Tuesday, 30 June 2026

MUHD AFIQ HAZIQ - RANDAI MACBETH

 


Pada 8 & 9 Mei 2026 yang lalu telah berlangsungnya sebuah pementasan di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). Pementasan berikut merupakan pementasan tradisional yang bertajuk Randai Macbeth karya William Shakespeare yang diolahkan serta diarahkan oleh Dr. Norzizi Zulkifli. Saya berpeluang untuk menonton persembahan tersebut pada hari pertama iaitu pada 8 Mei 2026, Jumaat, 8.30 malam. Pementasan ini merupakan anjuran daripada Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA dan Persatuan Alumni ASWARA dengan kerjasama Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM Puncak Perdana. Pementasan ini juga dilakonkan oleh Che Kem, Juhara Ayob, Amir Ameezan, Adieyka Zainal, Eijat Asari, Eliza Mustafa, Rosman Ishak dan Anak Randai Sanggar Pandeka. Pementasan Teater Randai Macbeth ini pernah memenangi beberapa anugerah di Boh Cameronian Awards pada tahun 2025 jadi atas permintaan yang ramai maka pementasan ini dipentaskan semula di ASWARA. Kemudian, Randai Macbeth ini meluaskan pementasan sayapnya ke Festival Teater Antarabangsa di Rusia pada 15 & 16 Jun 2026. 

Randai Macbeth mengisahkan tentang seorang panglima perang yang gagah dan berani iaitu bernama Macbeth. Selepas memenangi satu pertempuran, dia telah didatangi oleh tiga ahli sihir yang meramalkan bahawa suatu hari nanti dia akan diangkat menjadi Raja Scotland. Apabila ramalan itu disampaikan kepada isterinya, Lady Macbeth, keinginan untuk berkuasa mula membakar jiwa wanita tersebut. Didorong oleh sifat tamak dan cita-cita yang melampau, Lady Macbeth bertindak menghasut suaminya untuk membunuh pemerintah yang adil, King Duncan, demi merebut takhta kerajaan dengan cara yang pantas.

Walaupun Macbeth berjaya merampas takhta dan bergelar raja, kehidupan pasangan suami isteri ini tidak lagi mengecap ketenangan seperti dahulu. Perbuatan khianat dan tumpahan darah yang mereka lakukan mula memakan diri sendiri apabila mereka dihantui oleh rasa bersalah yang amat mendalam serta ketakutan yang luar biasa terhadap ancaman luar dan bayang-bayang masa lalu.

DESKRIPSI

Secara keseluruhan bagi pementasan ini sangat mengagumkan, namun terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki di kemudian hari supaya pementasannya lebih mantap. Antara perkara yang perlu diperbaiki ialah dari segi sudut lakonan. Disini saya berpendapat bahawa lakonan yang disampaikan oleh kesemua pelakon sangatlah mantap dan berkesan ini kerana barisan pelakonnya ialah terdiri daripada Alumni ASWARA termasuklah barisan ensemble iaitu daripada barisan Anak Randai Sanggar Pandeka akan tetapi mereka perlulah memperbaiki daripada segi kejelasan suara atau artikulasi mahupun vokal yang perlu disampaikan. Hal ini kerana saya mendapati di pertengahan persembahan saya tidak mendengar ucapan dialog serta suara beberapa pelakon yang diucapkan. Alangkah baiknya jika para pelakon itu melontarkan dialognya secara kuat atau jelas supaya di pertengahan jalan cerita itu dapat didengari oleh penonton sekaligus dapat disampaikan dengan baik jalan ceritanya itu. Pementasan Teater Randai Macbeth ini juga pelakonnya tidak menggunakan sebarang mikrofon di badan atau body mic. 

ANALISIS

Seterusnya, penjiwaan pelakon itu perlulah diasahkan lagi sedikit supaya dapat menjentik sedikit hati penonton. Sebagai contoh, pada babak pertengahan mempunyai sebuah tragedi pembunuhan yang berlaku di antara Macbeth dan King Duncan jadi pelakon perlulah menyampaikan rasa sedih kehilangan itu supaya penonton yang datang menyaksikan pementasan ini turut dapat merasai sakitnya pemergian King Duncan yang dibunuh secara kejam oleh Macbeth itu sendiri. Kemudian, tenaga pelakon-pelakon yang disampaikan juga kurang memuaskan. Ini boleh menyebabkan penonton berasa bosan atau tidak fokus kepada sesuatu persembahan. Hal ini kerana setiap barisan pelakon itu sendiri di dalam pementasan tersebut tidak menyahut tenaga dari pelakon-pelakon lain yang menyebabkan graf cerita ini dari permulaan cerita sehingga penamat cerita agak sedikit menurun.

INTERPRETASI

Pementasan kali ini sangat menarik kerana ianya menggunakan penggunaan multimedia iaitu menggunakan projektor. Di projektor itu memaparkan seperti bentuk keris terbang. Simbolik keris itu seperti menghantui hidup Macbeth dimana keris itu juga akhirnya memakan dirinya akibat perebutan kuasa dan gila terhadap kuasanya. Muzik yang digunakan dalam pementasan ini ialah muzik tradisional seiring dengan unsur tradisi Nusantara, khususnya budaya Minangkabau dan Melayu melalui seni randai iaitu gabungan muzik, nyanyian, tarian, drama, dan silat. Sebagai contoh, muzik gendang, gong, serunai, caklempong dan nyanyian serta tarian yang dipersembahkan adalah salah satu simbolik mengiringi setiap pertukaran babak itu semasa persembahan itu berlangsung.

Pementasan Randai Macbeth kali ini banyak menggunakan idea simbolik seiring dengan Theory of Symbolism. Seperti contoh penggunaan pencahayaan yang digunakan adalah berwarna seperti gabungan warna watak Joker dengan intensiti yang rendah bagi menggambarkan simboliknya thriller atau seramnya ketiga-tiga ahli sihir itu supaya penonton dapat memahami betapa seramnya ahli-ahli sihir itu untuk menyihir Putera Macbeth itu dalam pementasan ini. Kemudian, penggunaan pencahayaan berwarna merah pula menggambarkan simboliknya pembunuhan yang kejam oleh Lady Macbeth ke atas Putera Macbeth itu sendiri sesuai dengan penggunaan set pentas tandu di atas gelanggang itu sendiri dengan simboliknya juga adalah Lady Macbeth membawa Putera Macbeth untuk beradu di istana lalu disitulah berlakunya pertumpahan darah dengan Lady Macbeth membunuh secara kejam Putera Macbeth itu sendiri.

PENILAIAN

Secara kesimpulannya, walaupun Teater Randai Macbeth ini mempunyai beberapa isu yang timbul semasa pementasan daripada segi lakonan, pencahayaan, audio serta multimedia akan tetapi saya seronok dan menikmati pementasan yang dihidangkannya. Teater Randai Macbeth ini juga mampu membuka mata masyarakat bahawa sesebuah pementasan teater tradisional itu boleh dieksperimenkan dengan teater interkultural supaya perkembangan teater di Malaysia ini akan lebih maju dan orang ramai akan melihat teater ini sebagai satu alat atau medium untuk bereksperimental dengannya. Akan tetapi jika ingin membuat sesuatu pementasan seperti ini sesebuah produksi itu perlulah lebih kreatif dan tidak mengubah tujuan asal sesuatu skrip itu untuk disampaikan kepada penonton supaya lebih mudah untuk difahami akan maksud serta jalan ceritanya.


No comments:

Post a Comment