“Nyala Pijar Hiroshima” telah dipentaskan di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 12 hingga 14 Jun 2026. “Nyala Pijar Hiroshima” diinspirasikan daripada sebuah kisah tragedi letupan kilang mercun yang pernah berlaku di Malaysia sekitar tahun 1991. Teater ini merupakan karya dan arahan Roydy Rokidy yang membawa tiga monolog dalam satu drama. Persembahan teater ini dibawakan dengan penuh bertenaga dan beremosi oleh pelakon teater yang profesional iaitu Badrol Hisham, Azerai Azmi, dan Adli Sinichi.
Melalui aspek estetika persembahan iaitu bunyi dan pencahayaan merupakan elemen teknikal yang sangat penting dalam sesebuah pementasan teater kerana kedua-duanya berfungsi sebagai medium sokongan utama dalam membina suasana, emosi, serta kefahaman naratif bagi penonton. Dalam pementasan teater “Nyala Pijar Hiroshima” ini, meskipun terdapat usaha yang jelas dalam memanfaatkan elemen bunyi dan pencahayaan sebagai alat dramatik, tetapi pelaksanaannya menunjukkan beberapa kelemahan yang memberi kesan langsung terhadap fokus penonton dan keberkesanannya dalam menyampaikan cerita.
Dari sudut pencahayaan, kelemahan utama yang dapat dikenal pasti adalah melalui penggunaan pertukaran lampu yang terlalu kerap dan pantas. Perubahan lampu yang laju ini menyebabkan transisi antara satu keadaan dramatik ke keadaan yang lain kelihatan kurang lancar. Dalam konteks persembahan teater, pertukaran cahaya seharusnya membantu penonton menyesuaikan emosi dan tumpuan secara berperingkat. Namun dalam pementasan ini, pertukaran pencahayaan yang sering berlaku telah mengganggu tumpuan penonton terhadap aksi dan lakonan pelakon di atas pentas. Hal ini boleh menyebabkan tumpuan penonton lebih tertarik kepada perubahan teknikal berbanding perkembangan dramatik yang sedang berlangsung.
Sebagai contohnya, pertukaran pencahayaan yang terlalu banyak dan cepat turut memberi kesan negatif terhadap pembinaan emosi cerita. Melalui perspektif Teori Estetika Persembahan, pencahayaan dan bunyi bukan sekadar elemen teknikal, tetapi medium artistik yang membentuk pengalaman emosi penonton. Hal ini demikian kerana reka bentuk pencahayaan sepatutnya berfungsi sebagai medium untuk memperkukuh suasana dramatik, sama ada bagi membina ketegangan, kesedihan, konflik, atau klimaks cerita. Dalam pementasan teater ini, penggunaan cahaya tidak konsisten dari segi tempo dan intensiti telah melemahkan kesinambungan emosi yang dibentuk.
Seterusnya, penggunaan bunyi dalam pementasan ini menunjukkan kelemahan dari segi ketepatan masa (timing), khususnya apabila kesan bunyi dimainkan tidak selari dengan aksi dramatik di atas pentas. Sebagai contohnya, bunyi letupan bom tidak selari dengan pencahayaan di pentas menyebabkan kehilangan impak dramatik yang sepatutnya kuat dan mengejutkan. Hal ini menyebabkan kelewatan atau ketidaktepatan bunyi dan pencahayaan menjadikan aksi di atas pentas kelihatan tidak realistik dan mengganggu kesinambungan ilusi pentas.
Selain daripada itu, penggunaan bunyi yang terlalu kuat dalam pementasan ini telah menyebabkan suara pelakon tenggelam dan sukar untuk difahami oleh penonton. Keadaan ini telah menjejaskan kejelasan pelakon bermonolog, sedangkan monolog merupakan medium utama penyampaian naratif dan pembangunan watak. Melalui perspektif Teori Semiotik Bunyi, kesan audio bukan sahaja menandakan aksi fizikal, tetapi turut berfungsi sebagai pembina emosi. Apabila keseimbangan antara bunyi latar dengan suara pelakon tidak dikawal dengan baik, tumpuan penonton teralih daripada lakonan kepada usaha memahami monolog yang disampaikan oleh pelakon. Ini mencerminkan kurangnya kepekaan terhadap prinsip asas reka bentuk bunyi, iaitu bunyi seharusnya menyokong bukan mendominasi aksi pelakon di atas pentas. Kesan bunyi yang berlebihan tanpa pelarasan dinamik mengikut situasi babak bukan sahaja menutup vokal pelakon, malah mengganggu kesinambungan emosi pementasan secara keseluruhan.
Akhir sekali, pada pandangan saya, pementasan teater “Nyala Pijar Hiroshima” merupakan sebuah teater yang memiliki kekuatan dari segi naratif, lakonan, dan mesej sosial. Kesemua pelakon berjaya menghidupkan watak dengan penuh penghayatan. Walau bagaimanapun, aspek teknikal seperti bunyi dan pencahayaan perlu dirancang secara lebih sistematik dengan mengambil kira fungsi kedua-dua elemen tersebut sebagai pembawa makna dramatik, bukan hanya sekadar sokongan teknikal semata-mata.



No comments:
Post a Comment