Tuesday, 30 June 2026

JUZAILAH ZAFIRAH - TEATER QASIDAH TERAKHIR

  


Qasidah Terakhir yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diolah

semula dalam bentuk pementasan kontemporari oleh produksi DBP dengan pendekatan realisme dan

tragedi. Pementasan ini bukan sekadar sebuah persembahan seni, tetapi sebuah medium yang membawa

penonton menyelami isu kemanusiaan, keadilan sosial, serta kesan fitnah dalam masyarakat.


Teater ini mengisahkan kehidupan Bukhari, seorang guru qasidah yang difitnah oleh masyarakat

kampung sehingga dituduh melakukan perbuatan tidak bermoral. Walaupun beliau cuba membina

semula kehidupannya dengan membuka madrasah dan mengajar qasidah kepada anak-anak muda,

usahanya disalah tafsir sebagai ajaran sesat. Fitnah yang berterusan akhirnya membawa kepada

penderitaan emosi, pengasingan sosial, dan kematian tragik watak utama.


Pementasan ini menggunakan bentuk realisme dan unsur tragedi , dipersembahkan secara linear

bermula dari pengenalan watak, perkembangan konflik, klimaks, peleraian, dan pengakhiran.

Penggunaan pentas proscenium serta set minimalis membantu memperkukuhkan fokus kepada naratif

dan emosi watak tanpa gangguan visual yang berlebihan. Dari segi teknikal, pencahayaan memainkan

peranan penting dalam membina suasana, manakala kostum dan tatarias disesuaikan dengan latar

masyarakat kampung yang realistik 


Melalui perspektif Teori Marxisme, Qasidah Terakhir boleh ditafsirkan sebagai kritikan terhadap

struktur kuasa dalam masyarakat. Bukhari mewakili individu kelas bawahan yang cuba membawa

perubahan melalui ilmu dan agama, namun ditindas oleh sistem sosial yang dipengaruhi oleh persepsi,

kuasa kolektif dan manipulasi pihak tertentu seperti watak Samad. Fitnah yang berlaku menunjukkan

bagaimana kuasa sosial boleh digunakan untuk menjatuhkan individu tanpa keadilan yang sebenar.

Watak masyarakat kampung pula menggambarkan struktur kolektif yang mudah dipengaruhi oleh

ideologi dominan tanpa menyelidik kebenaran. Ini selari dengan pandangan Marxisme bahawa

masyarakat sering dikawal oleh “kesedaran palsu” yang membentuk persepsi mereka terhadap individu

tertentu.


Dari sudut Teori Brecht, pementasan ini pada satu tahap berjaya menggunakan elemen realisme untuk

mendekatkan penonton dengan isu yang dipersembahkan, namun pada masa yang sama terdapat usaha

untuk membangkitkan kesedaran sosial melalui penderitaan watak utama. Walau bagaimanapun,

penggunaan emosi yang kuat dalam lakonan kadangkala menyebabkan penonton lebih larut dalam

simpati berbanding berfikir secara kritikal, sekali gus sedikit mengurangkan kesan “jarak Brechtian”

yang sepatutnya mendorong penonton menilai isu secara intelektual.


Secara interpretatif, pementasan ini bukan sekadar kisah seorang individu yang difitnah, tetapi

merupakan gambaran realiti masyarakat yang mudah menghukum tanpa bukti. Bukhari menjadi simbol

kepada individu yang cuba mempertahankan kebenaran dalam sistem sosial yang tidak adil.

Teater ini juga mencerminkan bagaimana nilai keagamaan, moral dan persepsi masyarakat boleh

disalahgunakan sehingga menindas insan yang tidak bersalah. Kematian Bukhari melambangkan

kegagalan masyarakat dalam menegakkan keadilan dan kebenaran secara objektif.

Isu yang diketengahkan sangat relevan dengan masyarakat semasa, khususnya dalam era media sosial

hari ini di mana fitnah dan persepsi boleh tersebar dengan cepat tanpa pengesahan. 


Pada pandangan saya, Qasidah Terakhir merupakan sebuah pementasan yang sangat kuat dari segi naratif, emosi dan

mesej sosial. Lakonan yang ditampilkan berjaya menghidupkan watak dengan penghayatan yang tinggi,

manakala aspek teknikal seperti pencahayaan dan audio memperkukuhkan lagi pengalaman tontonan.

Saya amat menghargai penggunaan set minimalis kerana ia membantu mengekalkan fokus penonton

terhadap konflik utama. Selain itu, pencahayaan kreatif seperti penggunaan visual bulan tanpa

multimedia menunjukkan tahap kreativiti yang tinggi dalam produksi ini.

Namun begitu, terdapat sedikit kelemahan dari segi kawalan audio dalam beberapa babak, yang

kadangkala mengganggu kejelasan dialog. Walaupun tidak menjejaskan keseluruhan persembahan,

aspek ini boleh diperbaiki bagi meningkatkan kualiti pementasan pada masa hadapan.


Pengalaman menonton Qasidah Terakhir bagi saya bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga

satu pengalaman refleksi. Ia membuatkan saya merenung tentang nilai kejujuran, kesabaran, keadilan,

dan kesan fitnah dalam kehidupan manusia. Pementasan ini berjaya menyentuh hati, memancing emosi,

dan meninggalkan kesan mendalam tentang perjalanan hidup seorang insan yang berpegang pada

prinsip walaupun berdepan dengan cabaran yang sangat besar.


Secara peribadi, saya berasa beruntung dapat menonton pementasan ini secara langsung kerana ia

memberi inspirasi dan membuka perspektif tentang kekuatan teater sebagai medium penyampaian cerita

dan nilai moral. Lebih daripada itu, ia membuktikan bahawa teater bukan hanya seni persembahan,

tetapi juga cerminan masyarakat dan alat kritikan sosial yang sangat berkesan.



#TeaterMalaysia #QasidahTerakhir #KritikanSeniPersembahan



           





No comments:

Post a Comment