Friday, 23 June 2017

BANGSAWAN CINCIN NAGA API BERHASIL DALAM KESEDERHANAANNYA

Oleh DANNY ALAMSYAH

Baru-baru ini giat di media sosial saya melihat gelagat manusia yang tidak dapat menerima pembaharuan dalam koleksi cerita-cerita teater bangsawan yang dipentaskan oleh penggiat-penggiat teater muda. Namun begitu, ini bukanlah perkara baru. Ada yang menyokong kepada penghasilan karya-karya baru tanpa mengira latar belakang ceritanya, sama ada berasal dari benua Nusantara ini atau merentas jauh lautan di seberang sana. Ada juga yang menentang dengan pandangan hilang identiti keMelayuan teater bangsawan kita. Pokoknya, sudah tanduskah kisah-kisah Melayu kita untuk dipersembahkan di pentas bangsawan?

Tidak kurang tempiasnya terkena pada pementasan teater Bangsawan Cincin Naga Api ini. Secara ringkas, Bangsawan Cincin Naga Api mengisahkan pengembaraan sekumpulan manusia dari pelbagai puak yang mendiami sebuah dunia fantasi dikenali sebagai Middle Earth yang cuba untuk memusnahkan cincin sakti milik Sauron yang punya ambisi menakluki dunia. Ceritanya mudah, tidak terlalu kompleks dan nyata saya kira karya yang berasal dari buah fikiran J.R.R Tolkien ini berupaya menarik minat penonton di luar sana.

Dari konteks penceritaan, naskhah yang diadaptasi daripada filem The Lord of the Rings ini saya kira masih lagi berpegang kepada konvensi bangsawan sedia ada. Jika dilihat pada pola cerita yang didirikan, wujud situasi pengembaraan, seterusnya ditunjukkan pengalaman diperolehi watak, unsur-unsur romantisme sewaktu perjalanan mencapai motif sehingga sedemikian juga wujud pula watak-watak stock-type wira dan wirawati, puteri, pahlawan-pahlawan dan watak jahat yang menjadi tunjang kepada unsur ketegangan penceritaan diakhiri dengan elemen kesaksamaan. Struktur plot bersifat episodik yang tetap sebegini pula seringkali ditonjolkan dalam mana-mana persembahan bangsawan menjadikannya sebuah bentuk teater yang unik dan istimewa berbanding teater-teater moden yang lain. Nah, maka di sini sudah saya bahaskan sedikit dari satu sudut, bahawasanya tidak menjadi masalah dari alam mana sekalipun cerita bangsawan itu dicedok, yang menjadi keutamaan, ciri-cirinya masih dikekalkan.

Tutur kata dan aksi lakonan dalam teater bangsawan sudah diketahui umum sememangnya bersifat stylized. Adalah menjadi suatu keistimewaan bagi persembahan bangsawan dalam menggunakan seolah-olah seni kata yang dicampur aduk dengan lagu dan tarian selain seni kata daripada campuran kata bual dan kata lagu. Dari sini, pertembungan antara kesemua elemen berikut mencambahkan unsur-unsur romantisme dalam percakapan antara watak. Saya yakin, pada yang menonton pementasan bangsawan ini, pasti jelas terlihat antara watak Frodo dan kekasihnya, Ella di permulaan awal cerita berkasih dengan menggunakan teknik seolah berbalas pantun dalam mengemukakan hasrat hati, atau berdialog dengan menggunakan rangkap yang mempunyai elemen puitis melalui ungkapan bunyi irama yang sama sekaligus menimbulkan efek bahasa berlagu ini.

Kontra dengan gaya moden, bangsawan sebagai sebuah persembahan teater cenderung ke arah menggunakan kesan pandangan spektakular daripada menimbulkan kesan, reaksi atau emosi yang mendalam kepada penonton. Rasional kepada pengaplikasian elemen spektakular ini mudah sahaja sebenarnya. Satu faktor nyata adalah kerana penonton sudah sedia maklum akan jalan ceritanya, bahkan lagi dengan kisah ini yang diadaptasi daripada trilogi filem epik Hollywood yang terkenal. Maka, penggunaan elemen ini lantas berupaya menarik minat penonton sekaligus mewujudkan satu pemandangan pentas yang magis dan menarik yang turut disokong oleh efek tatarias dan busananya. 

Dalam hal ini, saya kira muslihat pentas yang dilakukan oleh pengarah bangsawan ini bersifat sederhana, namun cukup sempurna dan menjadi di mata penonton. Tidak perlu diwujudkan set yang gah di atas pentas yang boleh bergerak bertukar menjadi raksasa atau efek letupan dan sebagainya yang seringkali gagal di atas pentas kerana kesalahan teknikal sekaligus menimbulkan satu pandangan menjengkelkan di mata penonton. Cukup sekadar menggunakan pelakon sedia ada, seolah-olah “diklonkan” di atas pentas tetapi kemudiannya muncul pula di belakang penonton. Cukup sekadar ton suara memainkan peranan bagi menyedarkan penonton di mana pelakon yang sebenar sedang berada dan cahaya pentas dalam mengaburi mata penonton bagi menjayakan elemen spektakular di mata mereka. Mudah tetapi menjadi. Dan satu lagi, itulah antara ciri bangsawan yang seringkali ditonjolkan.

Unsur lawak yang dipamerkan melalui pementasan bangsawan Cincin Naga Api ini saya kira tidak melebih-lebih dan tidak kurang juga penggunaannya sungguhpun tidak diwujudkan satu watak stock-type khusus bagi menyampaikan elemen lawak itu. Saya melihat dalam kalangan susunan watak-watak dalam bangsawan ini elemen lawak disampaikan secara sama rata bergantung kepada situasi dan keadaan di mana cerita itu berada dan apa motif yang mahu disampaikan. Ini boleh dilihat ketika berlakunya perbualan antara Frodo dan kekasihnya, Ella dan begitu juga gelagat Gimly yang mencelah disaat babak romantis antara Aragorn dan Puteri Arwen serta ketika perbualan melibatkan Gandalf dan Frodo di peringkat awal cerita.

Saya kira pembahagian sebegini merupakan satu langkah yang bijak memandangkan dominasi menggunakan sebuah watak yang sering digunakan dalam bangsawan-bangsawan lain cenderung memperlihatkan elemen slapstick yang melampau dan menjengkelkan. Sememangnya benar bahawa ahli lawak merupakan salah satu watak stock-type yang wujud dalam bangsawan. Namun perlu diingatkan di sini bahawa hanya apabila sesebuah bangsawan itu terlalu dilebih-lebihkan dengan elemen slapstick walaupun pada hakikatnya golongan penonton pada masa kini sudah maju pemikirannya menunjukkan petanda bahawa bangsawan sudah semakin hilang peminatnya dan pengkarya melakukan tugasnya sekadar melepaskan batuk di tangga dengan harapan tiket habis dipotong dan penonton hadir memenuhi kerusi bergelak ketawa dengan lawak yang kurang bijak. Kita sendiri sudah pasti tidak mahu bangsawan hilang dari muka bumi ini.

Secara keseluruhannya, saya terhibur sepanjang pementasan ini berlangsung. Tahniah kepada penulis dan juga pengarah teater ini kerana berjaya mementaskan sebuah pementasan yang menarik pada pandangan saya. Dan di peringkat akhirnya, pengambilan kisah-kisah luar diadaptasikan ke pentas bangsawan bukanlah sesuatu yang baru. Malah, dari awal bangsawan bertapak di negara ini lagi, kisah-kisah luar yang diinspirasikan daripada karya Natyaveda, Naytasastra, kisah-kisah epik Cina dan Eropah sudah lama digunapakai oleh golongan pengkarya bangsawan. Tidak timbul sebenarnya isu hilang identiti keMelayuan. Apa yang penting bangsawan itu konvensinya masih kita pelihara dan masih terus wujud sehingga ke hari ini.

Lagenda Santubong Sejinjang dalam Benua Igau

Oleh NUR NABILAH BANYUK

Kisah lagenda Santubong dan Sejinjang begitu popular sekali dalam kalangan masyarakat negeri Sarawak. Lagenda ini mengisahkan mengenai dua orang puteri iaitu Puteri Santubong dan Sejinjang yang dikenali sebagai penjaga gunung negeri Sarawak. Terdapat banyak  versi yang mengisahkan mengenai  lagenda ini dan salah satunya menyatakan bahawa pergaduhan antara Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang ini terjadi adalah disebabkan oleh ketidakpuasan hati mereka kerana kedua-duanya ingin mendapatkan Putera Serapi yang menjadi pujaan hati mereka. Akhirnya, pergaduhan tersebut menjadi tauladan dan kedua-duanya disumpah menjadi Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang oleh Raja Kayangan.

Kisah lagenda ini begitu mirip sekali dengan sebuah pementasan teater iaitu teater kontemporari Iban berjudul Benua Igau yang telah dihasilkan dan diarahkan oleh Asfaridah Umar. Adakah pementasan ini mempunyai kaitan dengan lagenda Puteri Santubong dan Sejinjang ataupun ceritanya mengambil inspirasi berdasarkan cerita tersebut? Daripada pengamatan saya, terdapat unsur-unsur yang sama digunakan dalam lagenda tersebut dengan pementasan teater Benua Igau ini. Hal ini kerana, perjalanan ceritanya turut mengisahkan mengenai dua beradik iaitu Laura dan Maya yang merupakan watak utama dalam cerita tersebut yang menimbulkan konflik pergaduhan antara mereka gara-gara disebabkan oleh seorang lelaki iaitu Andry. Pementasan teater ini telah dipentaskan pada 21 dan 22 April 2017 di Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam. Pementasan ini secara langsungnya banyak mengetengahkan budaya Iban yang merupakan salah satu kaum di Sarawak. Satu pujian untuk pengarah dan ahli produksinya kerana mempunyai keberanian untuk mementaskan teater kontemporari Iban yang pertama di Malaysia.

Naskah ini mengisahkan mengenai kekuasaan yang ada di dalam kitab Benua Igau yang disimpan oleh Inik. Sekiranya kitab tersebut dibacakan manteranya, cerita yang mengisahkan mengenai dua beradik iaitu Maya dan Laura akan menjadi realiti. Ini juga berkaitan dengan Inik yang merupakan salah satu watak di dalam kitab tersebut iaitu Maya. Maya dan Laura telah diperintahkan untuk turun ke bumi bagi memberi kedamaian kepada penduduknya. Mereka telah membuat perjanjian dengan Raja Sempulang bahawa sekiranya mereka berdua bermusuhan antara satu sama lain, mereka akan dimakan sumpah. Namun, malang sekali kerana Laura dan Maya telah melanggar perjanjian tersebut. Mereka bermusuhan antara satu sama lain disebabkan Laura cemburu dengan kecantikan dan kelebihan yang ada pada Maya. Selain itu, Laura juga ingin merampas cinta sejati Maya iaitu Andry. 

Disebabkan cemburu yang melampau, Laura telah menculik dan mengurung Maya di suatu tempat dan akan melepaskannya setelah Laura bernikah dengan Andry. Maya berasa amat marah apabila dia mengetahui Andry telah mengingkari percintaan mereka dan membalas dendam dengan membunuh Andry. Maya juga cuba untuk membunuh Laura namun apabila mereka bertelingkah, sumpahan terus terkena pada mereka dan akhirnya Laura dan Maya juga mati di tempat kejadian. Akhirnya, kitab Benua Igau tersebut diwarisi oleh cucu kepada Inik iaitu Gelau.

Bahasa yang digunakan di dalam pementasan ini adalah Bahasa Melayu baku, Bahasa Melayu Sarawak, dan juga Bahasa Iban. Walaupun banyak dialog-dialog yang diucapkan adalah jelas, namun terdapat beberapa dialog yang masih sukar untuk difahami kerana mungkin menggunakan Bahasa Iban secara menyeluruh di dalam beberapa dialog. Seperti yang kita tahu, kaum Iban turut memiliki khazanahnya yang unik terutamanya dari segi pemakaian, alat muzik, tarian, dan juga cara pengucapan kaum tersebut. Jika ditinjau secara terperinci, pengarah telah berjaya mengangkat keseluruhan budaya kaum iban di atas pentas teater ini. Elemen tarian diselitkan dengan rapi dibantu dengan alunan alat muzik dari Borneo menjadikan persembahan ini tambah mengasyikkan. Set pentas yang tidak terlampau berat mata memandang, membantu perpecahan cerita antara dunia nyata dengan dunia kayangan.  

Namun, berlaku beberapa kekeliruan apabila lakonan di antara dunia nyata dan dunia kisah kitab Benua Igau tampak tidak berapa kemas dan jelas. Satu persoalan yang timbul iaitu adakah watak yang turun dari kayangan iaitu Laura dan Maya ini tidak meningkat usianya di dalam dunia kitab Benua Igau tersebut? Ini adalah kerana perubahan usia pada watak Inik ataupun Maya nampak mengelirukan terutama pada penampilannya. Perubahan watak ini digarap melalui perubahan fizikalnya di mana apabila watak Maya yang dilakonkan, pelakon akan melakonkan dengan fizikal yang tampak anggun manakala ketika melakonkan watak Inik pula, pelakon akan membongkokkan badannya untuk menjelaskan bahawa itu adalah watak Inik iaitu seorang wanita tua. Perubahan ini hanya ditunjukkan melalui pergerakan fizikal pelakon tetapi tidak pada penataan tatariasnya. Ini juga berlaku pada watak Laura kerana fizikal dan kesan tua pada wajahnya tidak ditonjolkan sama sekali sedangkan perubahan usia Andry diserlahkan melalui warna rambutnya yang sedikit beruban dan fizikal badannya yang membongkok. Walaupun begitu, lakonan yang cukup mantap daripada pelakon-pelakonnya membantu menutupi isu dan permasalahan yang timbul ini. Pemilihan dan pembawaan watak yang digalas oleh para pelakon, dilakonkan dengan sehabis baik dan berjaya menarik perhatian semua penonton yang hadir.

Secara keseluruhannya, jalan cerita di dalam pementasan ini mudah diikuti dan unsur-unsur tarian dan nyanyian menyerlahkan lagi daya kreativiti pengarah dan ahli produksinya. Taniah dan syabas kepada semua yang terlibat kerana telah berjaya mementaskan karya ini. Semoga pementasan seperti ini dapat digiatkan terutamanya dalam kalangan belia bagi menggalakkan masyarakat untuk mengapresiasi seni budaya dan warisan yang semakin lama semakin terhakis ditelan zaman. 

Agik idup agik ngelaban. Oo…haaa!

MESIN DAN KOPI: TEKNIK PERALIHAN WATAK YANG KURANG JIWA

Oleh MOHD ARIF SHAPIEE

Mesin dan Kopi karya dan arahan Harith Amirul telah dipentaskan di Revolution Stage pada 29 Mac sehingga 2 April 2017. Sebuah teater yang mengadunkan mesin dan kopi sebagai simbol kepada alam pekerjaan di syarikat-syarikat korporat. Karya ini mengisahkan tentang tiga individu yang bekerja di Terbit Barat Corporation. Kisah ini berkembang melalui kebahagiaan dan kesengsaraan yang dialami oleh Iqbal, Hanna, dan Hakim ketika bekerja di syarikat tersebut. Watak Iqbal dilakonkan oleh Aiman Afendy, watak Hanna dilakonkan oleh Nina Zainuddin, dan watak Hakim dilakonkan oleh Shamein Azlan.

Penulis naskah ini bijak apabila menjadikan mesin sebagai simbol kepada masalah dan tekanan yang dialami oleh pekerja dan kopi sebagai simbol kepada keadaan pekerja melepaskan tekanan kerja. Mesin fotokopi menjadi masalah kepada pekerja-pekerja di Terbit Barat Corporation kerana hanya terdapat sebuah sahaja mesin fotokopi yang disediakan dan para pekerja terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan mesin tersebut. Ketika cerita dimulakan, ketiga-tiga watak sedang beratur untuk menggunakan mesin tersebut. Ketika itulah penulis telah memberikan petanda kepada masalah-masalah yang dialami oleh watak-watak tersebut. Sebagai contoh, watak Hanna diraba, Iqbal dibuli, dan Hakim menjadi seorang yang baran dan sering marah-marah.

Manakala, pemilihan penulis untuk menjadikan kopi sebagai simbol kepada ketenangan juga amat sesuai, kerana kebiasaannya para pekerja akan melepak di kawasan pantri untuk merehatkan diri dengan meneguk kopi atau apa-apa sahaja jenis minuman yang mereka gemari. Dalam teater ini, penulis ada menunjukkan dalam satu babak pelakon sedang mengacau kopi di dalam gelas dan mereka melafazkan dialog dengan tenang. Ketiga-tiga watak ini amat tertekan dan apabila mereka melafazkan dialog secara tenang sewaktu mengacau kopi itu cukup jelas untuk menonjolkan hasrat penulis untuk menjadikan kopi sebagai simbol kepada ketenangan.

Tiga pelakon diketengahkan untuk melakonkan beberapa watak. Selain menjadi watak utama, setiap pelakon juga memegang watak-watak sampingan. Melihat peralihan watak yang ditunjukkan, ada yang berjaya dan ada juga yang kurang berjaya. Apabila Nina dan Shamein beralih daripada watak Hanna dan Hakim kepada watak pembuli yang membuli watak Iqbal, saya boleh katakan peralihan watak tersebut berjaya kerana gaya lakonan mereka tampak berbeza. Nina sebagai Hanna dan sebagai pembuli itu kelihatan seperti dua watak yang berbeza. Hanna dilakonkan sebagai seorang wanita yang lemah-lembut dan bagi watak pembuli pula Nina melakonkan watak pembuli itu sebagai seorang wanita yang bermulut lancang dan gedik. Namun, apabila Nina beralih kepada watak isteri Hakim, saya merasakan peralihan tersebut kurang berjaya kerana saya masih melihat perwatakan Hanna pada watak isteri Hakim. Seolah-olah Hanna ialah isteri Hakim, sedangkan isteri Hakim adalah individu yang lain. 

Begitupun saya berpendapat bahawa Nina telah berjaya melakonkan watak Hanna dengan baik pada pementasan kali ini berbanding pementasan teater Mesin dan Kopi yang pertama. Lakonan Nina pada kali ini lebih matang dan lebih menjiwai watak Hanna. Mungkin, penjiwaan watak Hanna itu terlalu kuat sehingga peralihan ke watak isteri Hakim itu menjadi goyah.

Shamein pula berjaya menunjukkan peralihan yang berkesan kepada watak pembuli iaitu seorang lelaki lembut yang bermulut lancang dan berhati busuk. Namun, ketika Shamein menjadi Hakim, saya kurang merasakan penjiwaan watak. Saya merasakan Shamein hanya melontarkan dialog, sedangkan watak Hakim merupakan watak yang sangat berat. Watak Hakim merupakan seorang suami yang bekerja di Terbit Barat Corporation untuk jangka masa yang lama tetapi tidak mendapat kenaikan pangkat mahupun gaji yang setimpal dengan hasil penat lelahnya. Beliau sering bekerja hingga lewat malam sehingga tidak mempunyai tidur yang cukup dan akhirnya beliau mengalami delusi yang teruk sehingga beliau percaya bahawa isterinya curang. Walhal, itu hanyalah delusi yang bermain di kepalanya. Kelihatan pada mata Shamein seperti beliau sedang menyusun bait-bait dialog. Beliau tidak bersatu dengan given circumstances yang telah diberikan oleh pengarah. Given cicumstances merupakan elemen aksi yang diketengahkan dalam Sistem Stanislavski yang bermaksud pelakon perlu melibatkan perkara-perkara yang dilalui oleh pelakon sewaktu mencipta watak seperti plot, zaman, waktu, dan tempat. Stanislavski percaya bahawa psikologi dan perangai fizikal individu dipengaruhi oleh pengaruh keadaan sekeliling. Maka, apabila pelakon sudah mengkaji dan membiasakan diri dengan given circumstances pelakon akan mampu melakukan aksi yang mempunyai sebab yang bersesuaian dengan keadaan sekeliling. Pada pendapat saya, sekiranya Shamein lebih membiasakan diri dengan given circumstances yang telah diberikan, beliau tidak akan kelihatan seperti sedang menghafal dialog dan terikat pada blocking yang telah diberikan atau kelihatan canggung di atas pentas.

Seterusnya, Iqbal merupakan seorang graduan sebuah universiti dan sewaktu beliau menuntut di universiti, beliau merupakan pengerusi kepada kelab anti buli. Hal ini telah diketahui oleh rakan sekerjanya di Syarikat Terbit Barat Corporation. Apabila rakan sekerjanya mengetahui akan perkara ini, mereka mula mengejek dan memperlekehkan Iqbal. Antara dialog yang dilafazkan oleh rakan sekerjanya adalah “Kau ni tak ada telur kah?” Sewaktu babak ini, Aiman berjaya memberikan reaksi yang tepat. Namun, saya merasakan Aiman hanya berjaya menguasai luaran watak Iqbal ini sahaja. Beliau kurang menjiwai jiwa watak ini yang membentuk perwatakan Iqbal. Beliau boleh menggunakan “Magic If” iaitu salah satu elemen aksi di dalam Sistem Stanislavksi. “Magic If” merupakan salah satu cara untuk pelakon mempercayai kemungkinan sesuatu kejadian. Hal ini demikian kerana, Stanislavski percaya bahawa seorang pelakon tidak mungkin mudah untuk mempercayai kebenaran dan realiti di atas pentas. Justeru, melalui “Magic If” ini pelakon boleh menukarkan tujuan watak kepada tujuan pelakon bagi meningkatkan kepercayaan pelakon terhadap kebenaran dan realiti di atas pentas. 

Tujuan saya mengetengahkan elemen aksi ini kerana saya melihat watak Iqbal ini dilakonkan seperti seorang lelaki yang tidak pernah dibuli. Sedangkan, watak Iqbal merupakan watak yang mempunyai sejarah silam yang teruk dalam kes buli dan kes tersebut sekali lagi menghantui dirinya. Aiman kelihatan melakonkan watak ini sedikit kuat seperti seorang leaki yang berani melawan pembuli. Walhal, itu bukanlah Iqbal. Peralihan Aiman daripada watak Iqbal kepada watak Dato yang mencabul Hanna pula, saya boleh katakana berjaya kerana terdapat perubahan perwatakan. Hal ini amat penting kerana perwatakan akan membezakan watak.

Kesimpulannya, teater Mesin dan Kopi pada kali ini masih mengetengahkan mesej yang sama tetapi diadun sedikit berbeza. Saya mungkin bersifat sedikit berat sebelah kerana saya lebih menggemari penyusunan pengarah pada pementasan Mesin dan Kopi yang pertama kerana saya merasakan pementasan pada kali ini agak terganggu tempo persembahannya kerana beberapa perubahan yang dilakukan. Namun, hal ini tidak menghakis kekaguman saya kepada naskahnya yang berjaya merakam zaman. Tahniah saya ucapkan kepada pengarah, para pelakon, dan ahli produksi lain atas hasil pementasan yang baik. Sebuah teater yang memberikan kesedaran yang diperlukan pada zaman kini. Tahniah, teruskan berkarya!

Thursday, 15 June 2017

MESIN DAN KOPI: KREATIVITI SEBUAH RUANG YANG SEMPIT

Oleh INKKA NOOR HAZZLYNNDA KAMAL

Bertempat di Revolution Stage Studio Damansara pada 31 Mac 2017, teater berjudul Mesin dan Kopi dipentaskan di bawah Projek Bilik Sempit. Karya ini yang juga sebuah pementasan semula, telah ditulis dan diarahkan oleh Harith Amirul dengan penampilan para pelakon Shamein Azalan, Nina Zainuddin, dan Aiman Afendy. Dalam penulisan ini, saya memberikan tumpuan kepada pemerhatian ke atas beberapa elemen drama yang dipaparkan di dalam pementasan ini.

Plot teater ini disampaikan dengan tersusun, kemas, dan tidak mengelirukan. Watak-watak dicabar dengan tekanan di tempat kerja idaman. Karya ini menggambarkan situasi yang benar terjadi di dunia realiti. Cabaran di mana impian yang ada tidak dipenuhi dengan baik apabila berlaku tekanan akibat dibuli. Ketiga-tiga pelakon bukan sahaja membawa watak utama yang mengalami tekanan di tempat kerja, tetapi turut memainkan watak lain yang memberi tekanan kepada watak utama. Justeru, peralihan watak harus dilakukan dengan pantas dan teliti. Begitupun, peralihan watak tidak berlaku dengan begitu lancar dan meyakinkan. Para pelakon kelihatan selesa dengan watak utama masing-masing namun agak lemah apabila memainkan watak berbeza. 

Penggunaan kesan bunyi agak menarik, ia tidak keterlaluan malah bersesuaian dengan situasi yang dipaparkan. Efek muzik yang dipilih untuk bahagian permulaan dan peleraian cerita berhasil menimbulkan rasa yang berlainan. Harith mengemukakan set dan prop yang ringkas, kostum yang sederhana, dan tatacahaya yang paling asas. Namun, penggunaan yang minimal ini mampu menghantar cerita dengan lebih baik. Set yang berlatarkan tiga dinding, dihiasi pelbagai lukisan, yang mana semua lukisan itu melambangkan kehidupan setiap watak utama iaitu Hakim, Iqbal, dan Hana. Idea ini telah diaplikasi dalam cara yang menarik.


Persembahan ini memperbesarkan idea saya mengenai kreativiti bermain teater dalam sebuah ruang yang sempit. Mungkin kerana pendedahan saya sebelum ini banyak berlaku di ruang-ruang besar dengan penghasilan pelbagai idea yang besar. Namun projek bilik sempit ini memperluaskan pengetahuan saya untuk berkreatif dalam cara sederhana dan ringkas. 

KELEMAHAN VOKAL MENJEJASKAN PENYAMPAIAN CERITA BANGSAWAN CINCIN NAGA API


Oleh NUR AFIQAH HARUN

Pada 14 Mei 2017 bertempat di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah berlangsungnya pementasan Bangsawan Cincin Naga Api. Bangsawan ini merupakan adaptasi dan olahan semula daripada filem  Lord Of The Ring (Fellowship Of The Ring) oleh Roydy Rokidy dan diarahkan bersama oleh Khusiary Mahayuddin dan Roydy sendiri.

Bangsawan Cincin Naga Api mengisahkan tentang usaha sekumpulan manusia dari pelbagai puak di Middle Earth untuk memusnahkan sebentuk cincin yang mempunyai kuasa jahat Sauron, yang bakal menakluki dunia. Dalam perjalanan mereka menuju ke pergunungan Doom, pelbagai halangan dan dugaan dihadapi, terutamanya ke atas Frodo iaitu pembawa amanat memusnahkan cincin itu. Tanpa disangka, Raja Saruman yang dianggap sebagai penyelamat mereka telah berpaling tadah dan tunduk pada kuasa jahat Sauron. Gandalf yang mengetuai perjalanan itu akhirnya terbunuh, mengakibatkan yang lain-lainnya hampir putus harapan untuk menyelamatkan dunia. Sewaktu di dalam perjalanan, mereka bertemu dengan Smeagol (Gollum) yang boleh membantu mereka menuju ke pergunungan Doom melalui jalan pintas.

Penulisan ini memberi perhatian terhadap lontaran vokal para pelakon dalam pementasan ini, yang merupakan instrumen terpenting untuk menghubungkan para pelakon dengan khalayaknya. Agak mengecewakan kerana lontaran vokal para pelakon kurang memuaskan. Ada pelakon yang bercakap terlalu laju sehingga menelan dialognya sendiri. Ada juga pelakon yang melontarkan dialog seperti menjerit dan tidak melakukan projeksi dengan betul. Akibatnya, penonton tidak dapat menerima dengan jelas apa yang disampaikan. Begitupun pujian harus diberikan kepada watak Galadriel kerana projeksi vokal watak ini amat baik dan setiap patah dialog yang disebut dapat didengar dengan jelas, disertai penyampaian yang bertenaga. 

Secara keseluruhan, pementasan ini berjalan dengan lancar, hanya lontaran vokal yang kurang memuaskan membuatkan saya tidak dapat mengikuti perjalanan persembahan dengan jelas. Tenaga yang terhasil daripada projeksi vokal yang baik berperanan penting dalam mempengaruhi penerimaan khalayak. 

ISU BANGSA YANG TERTINDAS DALAM BANGSA KOYAK


Oleh M. KHAIRUDDIN SABRI

PADA 20 Mei yang lalu, saya meluangkan masa menonton teater berjudul Bangsa Koyak di Studio Revolution Stage. Pementasan ini diterbitkan oleh Dramatis Studio, sebuah kumpulan anak-anak muda di bawah bimbingan pelakon teater terkemuka tanahair, Rosli Rahman Adam. Ia diarahkan oleh Zayrul Iqwan Rosli dan ini merupakan sebuah naskhah baru tulisan Nurul Nasuha Nabila.

Bangsa Koyak  mengisahkan kehidupan lima watak yang hanya dikenali sebagai Orang 1, 2, 3, 4, dan 5, yang menceritakan keperitan hidup masing-masing akibat penindasan oleh kuasa manusia lain. Penindasan dikemukakan sebagai perkara yang sering berlaku dalam kehidupan masyarakat global apabila manusia memiliki kuasa dan wang ringgit. Pementasan ini sarat dengan sindiran dan kritikan secara halus dan terbuka seiring mesej yang ingin disampaikan oleh pengarang. 

Kelima-lima watak yang mengenakan pakaian seperti tentera dan juga orang biasa pada mulanya hanya bercerita sesama mereka, bagaimanapun kemudian berubah menjadi perbualan yang serius. Saya agak terganggu dengan aksi dan pergerakan berulang-ulang oleh para pelakon. Adakah ini disebabkan ruang lakon yang sempit atau tiada kawalan oleh pengarah? Begitupun para pelakon ini berani menyahut cabaran melontarkan dialog yang membawa mesej berat dan dapat pula difahami dengan jelas, meskipun rata-rata mereka adalah pelakon baru yang masih belajar bersama Dramatis Studio.

Melihat pementasan ini dari awal sehingga akhir, ketara sekali ianya bersifat kritikan dan mudah difahami. Sebagai penonton, saya sentiasa cuba mencari maksud-maksud lain yang tersembunyi di dalam setiap babak yang dimainkan. Contohnya mengenai dialog dan pengucapan, tiba-tiba di pertengahan persembahan secara tiba-tiba ia bertukar daripada stail pengucapan dialog biasa kepada gaya bangsawan. Ini agak menarik perhatian saya terutamanya apabila menyentuh semangat setiakawan dan juga perihal orang yang sanggup membunuh rakannya sendiri apabila beroleh kuasa. Walaupun dialog-dialog yang terkandung di dalam pementasan ini sangat jelas menunjukkan kepada siapa ia ditujukan, tetapi setiap aksi mereka menampilkan metafora kepada perkara yang memang terjadi di sekeliling kita. 


Kemudian kisah ini berlanjutan lagi sehingga mereka melakukan undian sesama sendiri bagi melantik seorang ketua dalam kalangan mereka dengan menggunakan cara demokrasi, yang mendapat tentangan daripada orang lain. Mereka terus mengadakan kempen termasuk mengajak para penonton untuk mengundi. Penulis mengemukakan kritikan melalui babak ini, bahawa janganlah hanya bercerita di tepi jalan sahaja tentang masalah pemimpin jika kita sendiri pun tidak mendaftar untuk mengundi. Ironinya, ternyata penonton yang datang boleh dikatakan memang tidak mengundi. Hal ini seolah-olah menjadi refleksi kepada laporan dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 3 Mac 2017, berjudul “4.1 juta rakyat Malaysia layak undi belum daftar: SPR”.

Satu perkara yang saya suka apabila menonton teater-teater alternatif seperti ini ialah pementasan sebegini tidak memerlukan peruntukan kewangan yang besar. Ia hanya memerlukan pemikiran kreatif pengarah dalam menghidupkan jiwa pementasannya. Teater alternatif sebegini aktif di kawasan Kuala Lumpur dan rata-ratanya dijayakan oleh kumpulan teater anak-anak muda sekaligus menyumbang kepada kegiatan progresif kancah teater di Malaysia sejak akhir-akhir ini. Persembahan seperti ini juga memberikan alternatif kepada cara bermain teater, yang mana sesebuah pementasan tidak semestinya memerlukan elemen-elemen pentas yang hebat, cukuplah dengan kebijaksanaan pemikiran yang ingin disampaikan.

Saya melihat persembahan ini sebagai sebuah persembahan yang tidak terlalu baik dan sempurna kerana ahli produksi Dramatis Studio ini kebanyakannya dianggotai oleh para pelajar yang masih belajar dan sering bertukar ganti. Namun mereka sangat gigih berusaha untuk memeriahkan arena teater di Malaysia dengan menghasilkan banyak pementasan. Mungkin jika dapat dikumpulkan para pelajar terbaik yang dihasilkan oleh kumpulan ini, suatu hari nanti mereka akan dapat menghasilkan sesuatu yang menarik, siapa tahu.   


Thursday, 8 June 2017

MENTAFSIR TANDA DAN MAKNA DALAM "KERIKIL"


Oleh VANIDAH IMRAN

KERIKIL membicarakan perjuangan dua puluh lima anak muda dalam menggapai impian mereka untuk bergelar graduan universiti. Kisah ini juga memaparkan perihal alam universiti yang bukan sahaja menjadi medan menimba ilmu tetapi juga mengajar tentang kehidupan yang penuh dengan pelbagai dugaan. Kebebasan dilihat daripada pelbagai makna yang berbeza. Bebas tanpa kongkongan dan leteran ibubapa, bebas untuk menentukan hala-tuju dan membuat keputusan sendiri. Namun, kebebasan yang dinikmati datang dengan tanggungjawab, sama ada kepada diri sendiri, rakan-rakan, para pensyarah, institusi pengajian dan yang paling utama, tanggungjawab kepada ayah dan ibu yang sentiasa berdoa tiada henti demi kejayaan si anak, di dunia dan akhirat. Pastinya onak duri dan suka duka, akan dilalui dalam menggapai impian mereka. Berjayakah kesemua anak muda ini bergelar graduan universiti? 

Semiotik di sebalik Kerikil

Persembahan ini mempunyai nilai yang menarik untuk dikaji daripada aspek visual, dengan menggunakan pendekatan semiotik. Penulisan ini akan menumpukan kepada pencarian makna menerusi babak-babak yang memaparkan pergerakan fizikal pelakon, beserta paparan imej pada skrin LED, khususnya pada babak 1,2,3,4,8,17 dan 19.

Saussure (1974) dan Mana Sikana (1998) mendefinisikan semiotik sebagai the science of life of sign in society, yang mana kesemua yang ada di dalam budaya boleh dilihat sebagai suatu bentuk komunikasi. Semiotik berasal dari perkataan Greek, semeion yang bermakna mengkaji sains umum dalam sistem perlambangan dan tanda (sign) di dalam kehidupan manusia. 

Tajuknya sendiri, Kerikil boleh dilihat sebagai simbolik kepada para pelajar yang memasuki alam universiti. Mereka datang dari pelbagai latar belakang dan pengalaman hidup yang berbeza. Atau ‘Kerikil’ juga boleh ditafsirkan daripada aspek lambang ikonik, sebagai jalan yang penuh dengan cabaran dan perjuangan yang bakal ditempuhi oleh para pelajar, demi bergelar graduan universiti. Ibarat berjalan di atas landasan batu-batu kerikil, yang tajam dan tidak rata, pasti akan ada yang jatuh dan terluka. 

Mana Sikana (1998) menyatakan bahawa lambang ikonik boleh membawa makna yang ambiguity kerana ianya boleh ditafsir dengan beberapa makna atau satu makna daripada beberapa lambang yang digunakan. Norzizi Zulkifli selaku pengarah dan penulis naskah ini, yang juga merupakan antara pensyarah bagi pelajar-pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Fakulti Filem, Teater and Animasi, Universiti Institut Teknologi Mara (Uitm) ini, telah menggunakan teknik improvisasi untuk menghasilkan skrip tersebut.  Ini bermakna naskah Kerikil dihasilkan berlandaskan idea dan prinsip-prinsip di dalam pementasan teater melalui proses improvisasi dan perancangan yang terperinci. 

Semiotik percaya bahawa setiap karya yang dihasilkan oleh seseorang pengarang itu dikesani oleh persekitaran yang mengelilinginya dan makna-makna pula ditentukan oleh tanda-tanda yang dibuat secara jelas atau tidak oleh sejarah dan persekitaran budaya pengarang (Mana Sikana, 1998: 175).  

Babak 1 dan 2

Pementasan dimulakan dengan para pelakon berjalan masuk dari ruang penonton, menuju ke pentas, sambil menyanyikan lagu Wawasan Setia UiTM. Permulaan ini  mempamerkan kebanggaan dan semangat para pelakon (mewakili pelajar) bergelar mahasiswa universiti tatkala menyanyikan lagu rasmi UiTM. Mana Sikana (1998) menegaskan bahawa dalam kajian semiotik, setiap karya itu harus dilihat dalam konteks dirinya sendiri yang mana ia bukan sahaja menilai aspek dalaman karya itu sahaja, tetapi juga hubung-kaitnya dengan sistem luaran yang berkaitan dengan budaya dan masyarakat. 

Lagu tema yang dinyanyikan melambangkan semangat, budaya, dan tanggungjawab yang perlu ada pada setiap pelajar sebagai mahasiswa universiti (sistem dalaman) dan juga tanggungjawab kepada negara sebagai bangsa Malaysia (sistem luaran). Skrin LED di pentas pada pembukaan cerita menunjukkan bendera Malaysia yang bertukar kepada imej Bangunan Canselori UiTM pada akhir lagu Wawasan Setia Uitm. Penggunaan kedua-dua imej ikonik ini adalah sebagai tanda, yang mana bendera Malaysia melambangkan negara kita dan perlembagaan yang harus ditaati. Manakala bangunan Canselori sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi yang bernaung di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. 

Lambang semiotik diterima pakai oleh pemikiran manusia secara kelompok tertentu mahupun universal apabila manusia dengan mudah dapat memahami dan mengaitkan lambang dengan objek yang dilihat (Mana Sikana, 1998: 177). Warna yang digunakan dalam pementasan ini juga boleh diambil kira sebagai simbol yang mewakili elemen-elemen keperibadian, ‘mood’ atau kuasa (energy) tertentu. Kesemua pelakon berpakaian kasual, warna putih dan kelabu bergalaskan beg kain yang berwarna biru, hijau, merah, kuning dan ungu yang diletakkan di bahu, di selempang atau di belakang. Mereka juga membawa beg pakaian beroda (luggage bag) yang lutsinar. 

Keseragaman warna pakaian menunjukkan bahawa sebagai pelajar universiti, tiada jurang perbezaan status atau darjat yang wujud di antara satu sama lain. Manakala warna berlainan pada beg kain boleh diterima sebagai warna-warna identiti individu para pelajar atau tahap bebanan yang dipikul oleh setiap pelajar. Beg pakaian lutsinar kosong yang dibawa boleh memberi tanggapan bahawa pelajar-pelajar ini masih mentah dan ‘kosong’ dengan pengalaman hidup di alam universiti. 

Babak 3 dan 4

Babak ini menampilkan rutin pelajar setiap pagi sebelum ke kelas seperti pergerakan menggosok gigi, membasuh basuh muka, dan memakai baju.  Pergerakan diatur dalam kelajuan yang berubah-ubah mengikut mood dan masa. Imej di skrin LED memaparkan jam besar yang mana anak panah jam bergerak dengan pantas tetapi bunyi detikan waktu yang digunakan adalah bunyi anak panah jam yang bergerak mengikut detikan saat, sekaligus melahirkan kesan audio-visual yang cukup menarik. 

Dari kekecohan di pagi hari, ia bertukar ke babak di kuliah. Kerusi dan meja di tolak masuk ke pentas, dan para pelajar terus mengambil tempat masing-masing. Kali ini skrin bersilih-ganti antara nama kuliah dengan nota kuliah. Para pelakon bergerak pantas bertukar dari satu aksi ke aksi yang lain seperti membaca, menulis, membuka laptop, dan lain-lain pergerakan semasa di dalam kuliah. Penukaran di antara dua babak ini dilakukan berterusan tanpa henti dan dengan mengunakan bunyi detikan waktu yang berterusan. 

Imej jam di skrin LED adalah tanda kepada waktu/masa (penanda). Simbol/tanda boleh juga mewalili perkara yang batiniah seperti perasaan, fikiran dan idea mahupun yang lahiriah seperti objek, benda dan tindakan (Mana Sikana, 1998.178). Pergerakan yang pantas oleh para pelakon serta simbol waktu dan bunyi detikan yang dipaparkan mengikut detikan saat, menimbulkan impak kelam-kabut, kekecohan, dan tekanan kepada para pelajar. Ini menunjukkan betapa berharganya setiap saat itu, dan dengan nada detikan setiap saat yang mengiringi babak tersebut, ianya memberi impak ‘masa itu emas’ kepada para penonton.

Babak 8 

Di dalam babak ini, bunyi ketukan papan kekunci (keyboard) dimulai dari perlahan kemudian lebih jelas apabila lampu pentas terang sepenuhnya, dan menunjukkan aksi para pelajar dalam kesibukan membuat tugasan di komputer. Skrin LED memaparkan aksi jari-jemari menaip laju sambil menyelak helaian buku dan kembali menaip. Bunyi efek menaip diselitkan dengan muzik yang bernada laju. Para pelakon membuat pergerakan di keliling meja dan kerusi, dan kembali menaip, memberi makna mereka sedang bertarung dengan masa dan menghadapi tekanan dalam menyelesaikan tugasan universiti yang banyak. 



Apabila muzik menjadi semakin laju, imej di skrin LED bertukar kepada imej buku-buku yang jatuh satu-persatu. Semakin lama semakin banyak buku berjatuhan dan akhirnya ia menghempap pelajar, diakhiri dengan imej batu-batu kerikil di skrin pentas dan monolog dari salah seorang pelakon yang mewakili suara para pelajar. Monolog itu meluahkan keperitan yang mereka hadapi. Namun ibarat kerikil, walaupun kecil tetapi kuat, mereka tidak akan putus asa, tetap akan teguh berjuang demi untuk bergelar graduan universiti dan sekaligus menjadi kebanggaan ibu bapa, para pensyarah, serta pihak institusi. 

Pergerakan pelakon yang agresif dan tidak statik dibantu dengan imej paparan di skrin memberi makna yang jelas tentang babak tersebut. Imej jari-jemari mengetuk papan kekunci di skrin adalah simbol universal yang jelas bagi perbuatan membuat kerja atau tugasan dengan menggunakan teknologi. Kemudian imej itu berganti pula dengan buku-buku yang jatuh satu-persatu, yang mana buku-buku juga adalah merupakan simbol universal bagi ilmu pengetahuan, diakhiri dengan paparan batu-batu kerikil di skrin. 

Ketiga-tiga imej (simbol) yang dipaparkan silih-berganti ini, memberi penerangan visual secara langsung kepada para penonton. Dengan mengenal pasti simbolnya, khalayak akan segera menangkap maknanya. Peranannya adalah untuk memudahkan narasi atau deskripsi teks (Mana Sikana, 1998: 178).

Babak 17 

Ibarat berjalan di atas kerikil-kerikil yang tajam, walau terjatuh dan luka tetapi tetap akan cuba bangun dan terus berjalan. Babak ini dimulai dengan pergerakan fizikal berbentuk tarian oleh seorang pelakon. Skrin pentas memaparkan imej grafik yang abstrak dengan bantuan penataan cahaya bagi melahirkan imej yang mewakili emosi dan perasaan, dan dengan berlatarkan muzik yang intense untuk memberikan impak kekecewaan dan kemarahan yang sedang dihadapi. 



Pelakon melahirkan rasa kekesalan dan kemarahan kepada diri, namun cuba memotivasikan diri untuk bangun dan meneruskan perjuangan. Walaupun tubuhnya semakin berputus asa, namun dia tetap menggagahkan diri untuk bangun semula dan berjalan di atas kerikil-kerikil yang tajam. Dengan bantuan dan sokongan teman-teman lain, segala cabaran dan rintangan yang dihadapi itu dapat diharungi bersama. 



Menurut Mana Sikana (1998), semiotik menjurus kepada kajian di dalam bahasa teks yang mempunyai hubungan kukuh kepada sesuatu idea, fikiran, perasaan, keserupaan, dan perbandingan. Ini diperjelaskan lagi melalui kaedah tanda yang telah didasarkan secara sistematik oleh ahli falsafah Amerika, Charles Sanders Pierce, iaitu ikonik, indeks, dan juga simbol. Lambang ikonik merujuk kepada sesuatu idea, benda atau gerakan yang boleh dikenal maksudnya. Di dalam babak 17 ini, penggunaan warna hitam dan tona variasi kemerahan dan jingga serta imej abstrak dengan bantuan teknik lampu dan muzik latar yang sesuai, boleh dianggap sebagai antara elemen-elemen ikonik yang merujuk kepada idea-idea, benda dan gerakan bagi mewakili pergerakan emosi dan perasaan seperti marah, keliru, kekecewaan, semangat yang membara dan lain-lain. 

Babak 19 

Penutup persembahan mengulangi lagu Wawasan Setia Uitm seperti pada pembukaan pementasan, menampilkan pelakon berpakaian baju Melayu lengkap dan bersongkok bagi pelajar lelaki dan baju kurung bagi pelajar perempuan, dalam warna putih dan kelabu cair. Cuma kali ini, luggage bag yang dibawa bukan lagi lutsinar tetapi nyata dan berwarna-warni. Di pertengahan nyanyian, lagu berhenti seketika dan para pelakon membuka beg masing-masing, kemudian memakai topi graduasi - mortar board -  dan meneruskan nyanyian. Ketika ini imej di pentas dilatari gambar pelajar-pelajar dengan ibu bapa mereka semasa kecil dalam warna sephia. Akhirnya mereka berjaya bergelar GRADUAN UNIVERSITI! 



Pementasan teater Kerikil boleh diangkat sebagai sebuah mekanisme bagi mempengaruhi anak-anak muda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, sekaligus membakar semangat mereka untuk teruskan perjuangan walaupun jalan yang dilalui itu penuh dengan cabaran. Pada babak terakhir, penampilan para pelajar yang berbeza daripada ketika awal persembahan melambangkan transisi yang telah berlaku dalam diri mereka. Topi graduasi yang dipakai adalah lambang ikonik universal, digunakan oleh mahasiswa universiti di seluruh dunia yang menandakan mereka telah berjaya bergelar graduan universiti. Jika pada awal pementasan beg yang dibawa adalah lutsinar, namun pada babak akhir beg tersebut adalah lebih solid atau nyata,  melambangkan ilmu serta pengalaman yang dipelajari dan dimiliki oleh para pelajar sepanjang pengalaman mereka di universiti. 



Menurut Mana Sikana, sesebuah karya yang mempunyai sistem tersendiri melalui pengunaan sistem tanda atau kod, dapat menghubungkan sistem karya itu dengan sistem yang berada di luar karya. Dengan mengunakan pendekatan strukturalisme dibantu bahasa yang digunakan di dalam teater atau drama, mesej-mesej sosial, imej idea, dan falsafah tertentu dapat disampaikan dengan lebih mudah terutama jika ianya dekat dengan jiwa dan budaya para penonton. 

RUJUKAN 

Mana Sikana. 1998. Teori dan Kritikan Sastera Pascamodenisme. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 

SPEKTAKULAR SINOGRAFI PERSEMBAHAN "BILIK"


Oleh AZRUL AZMEER MUSA

Pada 25 Mei yang lepas, saya berkesempatan menonton dua persembahan berlainan sempena Penilaian Tahun Akhir (PETA) bertempat di BlackBox ASWARA. Dua naskhah dipentaskan iaitu Bilik karya Noor Effendy Ibrahim, dan sebuah karya Hatta Azad Khan berjudul Mayat. Penulisan ini memberikan fokus kepada persembahan Bilik arahan saudara Zul Rango.

Bilik berkisar tentang Hasni, Fared, Faridah, Hamed, dan Helmy yang bekerja sebagai pembunuh. Mereka berkumpul di sebuah bilik dan membincangkan kerja pembunuhan masing-masing. Hamed mengejutkan semua orang apabila memberitahu bahawa dia ada membawa pulang seorang wanita bernama Aisah tanpa dibunuh. Pelbagai konflik berlaku selepas itu yang membawa kepada kematian Hasni, Fared, Faridah, dan Helmy. Tinggallah Hamed dan Aisah yang sudah berasakan mereka berjaya menyelamatkan diri, namun sesuatu terjadi kepada Hamed pada penghujung cerita ini.

Penulisan ini memberikan perhatian terhadap aspek sinografi yang merupakan satu terminologi bagi mewakili keseluruhan bentuk visual dalam sebuah pementasan teater, merangkumi elemen-elemen set dan prop, tatacahaya, tatarias, busana, dan kesan-kesan khas. 



Pementasan yang berdurasi lebih kurang 45 minit ini, tersedia dengan kepelbagaian elemen spektakular visual yang digarap dengan kemas untuk dinikmati oleh penonton. Penggunaaan tatacahaya dan audio pada permulaan babak diadun dengan kemas dan seimbang dengan penampilan pelakon. Tanpa membunuh satu sama lain, sebaliknya pelakon dan elemen sinografi ini saling membantu dalam mencapai matlamat cerita. Paparan visual pada permulaan babak mengingatkan saya kepada filem Hollywood The Purge yang memaparkan watak bertopeng menakutkan, yang saling berbunuhan antara satu sama lain. Perkara ini menimbulkan keterujaan untuk mengetahui perjalanan cerita ini sehingga tamat.

Saya tertarik dengan penggunaan kesan khas darah - ketika  adegan memenggal kepala. Ia dirancang dengan kemas menjadikan adegan itu begitu meyakinkan. Penataan set dan prop dalam persembahan ini memperlihatkan bentuk-bentuk yang asing dan abstrak, misalnya set sinki yang digunakan langsung tidak menyerupai sinki dunia realiti. Begitu juga dengan kerusi, almari, dan pintu keluar masuk. 

Walaupun pelakon bijak berimprovisasi dalam ruang lakon yang minimal dan padat dengan binaan set, namun dalam masa sama pelakon juga kelihatan kurang keserasian apabila bermain dengan set. Kekurangan latihan menggunakan set dan prop mungkin juga menjadi faktor di sebalik kelemahan ini.

Adegan yang berlangsung di belakang layar putih contohnya ketika adegan Hasni dibunuh, adakalanya mengganggu fokus penonton, apatah lagi perlakuan-perlakuannya agak kurang jelas, malah terlalu cepat sehingga tidak memberi peluang kepada penonton untuk mewujudkan interpretasi. 


Persembahan ini memanfaatkan sepenuhnya aspek sinografi, yang membantu menampilkan nilai teaterikal dalam persembahan ini. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua ahli produksi yang terlibat dalam menjayakan teater Bilik.