Kritikan Terhadap Persembahan Randai Macbeth
Pementasan Randai Macbeth merupakan sebuah adaptasi kreatif daripada karya tragedi terkenal William Shakespeare yang diterjemahkan ke dalam bentuk teater tradisional Randai. Pementasan ini telah berlangsung pada 8 dan 9 Mei 2026 di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di bawah arahan Dr. Norzizi Zulkifli. Produksi ini merupakan hasil kerjasama Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA, Persatuan Alumni ASWARA dan Fakulti Filem, Teater dan Animasi UiTM Puncak Perdana.
Secara keseluruhannya, pementasan ini berjaya menggabungkan dua budaya persembahan yang berbeza iaitu tragedi klasik Barat dan seni persembahan tradisional Minangkabau melalui bentuk Randai. Unsur seperti gerak tari, permainan gelanggang, dendangan muzik hidup dan penggunaan bahasa persembahan berjaya mengekalkan identiti Randai tanpa menghilangkan karya asal Shakespeare. Tambahan pula, penggunaan multimedia melalui projektor telah memberikan visual yang lebih kontemporari, sekali gus menjadikan persembahan lebih dekat dengan citarasa penonton masa kini. Walaupun konsep pementasan ini sangat menarik, keberkesanannya masih bergantung kepada aspek pengarahan dan lakonan dalam menyampaikan konflik psikologi yang menjadi tunjang utama naskhah Macbeth.
Berdasarkan Pendekatan Stanislavski, keberkesanan sesebuah lakonan bergantung kepada kemampuan pelakon memahami given circumstances, objektif watak, tindakan dramatik dan konflik dalaman yang mendorong setiap tindakan watak. Dalam konteks Randai Macbeth, kebanyakan pelakon berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan meyakinkan. Watak Macbeth misalnya berjaya memperlihatkan perkembangan psikologi daripada seorang panglima yang berani, setia dan disegani kepada seorang pemerintah yang dikuasai ketamakan, ketakutan dan rasa bersalah. Perubahan ini dapat dilihat melalui perubahan bahasa tubuh, ekspresi wajah serta cara beliau berinteraksi dengan watak Lady Macbeth. Perubahan tersebut selari dengan konsep Stanislavski yang menekankan bahawa setiap tindakan fizikal mestilah lahir daripada motivasi dalaman watak. Namun begitu, saya berpendapat bahawa lakonan para pelakon masih mempunyai beberapa kelemahan yang sedikit sebanyak mengurangkan impak persembahan. Kelemahan paling ketara ialah dari aspek artikulasi dan projeksi suara. Walaupun pementasan ini memilih untuk tidak menggunakan body mic bagi mengekalkan keaslian persembahan Randai, terdapat beberapa dialog penting yang gagal didengari dengan jelas terutama oleh penonton yang berada di bahagian tengah dan belakang dewan. Situasi ini menyebabkan sebahagian emosi dan konflik watak tidak sampai kepada penonton. Dalam teori Stanislavski, dialog bukan sekadar medium komunikasi, sebaliknya merupakan tindakan dramatik yang menggerakkan perkembangan cerita. Apabila dialog tidak disampaikan dengan jelas, objektif sesuatu adegan juga menjadi kurang berkesan. Selain itu, tenaga lakonan yang dipersembahkan juga tidak konsisten sepanjang persembahan. Babak-babak awal berjaya membina momentum yang kuat, namun intensiti tersebut mula menurun apabila memasuki pertengahan cerita. Sebahagian pelakon ensemble dilihat kurang memberi tindak balas terhadap aksi dan emosi pelakon utama. Akibatnya, suasana dramatik yang sepatutnya terus meningkat menjadi sedikit mendatar. Dalam pendekatan Stanislavski, setiap pelakon perlu sentiasa hidup di atas pentas walaupun tidak berdialog kerana reaksi spontan antara pelakon merupakan sebahagian daripada kebenaran lakonan. Kekurangan interaksi ini menyebabkan beberapa babak kehilangan ketegangan dramatik yang sepatutnya menjadi kekuatan utama tragedi Macbeth. Dari aspek penjiwaan pula, saya berasakan beberapa adegan masih belum mencapai tahap emosi yang maksimum. Contohnya, selepas pembunuhan Raja Duncan, watak Macbeth dan Lady Macbeth seharusnya mempamerkan konflik dalaman yang lebih kompleks antara rasa takut, bersalah dan terdesak. Sebaliknya, emosi yang dipersembahkan masih berada pada satu aras yang hampir sama sehingga penonton tidak benar-benar merasai tekanan psikologi yang dialami kedua-dua watak tersebut. Jika konsep emotion memory atau magic if Stanislavski diterapkan dengan lebih mendalam, saya percaya babak ini mampu meninggalkan kesan yang lebih kuat kepada penonton.
Dari sudut pengarahan, Dr. Norzizi Zulkifli berjaya menghasilkan sebuah adaptasi yang berani dan kreatif dengan menggabungkan estetika Randai bersama unsur teater moden. Keputusan untuk mengekalkan struktur persembahan Randai sambil memperkenalkan elemen multimedia membuktikan bahawa seni tradisional masih mampu berkembang mengikut peredaran zaman tanpa kehilangan identitinya. Penggunaan visual keris yang dipancarkan melalui projektor merupakan satu simbol yang menarik kerana ia bukan sekadar menjadi hiasan pentas, malah berfungsi sebagai visual terhadap rasa bersalah dan obsesi Macbeth terhadap kuasa. Simbol ini membantu penonton memahami konflik psikologi watak tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada dialog. Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa terdapat beberapa keputusan pengarahan yang boleh diperkemaskan lagi. Antaranya ialah kawalan tempo persembahan. Beberapa babak dialog berlangsung agak panjang tanpa variasi pergerakan atau perubahan masa sehingga menyebabkan momentum persembahan sedikit menurun. Sebagai sebuah tragedi, Macbeth memerlukan peningkatan ketegangan secara beransur-ansur sehingga mencapai klimaks. Namun, dalam pementasan ini terdapat beberapa transisi yang terasa terlalu lama sehingga mengganggu kesinambungan emosi penonton. Selain itu, susunan blocking dalam beberapa adegan juga kurang memanfaatkan keseluruhan ruang gelanggang Randai. Terdapat babak yang memperlihatkan pelakon terlalu tertumpu di bahagian tengah pentas sehingga komposisi visual menjadi kurang dinamik. Pengarah sebenarnya mempunyai peluang untuk mengeksploitasi ruang pentas dengan lebih kreatif melalui penggunaan aras, formasi kumpulan dan arah pergerakan bagi menggambarkan perubahan kuasa serta konflik yang berlaku dalam cerita. Saya juga merasakan bahawa pengarahan kurang memberi penekanan terhadap hubungan emosi antara Macbeth dan Lady Macbeth selepas pembunuhan Raja Duncan. Hubungan psikologi kedua-dua watak ini merupakan nadi utama cerita, namun beberapa adegan terasa terlalu pantas sehingga penonton tidak sempat menyelami perubahan emosi mereka secara mendalam. Sekiranya pengarah memberikan ruang kepada dramatic pause, ekspresi tanpa dialog dan interaksi fizikal yang lebih bermakna, impak tragedi tersebut pasti akan menjadi lebih kuat.
Pada pandangan saya, Randai Macbeth bukan sekadar mengangkat kisah perebutan takhta, malah merupakan sebuah kritikan sosial terhadap sifat tamak, penyalahgunaan kuasa dan keruntuhan moral manusia. Persoalan yang dibawa Shakespeare masih relevan dalam masyarakat hari ini kerana masih wujud individu yang sanggup mengorbankan prinsip, integriti dan hubungan sesama manusia demi mencapai kedudukan atau kepentingan peribadi. Adaptasi Randai menjadikan mesej ini lebih dekat dengan budaya tempatan kerana nilai-nilai seperti maruah, amanah dan tanggungjawab sememangnya menjadi asas dalam masyarakat Melayu.
Melalui pendekatan Stanislavski, tragedi sebenar dalam Macbeth bukanlah pembunuhan Raja Duncan semata-mata, tetapi kehancuran psikologi yang dialami oleh Macbeth dan Lady Macbeth selepas mereka membuat pilihan yang salah. Oleh sebab itu, kejayaan sesebuah persembahan bergantung kepada kemampuan pelakon memperlihatkan perjalanan emosi watak secara jujur dan realistik. Walaupun produksi ini berjaya menyampaikan mesej tersebut, saya percaya penghayatan emosi yang lebih mendalam akan menjadikan penonton bukan sahaja memahami cerita, malah turut merasai penderitaan yang dialami oleh watak-watak tersebut.
Secara keseluruhannya, saya berpandangan bahawa Randai Macbeth merupakan sebuah produksi yang berjaya dari segi konsep pengarahan, keberanian artistik dan usaha mengangkat warisan Randai dalam sebuah karya klasik dunia. Produksi ini membuktikan bahawa teater tradisional tidak semestinya bersifat konservatif, malah mampu menjadi medium yang segar dan relevan kepada penonton moden apabila diolah secara kreatif. Kejayaan menggabungkan unsur tradisional dengan multimedia menunjukkan visi pengarahan yang jelas dan berani. Namun demikian, sebagai seorang pengkritik saya berpendapat bahawa kekuatan konsep sahaja tidak mencukupi sekiranya aspek lakonan dan pengarahan emosi tidak berkembang seiring. Akhirnya, saya melihat Randai Macbeth sebagai sebuah produksi yang mempunyai nilai seni yang tinggi dan berpotensi menjadi penanda aras kepada perkembangan teater tradisional kontemporari di Malaysia. Walaupun masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, keberanian produksi ini dalam mentafsir semula karya Shakespeare melalui identiti budaya tempatan wajar dipuji. Dengan penambahbaikan terhadap aspek pengarahan dan lakonan, saya percaya Randai Macbeth bukan sahaja mampu menarik perhatian penonton tempatan, malah terus mengangkat martabat teater Malaysia di pentas antarabangsa.
No comments:
Post a Comment