Saturday, 4 July 2026

NURUL FATIN ABDULLAH - TEATER NORMCORE ODISI ROMANSA

 TEATER NORMCORE ODISI ROMANSA



Pementasan Teater Normcore merupakan sebuah siri persembahan dan konsep estetika teater kontemporari tempatan yang diasaskan oleh penulis dan pengarah Ridhwan Saidi bersama Moka Mocha Ink serta Ensembel Teater Kaos Nol. Konsep ini berakar daripada idea mengangkat keindahan perkara biasa atau harian menerusi pendekatan minimalis yang intim. Kesannya, fokus pementasan diletakkan sepenuhnya pada kekuatan teks (skrip), lakonan, dan manipulasi ruang berbanding hiasan set yang sarat. Melalui pendekatan yang bersahaja namun sarat dengan lapisan falsafah serta puitis, Teater Normcore berfungsi sebagai wadah eksplorasi naskah berdurasi penuh yang mencabar persepsi audiens terhadap realiti biasa menjadi sebuah pengalaman teater yang luar biasa.

Naskah terbaharu Ridhwan Saidi, Odisi Romansa yang dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), membawakan latar era pasca-manusia. Pementasan ini mengajak khalayak meneroka alam semesta alternatif yang tidak lagi berpaksikan fizikal, sebaliknya ditopang sepenuhnya oleh aliran ingatan, data, dan sisa-sisa pemikiran manusia yang ditinggalkan. Justeru, penerapan Teori Simbolisme digunakan bagi mewakili idea metafizik dan emosi batiniah. Elemen teknologi seperti data digital dan aliran kod disimbolkan sebagai keabadian jiwa serta memori manusia yang kekal wujud secara ontologikal meskipun era biologi pasca-manusia telah berakhir. Sementara itu, sisa pemikiran yang terapung digambarkan melalui gangguan teknologi (glitches atau gema audio) sebagai simbol kepada trauma, kerinduan, dan sisa cinta yang tidak boleh dipadamkan oleh algoritma.

Kritikan ini mengaplikasikan Teori Simbolisme yang diasaskan oleh Godfrey Lienhardt, seorang antropolog sosial Inggeris. Lienhardt menyatakan bahawa simbol-simbol keagamaan dan mitos merupakan representasi daripada pengalaman batin, emosi, dan realiti kehidupan masyarakat. Beliau menjelaskan bertapa fungsi simbol adalah untuk menghasilkan kesan (efek) yang diinginkan. Tambahan pula, simbol bukan sahaja memberikan wawasan mengenai perubahan moral dan status sosial, malah turut mengkomunikasikan perubahan tersebut.

Kritikan ini difokuskan kepada bagaimana pelakon mengekspresikan dualiti ini melalui bahasa tubuh mereka. Secara keseluruhannya, saya berpandangan bahawa struktur dramatik pementasan ini gagal membantu penonton memahami jalan cerita pada fasa awal. Sepanjang pementasan, struktur dramatik sukar difahami akibat kekurangan ekspresi lakonan yang dinamik. Rentetan itu, penonton hanya mampu menangkap naratif persembahan apabila ia mula memasuki bahagian kemuncak sehinggalah ke akhir cerita. Sebagai tulang belakang sesebuah naskah teater, ketiadaan struktur yang kukuh atau penyampaian yang lemah akan menyebabkan persembahan kehilangan arah, gagal mengekalkan perhatian penonton, dan menghalang mesej utama daripada disampaikan dengan berkesan.



Pada bahagian eksposisi, pengenalan watak ditonjolkan dengan mudah dan efektif melalui penggunaan projektor. Teknologi ini memberikan imbasan imbas kembali (flashback) kepada kisah percintaan watak yang dirakam menggunakan telefon bimbit. Pada fasa ini, penonton memberikan tumpuan sepenuhnya kerana teruja untuk memahami alur cerita dan meneliti teknologi harian yang dijadikan simbol utama. Dalam ruang normcore, gajet bukan lagi sekadar alat berhubung, sebaliknya bertukar menjadi kotak memori yang menyindir realiti watak mereka kelihatan terperangkap dalam kehidupan seharian yang banal (biasa), padahal emosi mereka sedang mengembara jauh di sebalik dunia digital yang kaku.

Bagaimanapun, apabila memasuki fasa aksi meningkat (rising action), struktur dramatik pementasan menjadi kurang jelas akibat teknik penyampaian ekspresi lakonan yang mengelirukan. Walhal, dalam teater simbolisme, ekspresi pelakon merupakan kunci utama untuk menterjemah jalan cerita. Apabila pelakon gagal memberikan impak ekspresi yang kuat, seluruh lapisan simbol (seperti data, kosmos, dan hikayat) yang terbina dalam skrip akan runtuh. Kegagalan ini menyebabkan teater tersebut tidak mencapai fungsi utama yang digariskan oleh Lienhardt, iaitu untuk menggerakkan emosi, menjentik moral, dan mengubah persepsi penonton. Walaupun fokus saya terhadap struktur dramatik terganggu, kejelasan artikulasi dan vokal dialog yang dilontarkan oleh pelakon sedikit sebanyak berjaya menutupi kelemahan teknikal lakonan tersebut.

Fasa klimaks menjadi titik penting di mana emosi dan ketegangan yang dikumpul sejak awal cerita akhirnya dilepaskan sepenuhnya kepada penonton. Bahagian ini berjaya membuka mata saya dan memberikan impak kesedaran yang tinggi. Sifat hambar atau kaku daripada awal persembahan rupanya merupakan tuntutan tuntunan watak, di mana pelakon perlu berinteraksi dan berdialog secara mekanikal seperti robot. Konsep pasca-manusia yang sarat dengan elemen teknologi ini ternyata memberikan cabaran serta tekanan yang hebat kepada pelakon untuk menyampaikan struktur dramatik secara terus kepada audiens. Pengamatan ini membuktikan bahawa pemilihan Teori Simbolisme adalah sangat kukuh untuk mengkritik dinamika struktur dramatik dalam pementasan ini.

Fasa aksi menurun (falling action) pula membawa kesedaran yang mendalam mengenai realiti manusia pascamoden yang terlalu bergantung kepada teknologi sehingga mengabaikan peradaban harian, seperti meluangkan masa berkualiti bersama orang tersayang. Berdasarkan pementasan ini, teknologi bertindak sebagai medium untuk mengimbas kembali kenangan dan kisah lampau. Malah, keupayaan memori teknologi digambarkan mampu mengatasi had ingatan manusia serta rutin sosial. Kehadiran memori sebagai simbolisme dalam fasa ini memperlihatkan kepentingan teater kontemporari moden seperti ini untuk terus dikekalkan dalam masyarakat sebagai alat refleksi kendiri.

Pada fasa resolusi di akhir persembahan, penonton akhirnya dapat menyusun semula rantaian cerita dari awal hingga akhir, di mana teknologi diletakkan sebagai paksi utama. Melalui lensa Teori Simbolisme, kedudukan teknologi sebagai simbol utama pementasan telah berjaya menjustifikasikan kritikan terhadap keseluruhan struktur dramatik yang terkandung dalam persembahan teater Normcore: Odisi Romansa ini.

Secara keseluruhannya, teater Normcore: Odisi Romansa berjaya membawa idea dunia pasca-manusia yang mendalam melalui simbol teknologi. Walaupun lakonan yang kurang ekspresif pada fasa awal (eksposisi ke rising action) membuatkan struktur cerita agak kabur, persembahan ini berjaya diselamatkan pada fasa klimaks hingga penamat melalui lakonan mekanikal yang mantap. Penggunaan gajet di atas pentas bukan sekadar hiasan, tetapi menjadi simbol kuat yang menyindir kesunyian dan kerapuhan hubungan manusia moden. Teater eksperimental ini sangat penting untuk terus dipentaskan kerana ia berjaya mencabar minda dan memberi pengajaran mendalam kepada penonton.





No comments:

Post a Comment