Saturday, 4 July 2026

NUR SYAKIRIN - IMAGINA


  Pementasan teater IMAGINA yang dilakonkan oleh pelajar ASWARA mengangkat dunia imaginasi kanak-kanak berasaskan digital sebagai inti penceritaan. Persembahan ini mengisahkan pengalaman watak Putih dan Merah yang bermain permainan di dalam Ipad sehingga membawa mereka ke dalam dunia imaginasi yang sentiasa berubah-ubah. Dalam dunia tersebut, muncul watak Imagina, iaitu seorang puteri raja yang dicipta oleh Putih melalui permainan digital. Pada masa yang sama, terdapat seorang budak lelaki yang menolak konsep Imagina lalu mengubah dunia permainan tersebut menjadi dunia dinosaur. Pertembungan antara dua dunia imaginasi yang berbeza ini akhirnya mencetuskan konflik dan huru-hara sepanjang perjalanan cerita.

  Penulisan ini memfokuskan tentang lakonan dan pengarahan yang menggunakan teori formalisme, iaitu menekankan struktur, teknik persembahan, dan juga aspek bentuk yang dibawa oleh produksi bagi menjayakan pementasan ini.  Persembahan ini turut memaparkan pelakon yang membawa watak-watak dalam dunia permainan secara langsung di atas pentas, menjadikan penonton melihat perubahan antara dunia realiti dan dunia imaginasi secara serentak.

  Pelakon menggunakan gaya stylised acting, iaitu bukan berasaskan kehidupan nyata bagi watak imaginasi yang direka. Penggunaan pergerakan tubuh yang besar, jelas dan simbolik oleh para pelakon merupakan satu keputusan artisik yang disengajakan oleh pengarah bagi membezakan dunia realiti dan dunia imaginasi. Sebagai contoh, watak dalam dunia realiti dilakonkan secara lebih natural dengan dialog dan pergerakan yang menyerupai kehidupan harian, manakala watak imaginasi seperti mawas dipersembahkan dengan kostum besar, pergerakan agresif serta suara yang lantang sebagai simbol kepada karakter tersebut. Perbezaan ini membantu penonton mengenal pasti lapisan dunia yang berbeza dalam persembahan tanpa perlu penjelasan verbal yang berlebihan. Secara keseluruhan, peralihan watak yang dipersembahkan adalah jelas dan membantu penonton memahami perubahan karakter realiti dan imaginasi.

  Pementasan ini menunjukkan kekuatan yang ketara dalam aspek lakonan, khususnya dari segi konsistensi peralihan watak yang jelas dan terarah. Perubahan karakter yang berlaku dalam setiap babak dapat diikuti dengan baik oleh penonton, sekali gus mengekalkan kejelasan identiti setiap watak tanpa menimbulkan kekeliruan. Hal ini memperlihatkan kawalan lakonan yang rapi serta pemahaman yang baik terhadap perkembangan emosi dan situasi dramatik yang dibawa.

  Selain itu, ekspresi emosi yang ditunjukkan dalam semua babak juga berjaya disampaikan dengan meyakinkan dan seimbang. Pendekatan ini bukan sahaja menambah nilai estetika persembahan, malah turut mengukuhkan lagi penyampaian makna dalam setiap adegan. Aspek lakonan berjaya menyokong struktur pementasan dengan baik dan membantu penonton memahami perjalanan naratif secara lebih jelas dan berkesan.

  Dari sudut pengarahan pula, IMAGINA memperlihatkan struktur episodik yang jelas melalui peralihan antara dunia realiti, dunia permainan dan dunia imaginasi. Pengarah menggunakan elemen pergerakan pelakon serta penggunaan ruang pentas yang sangat baik untuk membezakan setiap dunia dan bergantung kepada set yang kompleks. Pendekatan ini menunjukkan bahawa pengarah lebih menekankan bentuk persembahan melalui penggunaan set yang bersifat realistik dan juga imaginasi. Perubahan kedudukan dan pergerakan pelakon di atas pentas menjadi petunjuk visual kepada penonton untuk mengenal pasti perubahan ruang dan situasi. Hal ini menjadikan setiap pertukaran babak lebih mudah difahami serta mengekalkan kelancaran penceritaan. Pendekatan tersebut juga selari dengan teori formalisme yang memberi penekanan terhadap susunan teknik persembahan. Setiap peralihan babak dibina melalui perubahan tenaga pelakon dan komposisi pentas, menjadikan ruang pentas sebagai medium utama dalam menyampaikan naratif.

  Namun begitu, pada pandangan saya, terdapat sedikit perkara yang boleh diperbaiki dari segi audio persembahan. Penggunaan nyanyian secara  rakaman dalam beberapa babak kadang-kadang kelihatan kurang seimbang, malah agak ketara apabila tidak selari dengan pergerakan mulut. Perbezaan dari segi tenaga dan kejelasan suara juga dapat dirasai, sekali gus sedikit menjejaskan konsistensi pengalaman penonton. Tetapi, terdapat juga pelakon yang menyanyi secara langsung telah menarik perhatian saya. Walaupun begitu, penggunaan kedua-dua bentuk ini masih boleh difahami sebagai variasi dalam gaya persembahan. Namun, ia perlu diseimbangkan dengan lebih baik agar aliran audio akan jadi lebih lancar dan tidak mengganggu fokus utama pementasan.

  Dari segi pencahayaan pula, penggunaan warna cahaya yang pelbagai menjadikan setiap babak kelihatan lebih hidup dan menarik. Pencahayaan ini turut membantu membina suasana serta memberi penegasan terhadap emosi dan perubahan yang berlaku dalam penceritaan.

  IMAGINA boleh ditafsirkan sebagai sebuah gambaran terhadap dunia imaginasi kanak-kanak yang dibentuk melalui permainan digital. Dunia permainan dalam Ipad menjadi simbol kepada ruang imaginasi moden yang semakin mempengaruhi cara kanak-kanak berfikir, mencipta dan berinteraksi dengan dunia sekeliling.

  Perjalanan watak dalam dunia IMAGINA boleh dilihat sebagai metafora kepada proses perkembangan diri, di mana setiap rintangan yang dilalui melambangkan cabaran dalam usaha mencapai sesuatu yang bermakna. Dalam konteks ini, misi pencarian mak dan ayah kepada Imagina juga membawa makna emosi yang lebih mendalam iaitu kasih sayang dan hubungan kekeluargaan.

  Pertembungan antara dunia Imagina dan dunia dinosaur pula boleh ditafsirkan sebagai simbol kepada perbezaan imaginasi dan kehendak individu yang berbeza. Penggunaan gaya lakonan yang tidak realistik menunjukkan bahawa karya ini tidak bertujuan untuk meniru kehidupan sebenar, sebaliknya membina satu pengalaman teater yang bersifat simbolik dan visual.

  Secara keseluruhan, IMAGINA merupakan sebuah karya yang berjaya dari sudut formalistik kerana mengutamakan bentuk persembahan melalui stylised acting serta pengarahan yang tersusun dalam membina dunia imaginasi di atas pentas. Gabungan elemen visual, pergerakan pelakon dan struktur penceritaan menjadikan setiap perubahan antara dunia realiti dan dunia imaginasi dapat diikuti dengan jelas oleh penonton, walaupun konsep yang diketengahkan bersifat abstrak dan imaginatif. Di samping itu, pendekatan pengarahan yang kreatif berjaya menghasilkan sebuah persembahan yang dekat dengan dunia kanak-kanak melalui penggunaan imaginasi dan permainan digital sebagai asas penceritaan. Keberkesanan pendekatan ini bukan sahaja menjadikan pementasan lebih menarik untuk ditonton, malah berpotensi memupuk minat golongan kanak-kanak terhadap seni teater sebagai medium hiburan dan pembelajaran yang kreatif.

 







https://www.instagram.com/surakarsa.prod?igsh=cjBucWo0bWN4bWZt

#surakarsa.prod

#imagina2026

#creativearts

No comments:

Post a Comment