Tidak semua pementasan
meninggalkan kesan yang berkekalan selepas tirai ditutup. Namun, Cinta
Kejera berjaya diingati kerana gabungan pelbagai elemen persembahan yang
membentuk pengalaman teater yang bermakna. Bagi saya, pementasan ini bukan
sahaja mengisahkan percintaan antara dua dunia yang berbeza, malah berjaya
mengangkat budaya Sarawak sebagai identiti utama persembahan melalui lakonan,
muzik, kostum, reka bentuk pentas dan penggunaan bahasa tempatan.
Saya berpeluang menyaksikan Cinta
Kejera pada malam terakhir pementasannya, iaitu pada 27 Jun 2026 di
Panggung Budaya, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), Universiti
Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pementasan yang berlangsung selama tiga hari
ini memperlihatkan komitmen tinggi daripada seluruh pasukan produksi dalam
menghidupkan sebuah karya yang sarat dengan unsur mitos, percintaan, konflik
dan identiti budaya Sarawak.
Kritikan ini menggunakan
pendekatan Patrice Pavis yang menjelaskan bahawa makna dalam sesebuah
pementasan lahir melalui hubungan antara semua elemen mise-en-scène,
termasuk ruang pentas, lakonan, kostum, muzik, pencahayaan dan pergerakan
pelakon.
Cinta Kejera mengisahkan percintaan antara Puteri Kejera dari dunia kayangan dengan Putera Entigi, seorang manusia biasa. Hubungan mereka mendapat tentangan daripada Putera Gunggu, tunang Puteri Kejera, yang turun ke bumi untuk menuntut kembali haknya. Konflik menjadi semakin rumit apabila Jelaing, pengikut setia Puteri Kejera, membunuh Chemegi, isteri Putera Entigi, sebelum menyamar menggunakan wajah Puteri Kejera bagi menyembunyikan kejadian tersebut. Walaupun berlatarkan dunia fantasi, kisah ini tetap mengetengahkan persoalan identiti, pengorbanan dan nilai kemanusiaan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Berdasarkan pendekatan Patrice
Pavis, kekuatan utama Cinta Kejera bukan hanya terletak pada jalan
ceritanya, tetapi pada kesepaduan setiap elemen mise-en-scène dalam
membina pengalaman teater yang bermakna. Kekuatan paling menonjol dalam
pementasan ini ialah keberanian produksi menjadikan budaya Sarawak sebagai asas
kepada keseluruhan persembahan. Identiti budaya diterjemahkan secara konsisten
melalui reka bentuk rumah panjang, kostum tradisional, muzik, penggunaan bahasa
Sarawak dan gaya persembahan pelakon. Menurut Patrice Pavis, elemen-elemen ini
berfungsi sebagai sistem tanda yang membina makna dan menjadikan budaya sebagai
identiti utama dunia dramatik pementasan.
Reka bentuk pentas
berinspirasikan rumah panjang Sarawak berjaya membina suasana yang autentik dan
membantu penonton memahami latar cerita tanpa penerangan yang panjang. Kostum
setiap watak bukan sahaja menarik dari segi visual, malah membezakan status dan
identiti antara dunia kayangan dengan dunia manusia dan menyokong penyampaian
cerita.
Pembinaan watak juga merupakan
antara kekuatan utama persembahan. Puteri Kejera berjaya mempamerkan konflik
antara cinta dan tanggungjawab, manakala Putera Entigi memperlihatkan
keberanian mempertahankan insan yang dicintai. Putera Gunggu membawa konflik
melalui sifat tegas dan rasa memiliki, sementara Jelaing menjadi pemangkin
utama perkembangan cerita melalui kesetiaannya. Para pelakon menggunakan bahasa
tubuh, ekspresi wajah dan hubungan antara watak dengan berkesan sehingga
penonton dapat memahami perkembangan konflik tanpa bergantung sepenuhnya kepada
dialog.
Walau bagaimanapun, terdapat
sedikit kelemahan apabila sebahagian pelakon kelihatan kehilangan tenaga
menjelang penghujung persembahan. Intensiti pergerakan dan projeksi suara
dilihat menurun berbanding babak-babak awal. Keadaan ini berkemungkinan
dipengaruhi oleh pacing pementasan pada
bahagian pertengahan yang agak perlahan (dragging)
ini menyebabkan momentum persembahan sedikit menurun sebelum memasuki klimaks.
Walaupun keadaan ini boleh difahami memandangkan persembahan yang saya tonton
merupakan malam terakhir selepas tiga hari pementasan, konsistensi tenaga dan
ritma persembahan sehingga babak penutup tetap penting bagi memastikan impak
dramatik kekal kuat. Sekiranya tempo pementasan pada bahagian pertengahan dapat
diperkemaskan, perkembangan cerita akan terasa lebih dinamik dan babak klimaks
berpotensi memberikan kesan emosi yang lebih mendalam kepada penonton.
Dari sudut muzik, penggunaan
kumpulan pemuzik secara langsung merupakan satu keputusan artistik yang sangat
berjaya. Muzik secara langsung menyokong perkembangan emosi dan suasana setiap
babak serta membentuk ritma persembahan. Namun begitu, keseimbangan antara
muzik dan vokal masih boleh diperbaiki kerana terdapat beberapa babak nyanyian
yang menyebabkan suara pelakon tenggelam akibat bunyi muzik yang terlalu kuat.
Selain itu, beberapa dialog juga kurang jelas didengari kerana projeksi suara
dan artikulasi yang tidak konsisten.
Produksi turut mengekalkan
penggunaan bahasa Sarawak sepanjang dialog dan nyanyian bagi mengekalkan
keaslian budaya. Walau bagaimanapun, sari kata hanya dipaparkan semasa
nyanyian, menyebabkan penonton yang tidak memahami bahasa tersebut menghadapi
kesukaran mengikuti beberapa dialog penting. Paparan sari kata juga menyebabkan
perhatian penonton terbahagi antara membaca sari kata dengan menghayati
lakonan.
Penggunaan ruang pentas secara keseluruhannya berjaya menyokong perkembangan cerita dan mengekalkan fokus penonton terhadap aksi utama. Namun begitu, beberapa struktur set di bahagian hadapan pentas sedikit menghalang pandangan penonton yang duduk di bahagian kanan panggung. Dari aspek pencahayaan pula, penggunaan warna cahaya berjaya membezakan perubahan emosi dan lokasi cerita, namun lampu LED pada bahagian bawah set rumah panjang lebih menonjolkan struktur pentas berbanding membina suasana dramatik.
Melalui pendekatan Patrice Pavis, dapat ditafsirkan bahawa kejayaan Cinta Kejera bukan hanya bergantung pada jalan cerita, tetapi pada hubungan yang harmoni antara semua elemen mise-en-scène. Setiap elemen seperti lakonan, muzik, bahasa, kostum, ruang pentas dan pencahayaan saling melengkapi dalam membentuk pengalaman estetik yang bermakna. Budaya Sarawak bukan sekadar dijadikan latar, sebaliknya menjadi identiti utama yang menghidupkan dunia dramatik pementasan. Persembahan ini turut menyampaikan mesej tentang cinta, kesetiaan, pengorbanan dan kepentingan mempertahankan warisan budaya. Walaupun terdapat beberapa kelemahan teknikal, kelemahan tersebut tidak menjejaskan makna keseluruhan yang ingin disampaikan kepada penonton.
Secara keseluruhannya, kelemahan
yang dikenal pasti tidak menenggelamkan kekuatan utama Cinta Kejera.
Sebaliknya, ia membuka ruang kepada penambahbaikan untuk pementasan akan
datang. Kejayaan produksi ini jelas terletak pada keberaniannya mengangkat
budaya Sarawak sebagai identiti utama persembahan. Budaya tersebut
diterjemahkan secara menyeluruh melalui kostum, muzik, bahasa, ruang pentas,
reka bentuk set dan pembinaan watak sehingga membentuk sebuah dunia dramatik
yang meyakinkan.
Sebagai penonton, saya
meninggalkan dewan dengan pengalaman menyaksikan bagaimana sebuah produksi Universiti
berjaya menterjemahkan warisan budaya Sarawak ke dalam sebuah pementasan yang
bernilai artistik. Pementasan ini membuktikan bahawa apabila setiap elemen
persembahan digabungkan secara harmoni, teater bukan sahaja menjadi medium
hiburan, malah mampu menjadi ruang pendidikan budaya serta memperkukuhkan
penghargaan terhadap kepelbagaian warisan Malaysia.
Tahniah wajar diberikan kepada
pengarah atas visi kreatif yang berjaya diterjemahkan ke dalam sebuah
pementasan yang mempunyai identiti tersendiri. Penghargaan juga harus diberikan
kepada para pelakon, kumpulan pemuzik, kru teknikal, ahli jawatankuasa dan
pensyarah pembimbing yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan
produksi ini. Dengan beberapa penambahbaikan terhadap aspek audio, kejelasan
dialog, penggunaan sari kata, ruang pentas dan pencahayaan, saya yakin Cinta
Kejera mempunyai potensi besar untuk dipentaskan kepada khalayak yang
lebih luas. Produksi ini membuktikan bahawa teater Universiti mampu
menghasilkan karya yang mempunyai nilai artistik, budaya dan akademik yang
tinggi, secara keseluruhnnya menjadi medium penting dalam memelihara warisan
budaya Malaysia.
No comments:
Post a Comment