DESKRIPSI KRITIKAN
Pada 8 dan 9 Mei 2026, telah diadakan sebuah
pementasan teater Randai yang bertajuk “ Randai Macbeth” yang diadakan di
Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Kuala
Lumpur. Pementasan ini diterajui dan dihasilkan oleh produksi daripada Fakulti
Filem,Teater dan Animasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama
daripada Putra, ASWARA. Produksi ini diketuai oleh Dr Norzizi Zulkifli daripada
ASWARA. Pementasan ini menampilkan pelakon seperti Che’ Kem, Professor Dr Juhara
Ayob, Amir Ameezan dan ramai lagi.
Perkara
yang ingin dikritik oleh pengkaji ialah dari segi lakonan (acting) yang dibawa
oleh setiap pelakon di dalam pementasan ini. Pertama, lakonan yang diberikan
oleh setiap pelakon berkesan, namun perlu diasah lagi kerana tidak mampu
menjentik emosi penonton seperti pengkaji. Lebih-lebih lagi, ketika bahagian
atau babak yang klimaks dalam kisah Macbeth ini, seperti pembunuhan King
Duncan. Oleh itu, pengkaji menyarankan agar pelakon dapat meneliti setiap babak
dan teknik lakonan agar ianya lebih berkesan dan mampu menjentik hati dan emosi penonton
berdasarkan setiap emosi dan karakter yang dilakonkan pada pementasan yang akan
datang.
Dari
segi tata letak pentas dan rekaan set pentas atau “prop and set design”, saya
berpendapat set dan prop yang digunakan sepanjang pementasan ini ialah
bersesuaian dengan era yang diwakili oleh pementasan ini. Namun, apa yang ingin
bangkitkan di sini ialah kedudukan set berbentuk sangkar yang tidak digunakan
sepenuhnya sepanjang pementasan plot ini berlangsung. Ia hanya digunakan semasa
babak” kematian Raja Duncan” di mana para hulubalang istana menyapu cat merah
mewakili visual darah melalui kain putih yang disimbah dengan cat merah yang
sedang tergantung daripada rekaan sat berbentuk sangkar itu tadi. Persoalannya,
apakah makna atau simbolik yang ingin disampaikan berdasarkan rekaan set itu?
Adakah ia sekadar penggantung kepada kain putih yang disimbah cat merah itu
tadi, atau ada makna lain di sebalik penggunaan set itu.
Dari
sudut sistem pencahayaan, Randai Macbeth banyak menggunakan pencahayaan dari
LED pentas menerusi LED berwarna merah dan biru. Menggunakan teori simbolisme,
saya mendapati LED yang digunakan memberi makna tertentu dalam menyokong babak-babak
yang dipentaskan. Sebagai contoh, babak pembunuhan yang mendebarkan, LED akan
disorotkan menggunakan warna merah sebagai makna aksi yang seram dan
mendebarkan semasa pergaduhan di antara King Macbeth dan King Duncan, di mana
akhirnya King Macbeth membunuh King Duncan akibat termakan hasutan oleh Lady
Macbeth atau Permaisuri Macbeth. Cahaya yang minimum di sekitar kawasan
pementasan menjadikan adegan atau babak ini bersifat realistik apabila ditonton
secara langsung. Pada babak lain yang saya boleh huraikan, contohnya pada babak
istana King Duncan, pasukan teknikal telah menggunakan teknik “wash light” di
mana teknik pencahayaan ini digunakan bagi menerangi keseluruhan kawasan
pentas. LED yang digunakan pula adalah LED berwarna putih yang melambangkan
kesucian serta melambangkan babak yang bersifat ketenangan ketika dua Raja
serta Permaisuri sedang berbicara di ruang-ruang Istana King Duncan. Untuk
babak Ahli Sihir pula, mereka menggunakan teknik pencahayaan yang malap di mana
sebahagian pentas sahaja disorotkan cahaya. Ditambah pula dengan sokongan LED
berwarna biru, sememangnya babak ini mempunyai makna seperti sedang menghasut
dan membuat ramalan bahawa sesuatu perkara buruk akan terjadi kepada King
Duncan itu sendiri.
Muzik
dan audio membantu dalam menyokong sesebuah pementasan agar ianya lebih
bersemangat dan menarik kepada audiens.Dalam pementasan Randai Macbeth ini,
terdapat beberapa jenis muzik dan bunyi atau audio yang digunakan sepanjang
pementasan ini berlangsung. Anatar jenis audio dan muzik yang terdapat dalam
pementasan Randai Macbeth ini ialah muzik tradisional. Sebagai contoh, muzik
gendang, Gong dan serunai mengiringi babak di istana, babak semasa King Macbeth
ditabalkan sebagai Raja serta semasa pertunjukan Randai dilaksanakan. Muzik
yang sama juga digunakan sewaktu babak pembukaan adegan silat yang dilakukan di
Istana King Duncan semasa ketibaan Macbeth sendiri.
Untuk kostum, terdapat sedikit isu yang berlaku di mana kostum yang dipakai oleh setiap pelakon di pentas ini agak diganggu oleh kesan visual. Antara kostum yang dipakai oleh watak King Duncan dan Macbeth termasuklah baju sikap. Baju sikap merupakan baju yang disesuaikan untuk persilatan, dan ianya dipakai oleh golongan pahlawan semasa zaman dahulu. Pakaian ini popular di sekitar Nusantara kerana ianya menjadi pilihan para pahlawan Alam Melayu untuk memakainya kerana mudah untuk bertempur dan bersilat dengan musuh. Aksesori lain seperti tanjak dan kain cindai turut dipakai oleh pelakon watak Macbeth iaitu Che'Kem semasa pementasan ini.Disebabkan oleh pencahayaan LED merah yang sangat dominan , beberapa perincian pada kostum seperti corak, motif Melayu serta aksesori menjadi kurang jelas disebabkan oleh gangguan kesan visual pada kostum tadi. Pengkaji menyarankan agar pihak produksi memandang perkara ini dengan serius untuk menambahbaik kesan visual agar tidak mengganggu estetika pementasan pada masa akan datang
INTERPRETASI
Menggunakan teori Semiotik, pengkaji berpendapat beberapa perkara boleh dihujahkan melalui teori ini. Antaranya ialah sistem pencahayaan menggunakan warna merah semasa babak pembunuhan King Duncan. Penggunaan cahaya merah dalam pementasan Randai Macbeth berperanan sebagai penanda kepada adegan yang menyayat hati serta mendebarkan bagi penonton dan dosa pembunuhan yang dilakukan oleh Macbeth.
Selain itu, untuk audio dan bunyi, bunyi muzik gendang dan serunai yang mendominasi pementasan ini memberi beberapa makna. Serunai yang ditiup secara nyaring menggambarkan ketegangan dalam konflik yang berlaku antara King Duncan dan Macbeth. Pukulan gendang dengan rentak yang kuat dan bertalu menggambarkan sesebuah ancaman yang bakal datang serta menggambarkan isu yang mengejutkan seperrti pembunuhan King Duncan.
Tambahan pula, untuk formasi Randai. Pengkaji berpendapat pelakon bergerak dalam bulatan Randai itu menggambarkan kitaran hidup yang kadangkala kita berada di atas atau di bawah mengikuti roda kehidupan. Formasi bulatan tersebut mewakili sifat Macbeth yang dahulunya hanya pemerintah biasa, kemudian dia membunuh King Duncan serta pada akhirnya dia menerima pembalasannya sendiri.
PENILAIAN DAN KESIMPULAN
Untuk aspek penilaian, pengkaji ingin merumuskan bahawa pementasan ini adalah pementasan yang berjaya. Pementasan yang menggabungkan karya klasik Barat iaitu William Shakespeare dengan seni persembahan masyarakat Minangkabau. Produksi ini membuktikan bahawa karya gabungan ini masih relevan untuk ditonton oleh masyarakat moden pada hari ini. Dengan usaha untuk mengetengahkan isu sosial berkenaan sifat tamak, gila kuasa serta kejatuhan nilai moral insan yang mampu menjentik hati serta akal fikiran manusia pada hari ini. Kekuatan utama pengarah di mana menggabungkan elemen Randai seperti formasi bulatan serta gerak tari silat,nyanyian, penggunaan alat muzik tradisional Melayu seperti serunai dan gendang yang telah menghasilkan identiti pementasan yang unik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu ditambahbaik oleh pihak produksi seperti sistem pencahayaan di dalam beberapa babak, pencahayaan yang terlalu gelap atau terlalu didominasi oleh warna merah menyebabkan ekspresi wajah pelakon serta kesan visual yang telah terganggu dan perlu diperbaiki. Selain itu, penonton yang tidak biasa dengan pementasan Randai atau plot Macbeth mungkin memerlukan sedikit panduan atau nota atau brosur yang boleh diedarkan bagi memahami simbol,pergerakan dan perkembangan plot pementasan. Pengarahan dan elemen lakonan menjadi struktur utama pementasan ini berjaya menarik perhatian audiens supaya mampu menjentik hati penonton dengan plot yang dipentaskan agar ianya mampu membuatkan penonton berfikir dengan hati nurani sebagai seorang manusia yang bersederhana dalam kehidupan serta berbuat baik sesama manusia.

No comments:
Post a Comment