namun, beberapa babak dilihat menggunakan cahaya yang gelap sehingga ekspresi pelakon sukar dilihat dengan jelas. Penataan cahaya yang lebih tepat diperlukan untuk mengelakkan masalah ini berlaku.
Persembahan teater ini menggunakan perabot dapat membantu dalam sesebuah bilik dan tempat seperti ruang bilik tidur, bilik pejabat, dapur, ruang makan dan ruang tamu. Ia menandakan perubahan ruang yang tidak memerlukan pertukaran set yang besar, sekaligus memberikan suasana yang realistik. Susun atur props juga membantu pelakon bergerak dengan bebas tanpa mengganggu visual keseluruhan pentas.
Secara keseluruhannya, “Ribut” adalah produksi yang penuh potensi dan membuktikan bakat para pelajar ASWARA. Walaupun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, usaha dan komitmen mereka jelas terserlah. Dengan latihan dan pengurusan yang lebih baik, produksi sebegini mampu memberikan impak yang lebih hebat di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment