Saturday, 4 July 2026

SITI MAISYARAH - RADIO 1964


Rajah 1: Poster monodrama Radio 1964.

Pada 3 Julai 2026, saya berpeluang menyaksikan pementasan monodrama Radio 1964 pada pukul 8.30 malam di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Monodrama yang berlangsung selama 40 minit ini diarahkan, ditulis dan dilakonkan oleh Aloy Paradoks serta diinspirasikan daripada cerpen Luka Sudah Sembuh karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Berlatarkan peristiwa Konfrontasi Malaysia dan Indonesia pada tahun 1964, monodrama ini memaparkan kesan konflik politik terhadap kehidupan sepasang suami isteri, Firman dan Nuraini. 

Dalam kritikan ini, saya menggunakan Pendekatan Sosiologi kerana pendekatan ini melihat hubungan antara karya dengan masyarakat. Menurut Lucien Goldmann, sesebuah karya lahir daripada realiti sosial pada zamannya. Pada pandangan saya, Radio 1964 berjaya mengangkat isu kesan konflik politik terhadap kehidupan rakyat biasa dengan baik. Namun begitu, masih terdapat beberapa aspek persembahan yang boleh dipertingkatkan bagi menjadikan penyampaian mesejnya lebih berkesan.

Dari sudut deskripsi, monodrama ini mengisahkan Firman yang hidup dalam penantian selepas isterinya, Nuraini, pulang ke Medan tetapi gagal kembali ke Malaysia. Situasi tersebut berlaku ketika Konfrontasi Malaysia dan Indonesia di bawah pimpinan Presiden Indonesia, Soekarno. Firman kemudian mengetahui bahawa Nuraini telah ditahan oleh pihak berkuasa selepas menyertai satu demonstrasi. Dalam masa yang sama, identitinya sebagai seorang wartawan turut terbongkar, menyebabkan dia tidak dapat pulang ke Malaysia seperti yang dirancang. Lebih menyedihkan, Nuraini ketika itu sedang mengandungkan anak pertama mereka. Firman terus hidup dalam penantian kerana tidak mengetahui keadaan isterinya. Dia juga tidak mengetahui sama ada anak pertama mereka telah dilahirkan ataupun tidak. Penceritaan disampaikan melalui monolog yang diselang-selikan dengan siaran radio, dialog berbentuk puitis serta beberapa unsur jenaka yang berjaya menarik perhatian penonton.

Melalui Pendekatan Sosiologi berdasarkan Teori Strukturalisme Genetik oleh Lucien Goldmann, sesebuah karya dilihat sebagai cerminan realiti masyarakat dan dipengaruhi oleh latar sosial, sejarah serta politik pada zamannya. Oleh itu, sesuatu karya bukan sekadar menyampaikan cerita, malah menggambarkan pengalaman dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Hal ini jelas dapat dilihat dalam Radio 1964 apabila konflik politik dijadikan punca utama kepada penderitaan Firman dan Nuraini. Mereka bukan pemimpin negara atau individu yang mencetuskan konflik, tetapi tetap menjadi mangsa keadaan. Pilihan Aloy Paradoks untuk memfokuskan kisah sebuah keluarga berbanding peristiwa politik itu sendiri berjaya menunjukkan bahawa rakyat biasa sering menerima kesan paling besar daripada sesuatu konflik. Melalui kisah Firman dan Nuraini, penonton dapat melihat bahawa keputusan politik yang dibuat oleh pihak pemerintah bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan antara negara, malah ia turut memusnahkan kebahagiaan dan masa depan sesebuah keluarga.

Penggunaan radio juga memberikan impak terhadap penyampaian isu tersebut. Radio bukan sekadar alat komunikasi, malah menjadi simbol kepada perkembangan situasi politik yang mempengaruhi kehidupan Firman. Teknik lip sync yang digunakan oleh pelakon ketika nyanyian juga berjaya membuat penonton percaya dan tertarik terhadap nyanyian tersebut. Selain itu, dialog yang berbentuk puitis berjaya menggambarkan betapa rindunya Firman terhadap Nuraini tanpa perlu menggunakan dialog yang berlebihan.

Lakonan Aloy Paradoks turut menguatkan isu yang ingin diketengahkan. Beliau berjaya membawa lebih daripada satu personaliti dalam persembahan, termasuk penggunaan loghat Perlis bagi watak Roslan. Walaupun hanya seorang pelakon berada di atas pentas, beliau berjaya mengekalkan perhatian penonton sepanjang persembahan. Unsur jenaka yang diselitkan dalam beberapa babak turut mendapat reaksi yang baik daripada penonton tanpa menjejaskan mesej utama yang ingin disampaikan.

Pada pendapat saya, Radio 1964 bukan sekadar mengisahkan kerinduan seorang suami terhadap isterinya. Sebaliknya, monodrama ini mengkritik bagaimana konflik politik mampu memusnahkan kebahagiaan sebuah keluarga. Firman kehilangan peluang untuk bersama isterinya, malah tidak mengetahui keadaan anaknya sendiri akibat konflik yang berlaku antara dua negara. Melalui kisah ini, Aloy Paradoks mengingatkan penonton bahawa setiap keputusan politik bukan sahaja memberi kesan kepada hubungan diplomatik, tetapi turut memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.

Walaupun kisah ini berlaku pada tahun 1964, isu yang diketengahkan masih relevan pada masa kini. Sehingga hari ini, konflik politik di beberapa negara masih menyebabkan ramai keluarga terpisah dan hidup dalam ketidakpastian. Oleh itu, mesej yang dibawa dalam Radio 1964 masih sesuai untuk dijadikan peringatan kepada masyarakat tentang pentingnya keamanan dan nilai kemanusiaan.

Secara keseluruhannya, saya bersetuju dengan pilihan Aloy Paradoks untuk mengangkat isu kesan konflik politik terhadap sesebuah keluarga kerana isu tersebut berjaya disampaikan dengan jelas dan mudah difahami oleh penonton. Lakonan yang meyakinkan, dialog yang berbentuk puisi, unsur jenaka serta penggunaan radio sebagai simbol berjaya menyampaikan mesej dalam cerita tersebut. Selain itu, penggunaan set pentas yang ringkas seperti rak baju, meja bulat, dua buah kerusi dan mesin taip juga bersesuaian dengan konsep monodrama serta membolehkan penonton memberi tumpuan terhadap isu yang dibangkitkan.

Walau bagaimanapun, pada pandangan saya, penggunaan pencahayaan boleh dipelbagaikan mengikut perkembangan cerita. Pada permulaan persembahan, gabungan cahaya oren dan putih berjaya mewujudkan suasana klasik yang sesuai dengan latar tahun 1964. Namun, penggunaan pencahayaan yang hampir sama sepanjang persembahan menyebabkan perubahan emosi watak kurang dirasai oleh penonton. Sebagai contoh, adegan Nuraini ditahan, Firman mengetahui bahawa isterinya sedang mengandung dan penerimaan surat daripada Nuraini boleh diperkukuhkan dengan perubahan pencahayaan yang lebih ketara. Walaupun pencahayaan pada penghujung persembahan berjaya menggambarkan kegembiraan apabila hubungan antara Malaysia dan Indonesia kembali pulih, penggunaan variasi pencahayaan pada babak-babak penting akan memberikan kesan emosi yang lebih mendalam kepada penonton.

Kesimpulannya, Radio 1964 berjaya membuktikan bahawa teater mampu menjadi medium untuk mengangkat isu kemanusiaan melalui peristiwa sejarah. Aloy Paradoks bukan sekadar menceritakan kisah Firman dan Nuraini, malah mengajak penonton menyedari bahawa di sebalik sesuatu konflik politik, terdapat insan yang terpaksa hidup dalam penantian, terpisah daripada keluarga serta kehilangan peluang untuk bersama orang yang disayangi. Saya berharap monodrama ini terus dipentaskan kepada masyarakat kerana mesej yang dibawanya masih relevan dan wajar terus untuk diperkatakan.


Rajah 2: Pementasan Teater Antara Wilayah Selatan sempena Ulang Tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka dan Ulang Tahun ke-25 DBP Wilayah Selatan.


#Radio1964 #DewanBahasadanPustaka

 

No comments:

Post a Comment