Saturday, 4 July 2026

NURUL FAIZRIANA FAHIZAM

 Nyala Pijar Hiroshima

Arahan Roydy Rokidy


Pementasan Nyala Pijar Hiroshima arahan Roydi Rokidi mengangkat kisah pekerja di sebuah kilang pengeluaran bunga api yang akhirnya berakhir dengan tragedi kebakaran dan letupan. Walaupun judulnya menggunakan perkataan “Hiroshima”, naratif yang dipersembahkan lebih memfokuskan kepada isu keselamatan pekerjaan, eksploitasi pekerja bawahan, dan kecuaian dalam pengendalian bahan mudah terbakar. Oleh itu, aspek estetika persembahan, khususnya penggunaan pencahayaan, menjadi medium penting dalam membentuk suasana, menyampaikan emosi dan memperkukuhkan mesej pementasan. Kritikan ini menggunakan Teori Semiotik Teater oleh Keir Elam bagi menilai bagaimana pencahayaan berfungsi sebagai tanda yang menghasilkan makna kepada penonton. Saya berpendapat bahawa penggunaan lampu dalam produksi ini berjaya membina suasana dramatik, namun terdapat beberapa aspek yang boleh dipertingkatkan bagi memberikan impak yang lebih mendalam.

Sepanjang persembahan, pencahayaan digunakan secara konsisten mengikut perkembangan cerita. Pada permulaan pementasan, lampu putih dan kuning lembut menerangi keseluruhan ruang pentas bagi menggambarkan suasana sebuah kilang yang masih beroperasi seperti biasa. Set pentas yang menyerupai kawasan industri dipadankan dengan pencahayaan yang terang dan seimbang bagi memberi gambaran realistik terhadap tempat kerja watak Hilal, Robin dan Malik.

Berdasarkan pemerhatian semasa persembahan, penggunaan lampu berwarna merah, jingga, biru dan ungu mula diperkenalkan apabila konflik semakin memuncak. Cahaya merah dan jingga memenuhi bahagian belakang pentas ketika babak-babak yang menggambarkan bahaya di kilang, manakala lampu biru dan ungu digunakan sebagai cahaya pengimbang yang menghasilkan suasana tegang dan tidak stabil. Menjelang babak klimaks iaitu kebakaran dan letupan kilang, intensiti cahaya berubah dengan lebih pantas dan dramatik sehingga menghasilkan gambaran visual seolah-olah api sedang marak.

Setiap elemen visual di atas pentas merupakan sistem tanda yang membantu penonton mentafsir makna sesebuah persembahan. Dalam pementasan ini, pencahayaan bukan sekadar berfungsi untuk menerangi ruang lakonan, malah menjadi bahasa visual yang menyampaikan perkembangan konflik.

Penggunaan cahaya merah merupakan simbol yang paling dominan sepanjang persembahan. Warna ini secara langsung merujuk kepada api, bahaya dan kemusnahan yang sentiasa mengelilingi kehidupan pekerja di kilang bunga api. Apabila Robin didapati memberikan mercun yang rosak kepada kanak-kanak, suasana pentas mula berubah dengan penggunaan tona cahaya yang lebih panas. Walaupun tindakan Robin berpunca daripada niat yang baik, perubahan pencahayaan memberi petunjuk bahawa konflik yang lebih besar sedang menanti.

Selain itu, gabungan lampu merah dengan warna biru dan ungu menghasilkan kontras visual yang menarik. Warna-warna sejuk tersebut mewakili ketidakpastian dan tekanan emosi yang dialami oleh watak-watak, terutamanya Malik sebagai pekerja bawah umur yang berada dalam persekitaran kerja yang berbahaya. Pencahayaan sebegini bukan sahaja menghasilkan komposisi visual yang estetik, malah mengukuhkan keadaan psikologi watak tanpa perlu dijelaskan melalui dialog.

Ketika babak kebakaran dan letupan kilang, perubahan intensiti cahaya berjaya membina ketegangan penonton. Cahaya yang semakin terang dengan dominasi warna merah dan jingga memberikan ilusi kebakaran walaupun tanpa penggunaan kesan khas yang berlebihan. Ini menunjukkan bahawa reka bentuk pencahayaan berjaya memanfaatkan prinsip minimalisme untuk menghasilkan imaginasi yang kuat dalam minda penonton.

Namun begitu, terdapat beberapa bahagian yang menggunakan kombinasi warna hampir sama dalam tempoh yang agak panjang. Hal ini menyebabkan perkembangan emosi antara satu babak dengan babak yang lain tidak begitu ketara. Variasi sudut pencahayaan, penggunaan spotlight atau perubahan intensiti yang lebih drastik berpotensi memberikan kesan dramatik yang lebih kuat kepada setiap perkembangan konflik.

Melalui penggunaan pencahayaan, pengarah berjaya menyampaikan mesej bahawa bahaya tidak semestinya hadir secara tiba-tiba, sebaliknya berkembang sedikit demi sedikit akibat kecuaian, tekanan kerja dan kegagalan mematuhi aspek keselamatan. Cahaya merah yang semakin mendominasi ruang pentas boleh ditafsirkan sebagai lambang bahaya yang semakin hampir sebelum tragedi sebenar berlaku.

Dalam konteks masyarakat hari ini, isu yang diketengahkan amat relevan kerana kemalangan di tempat kerja masih berlaku akibat pengabaian prosedur keselamatan, penggunaan tenaga kerja bawah umur serta kecuaian dalam mengendalikan bahan mudah terbakar. Oleh itu, pencahayaan dalam pementasan ini bukan sekadar menghasilkan kesan visual yang menarik, malah membantu penonton memahami mesej sosial tentang pentingnya budaya keselamatan dalam industri berisiko tinggi.

Saya bersetuju dengan pendekatan estetik yang dipilih oleh Roydi Rokidi kerana pencahayaan berjaya menjadi salah satu kekuatan utama pementasan. Penggunaan warna merah, jingga, biru dan ungu bukan sahaja memperindah ruang pentas, malah berfungsi sebagai simbol kepada perubahan emosi dan perkembangan konflik sehingga membawa kepada tragedi kebakaran kilang.

Walau bagaimanapun, terdapat ruang penambahbaikan. Produksi boleh memperbanyakkan penggunaan spotlight untuk memberi fokus kepada konflik dalaman setiap watak, khususnya ketika Robin membuat keputusan memberikan mercun yang rosak kepada kanak-kanak dan ketika Malik berdepan situasi berbahaya di kilang. Selain itu, penggunaan kesan berkelip secara terkawal pada saat letupan serta sinkronisasi yang lebih tepat antara perubahan lampu dan kesan bunyi akan menghasilkan pengalaman yang lebih imersif kepada penonton.

Secara keseluruhannya, reka bentuk pencahayaan dalam Nyala Pijar Hiroshima berjaya memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar menerangi pentas.lampu menjadi satu sistem tanda yang membina makna, emosi dan suasana sepanjang persembahan. Walaupun masih terdapat beberapa kelemahan dari sudut variasi pencahayaan, penggunaan warna, intensiti dan transisi cahaya telah berjaya menghidupkan konflik serta menyokong mesej tentang keselamatan pekerjaan, tanggungjawab sosial dan akibat kecuaian dalam industri yang berisiko tinggi.







No comments:

Post a Comment